Sunday, July 24, 2011

manfaatkan setiap saat


“Sesiapa yang berpuasa ramadhan dengan penuh keimananan dan mengharapkan keampunan Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu” [Muttafaqun ‘alaih]

Insyaallah, Ramadhan yang mulia akan tiba seminggu saja lagi. Marilah sama-sama kita persiapkan diri untuk memastikan kita tergolong dalam golongan yang beruntung bila berakhirnya Ramadhan kali ini.

Mempersiapkan diri termasuklah menginsafi dan memohon ampun atas dosa kita yang lalu, banyak membaca hadith2 berkaitan kelebihan Ramadhan, menyiapkan checklist perkara2 berfaedah yang kita nak accomplish by the end of Ramadhan, jaga kesihatan dan lain-lain lagi.

Akhir kalam, marilah berdoa agar kita disampaikan ke bulan Ramadhan dan dapat harungi setiap saat di dalamnya dengan amal yang terbaik. =)

Sunday, July 17, 2011

Takkan kita nak beli neraka dengan perkahwinan?


Tak tahu di mana nak mulakan entry kali ni. Rasa macam semuanya nak keluar serentak dari hati dan minta ditulis dengan segera. Mungkin ramai yang akan tertanya-tanya dengan tajuk yang agak 'kontroversi' ni. Takkan lah perkahwinan yang digalakkan oleh Rasulullah saw ni akan membawa kita ke pintu neraka kan? Sabda Baginda saw;

“Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu)” (Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari).

Hadith di atas jelas-jelas menunjukkan betapa besarnya faedah dan kelebihan mendirikan rumahtangga lebih-lebih lagi kepada pemuda yang merasakan sudah tiba waktunya untuk hidup berkeluarga. Jadi, ada apa bila saya bertanya seperti berikut;

Takkan kita nak beli neraka dengan perkahwinan?

Mungkin tajuk ni kurang sesuai tapi apakan daya, saya memang suka untuk memilih tajuk-tajuk yang sebegini gayanya. At least kalau orang terpedaya dengan tajuk macam ni dan terbaca apa yang ditulis ni =) (walaupun isinya tidak lah menarik macam tajuknya), mungkin ada sedikit ilmu atau perkongsian yang dapat saya kongsikan bersama mereka.

"Jangan cakap pasai kawin. Nanti adik hang tu mula dok pikiaq nak kawin pulak. Belajaq pun tak habih lagi, nak bela (jaga) anak orang macam mana." Seloroh mak saya ketika sama-sama menikmati mee rebus pada suatu petang.

"Kiranya tak boleh la ni adik nak kawin tahun depan?" Saya menambah perisa. Berderai tawa kakak-kakak ipar yang dari tadi asyik menghirup kuah mee.

"Kerja dulu...Nanti dah ada semua baru la senang sikit nak jaga anak orang. Sat ni kawin masa belajar, mana dengan nak jaga bini lagi, anak lagi. Nanti belajaq ntah ke mana." Jawab mak dengan nada yang lebih formal.

"Time tu umur dah berapa. Baik tunggu umur 40 macam Datuk K baru kawin." Getus saya di dalam hati. Saya tahu jawapan mak tadi seolah-olah minta tajuk perbualan itu segera ditamatkan. Jadi, lebih baik saya senyum dan diam. =)

Saya yakin jika kejadian-kejadian sebegini tidak hanya berlaku kepada diri penulis bahkan ianya bukanlah kes-kes terpencil terutama sekali di zaman yang penuh cabaran kini. Ramai anak-anak muda yang sudah terdidik sekiranya perkahwinan itu merupakan jalan penyelesaian terbaik untuk memelihara diri.

Alhamdulillah, sudah ramai rakan-rakan yang dikenali telah melangsungkan perkahwinan di saat masing-masing masih berada di universiti. Ianya bukanlah suatu perkara yang pelik lagi kini. Bahkan sudah ramai ibu bapa yang mula menerima idea kahwin semasa belajar ini. Tidak seperti 10 atau 20 tahun yang lalu di mana perkara ini dilihat sebagai sangat pelik seakan-akan ianya adalah sebuah UFO.

Namun, tidak semua ibu bapa yang dapat menerima perkahwinan semasa belajar ini. Jadi, kepada yang "senasib" dengan penulis, nasihat saya ialah jangan sampai kita membeli neraka dengan perkahwinan kita itu.

Mungkin jiwa muda kita terasa ingin menjerit bila cadangan kita untuk berkahwin awal ditolak mentah-mentah oleh ibu bapa kita. Mungkin jika diberikan pentas ketika itu, kita mampu berpidato berjam-jam lamanya untuk mempertahankan hujah kita jika perkahwinan awal itu adalah yang terbaik untuk kita. Kita seolah-olah tidak dapat menerima alasan-alasan yang diberikan oleh ibu bapa kita yang tidak sehaluan dengan kita itu.

Jangan melatah!

Itu nasihat saya. Yang pertama untuk diri saya sendiri, dan seterusnya pembaca sekalian. Bertenang sekejap sebelum kita bertindak. Yang kita nak sempurnakan adalah perkara yang baik, jadi jangan cemarkan ia dengan tindakan-tindakan kita yang tidak matang. Takut-takut nanti amal yang pada asalnya dijanjikan pahala akan bertukar kepada dosa yang tiada ampunnya.

Berbincanglah dengan baik hasrat kita bersama ibu bapa. Terangkan kepada mereka mengapa kita merasakan perlunya berkahwin pada usia yang agak muda ni. Jangan lupa watak-watak yang terlibat dalam perbincangan tersebut. Kita masih memegang watak sebagai seorang anak kepada kedua ibu bapa yang telah membesarkan kita sejak dari sebesar tapak tangan tanpa pernah meminta apa-apa balasan. Berbicaralah selayaknya dengan insan teristimewa dalam hidup kita ini.

Jika merasakan diri tidak cukup kuat untuk menyampaikan hasrat hati (jenis tak pandai pujuk mak ayah), dapatkan lah bantuan daripada individu-individu yang dipercayai ibu bapa kita. Contohnya, kalau kita tahu mak kita ni lebih percayakan Kak Ngah kita dalam apa-apa hal sekalipun, maka gunakanlah kapasiti kak ngah kita tu untuk memujuk ibu bapa kita. Insyaallah semuanya akan berjalan dengan lancar jika kena caranya.

Selebihnya, "Lu pikir la sendiri!", bak kata Bang Bil dalam astro. Sebab semuanya bergantung juga kepada situasi masing-masing. Cuma, mesej penting yang saya nak sampaikan kali ni ialah jagalah hati ibu bapa sebaiknya. Kita sudah menjadi anak yang baik buat mereka sejak dilahirkan. Maka janganlah kerana tersalah cara, perkahwinan kita nanti menjadi punca deraian air mata mereka.

Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”

Riwayat al-Hakim

Jadi, kena atau tidak tajuk entry kali ni saya tak kisah. Yang penting kita tak nak beli neraka dengan perkahwinan kita. Betul kan? =)

Saturday, July 16, 2011

Sudah Semporna?

"Nama saya Adi Yusree. Panggil saja Adi. Duduk lah." jemput pemuda yang berasal dari Semporna itu.

"Saya Firdaus. Saje la datang sini nak belajar-belajar cara perubatan di sini. Saya ni masih belajar lagi dalam bidang perubatan."

"Subhanallah! Bagus itu. Saya juga masih mau belajar-belajar gitu." Sambutnya.

"Hebat betul pemuda ni! Tengok dia pun boleh mengingatkan aku kepada Allah." Getus hatiku melihat ketenangan wajahnya.

"Hmm...Dah berapa lama awak jadi pengamal perubatan ni?"

"Saya baru enam bulan saja kerja di sini. Masih banyak yang perlu saya belajar gitu. Hari tu saya ada belajar di Sungai Petani. Alhamdulillah, dulunya saya tidak percaya dengan perubatan alternatif ni tapi selepas ikut pengajian di sana, saya jadi yakin jika perubatan cara sunnah ni perlu kita kembalikan."

"Memang kita tidak boleh percaya jika ubat-ubat ini yang boleh menyembuhkan. Ini semua hanya ikhtiar kita saja gitu. Yang boleh menyembuhkan hanya Allah saja. Jadi, apa yang kita buat cumalah asbab untuk kesembuhan." Jelasnya dengan penuh minat.

"Subhanallah. Tidak kering zikir di bibir pemuda ni. Berselang-seli zikir di bibirnya setiap kali dia bercakap."

Alhamdulillah, syukur sangat dapat jumpa dengan dia. Di saat-saat aku memerlukan sesuatu untuk membasahkan hati yang kian kering ni, Allah temukan aku dengan pemuda yang boleh mengingatkan aku kepada-Nya.

Walaupun perjalanan ke Semporna masih belum sempurna kerana tak sempat snorkeling disebabkan hujan lebat, ada juga pengalaman berharga yang aku kutip di sini. Insyaallah jika ada rezeki, aku akan ke sana lagi esok untuk sempurnakan trip ke Semporna.

Sebelum berpisah, sempat juga dia mengajarkan 'lymphatic massage' yang digunakan untuk merawat demam-demam ringan. Boleh la try kat kawan-kawan nanti =)

Thursday, July 14, 2011

Kelebihan Syaaban & Malam Nisfu Syaaban

Sempena bulan Syaaban dan malam Nisfu Syaaban, saya nukilkan beberapa hadis dari kitab Sahih Al-Bukhari dan kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty. “Nisfu” bermakna separuh atau 14hb. Kitab Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim adalah rujukan paling utama dalam Islam selepas Al-Quran.

Abdullah b Yusuf menyampaikan kepada kami, dari Malik, dari Abi An-Nadr, dari Abi Salamah, dari Aisyah ra. dia berkata (bermaksud), “Adalah Rasulullah saw berpuasa sehingga kami mengatakan dia tidak berbuka. Dia saw berbuka sehingga kami mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi saw berpuasa penuh satu bulan melainkan (dalam bulan) Ramadan. Aku tidak pernah melihat dia saw berpuasa lebih banyak selain dari bulan Syaaban” (Hadis Sahih No. 1969 riwayat Imam Al-Bukhari).

Muaz bin Fadhalah menyampaikan kepada kami, dari Hisyam bin Yahya, dari Abi Salamah, bahawa Aisyah ra meriwayatkan kepadanya dengan berkata, “Nabi saw tidak pernah berpuasa dalam satu bulan lebih banyak dari bulan Syaaban. [Nabi saw berpuasa bulan Syaaban semuanya - lafaz Al-Bukhari]. Nabi saw bersabda, “Beramallah dengan mengikut kemampuan kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga kamu yang jemu (dulu – pent)”. Aisyah ra menyambung,“Solat yang paling disukai Nabi saw ialah solat yang dikerjakan berterusan walaupun sedikit. Adalah Nabi saw apabila solat, dia mengerjakannya secara konsisten” (Hadis Sahih No. 1970 riwayat Imam Al-Bukhari).

Abu Mikmar menyampaikan kepada kami dari Abdul Warith, dari Abu At-Tayyah, dari Abu Uthman, dari Abu Hurairah ra. berkata (bahawa) kekasihku (Nabi saw) telah mewasiatkan kepadaku 3 perkara (iaitu) puasa 3 hari setiap bulan (13, 14 dan 15hb), 2 rakaat Dhuha dan Solat Witir sebelum aku tidur”. (Hadis Sahih No. 60 riwayat Imam Al-Bukhari).

Abdullah bin Maslamah menyampaikaan kepada aku dari Malik, dari Ibnu Syihab, dari Abi Salamah dan ayahku Abdullah Al-Agharry, dari Abu Hurairah ra sesungguhnya Rasulullah saw bersabda (bermaksud) “Tuhanku tabaaraka wa taala turun ke langit dunia setiap malam bila tinggal 1/3 akhir malam dan berfirman: Mana orang yang berdoa kepada aku, untuk Aku memperkenankan doanya ? Mana orang yang meminta kepada Aku, untuk Aku berikan kepadanya ? Mana orang yang memohon keampunan Ku, untuk Aku mengampuninya ? (Hadis Sahih No. 1145 riwayat Imam Al-Bukhari).

Di dalam Hadis-hadis Sahih riwayat Imam Al-Bukhari di atas, tidak disebut secara khusus puasa sunat hari Nisfu Syaaban ie. 14 atau 15hb Syaaban, namun disebut secara khusus berpuasa sunat pada 13, 14 dan 15hb setiap bulan yang mana termasuklah didalamnya hari pertengahan Syaaban (nisfu Syaaban). Di dalam hadis Sahih Al-Bukhari diatas juga tidak disebut secara khusus berqiamullail malam Nisfu Syaaban, tetapi disebut berqiamullail disetiap malam, dan yang mana ini termasuklah malam pertengahan Syaaban (nisfu Syaaban).

Adapun berqiamullail pada malam Nisfu Syaaban dan berpuasa pada siang harinya, dengan secara khusus menyebut kalimat “Nisfu Syaaban”, status hadis-hadisnya (sahih, hasan sahih, hasan, dhaif, maudhuk dll) adalah menjadi perbincangan akademik para ulamak hadis. Jika tidak mencapai ke tahap Sahih, ia tidak boleh dijadikan hujah Syarak, namun jika dipadankan dengan Hadis-hadis Sahih riwayat Imam Al-Bukhari diatas, ia boleh dijadikan panduan untuk Fadhail A’mal (Fadhilat-fadhilat Amal Ibadah) dalam Islam. “Tiada halangan dibuat penyiasatan ilmiah yang bersih dalam masalah khilaf dalam suasana kasih sayang di jalan Allah dan bekerjasama kearah mencapai perkara yang sebenar, tanpa usaha tersebut membawa kepada perdebatan yang tercela dan taksub” (Imam Hasan Al-Banna).

Akhirnya nanti, secara amalinya, bangun malam (qiamullail) dan berpuasa 14hb Syaaban adalah ibadah yang Syar’iyy, merupakan salah satu taqarrub ilallah (mendekatkan diri kepada Allah) dan bukan bid’ah.

Berikut adalah sebahagian hadis-hadis berkenaan Nisfu Syaaban dari kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty:

Dari Usamah b Zaid ra berkata, “Aku bertanya, ya Rasulullah. Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan-bulan lain sepertimana engkau berpuasa dibulan Syaaban”. Rasulullah bersabda, “Ia adalah bulan yang manusia lalai terhadapnya, diantara Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekelian alam, maka aku suka amalanku diangkat sedang aku berpuasa” (riwayat An-Nasaie).

Dari At-Tarmizi dengan sanad-sanadnya dari Anas ra. dia berkata, “Nabi saw ditanya apakah bulan selepas Ramadan yang terafdhal berpuasa”. Nabi saw menjawab bermaksud, “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan”. Nabi saw ditanya lagi, “Sedekah apakah yang terafdhal?”. Nabi saw menjawab, “Sedekah dibulan Ramadan”. Kata At-Tarmizi, hadis ini hadis Hasan Sahih.

Doa ku 01

Dari Ibnu Majah dari Ali ra. dari Nabi saw bersabda bermaksud, “Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiyamullail pada malamnya, dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah swt turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman, “Adakah disana orang yang memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia ? Adakah di sana orang yang memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki ? Adakah di sana orang yang di beri ujian bala bencana, lalu Aku menyejahterakan dia ? Adakah di sana … adakah di sana … ? sehingga terbit fajar”.

b'slmn

Dari Al-Baihaqy dengan sanad-sanadnya dari Aisyah ra. bahawa Nabi saw bersabda bermaksud, “Jibril telah mendatangi aku dan berkata: Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Pada malam itu Allah membebaskan hamba-hamba dari siksaan Api Neraka seramai bilangan kambing Bani Kalb (merentasi satu tempat) selama sebulan. pada malam itu Allah tidak menoleh kepada orang yang melakukan syirik, pengadu domba (kaki batu api), pemutus silaturrahim, penderhaka kepada kedua ibu bapa dan orang yang ketagih arak”. Bani Kalb adalah kabilah Arab yang terbesar atau yang memiliki bilangan kambing yang terbanyak.

Akhir kata, Allahumma a’inni ala zikrika wa syukrika wa husni ibadatik (Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati, mensyukuri dan beribadah kepadaMu). Ameen ya rabbal alameen.

Ustaz Halim INIJALANKU www.inijalanku.wordpress.com

Thursday, July 7, 2011

Kenapa mereka?

"Ingatlah ketika pemuda-pemuda itu berlindung ke dalam gua lalu berdoa, "Ya Tuhan kami. Berikanlah rahmat kepada kami dari sisiMu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami."

"Maka kami tutup telinga mereka di dalam gua itu, selama beberapa tahun,"

"kemudian, kami bangunkan mereka, agar kami mengetahui manakah di antara kedua golongan itu yang lebih tepat dalam menghitung berapa lamanya mereka tinggal (dalam gua itu)."

"Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka." [Alh-Kahf: 10-13]

Apakah perkara menarik yang perlu kita tahu tentang kisah pemuda-pemuda ini? Adakah tempoh berapa lama mereka tidur yang kita hairankan? Atau adakah berapa jumlah pemuda-pemuda itu yang kita ingin hitungkan? Atau di manakah letaknya gua tersebut untuk kita ziarahi? Jawapannya tidak sama sekali! Bukan itu yang Allah ingin sampaikan melalui kisah ini. Ada hal yang lebih besar sebenarnya yang ingin dikabarkan kepada RasulNya dan umat ini.

Setelah ditidurkan untuk waktu yang lama (309 tahun), mereka telah dibangunkan pada suatu zaman di mana keseluruhan pemerintahannya telah beriman kepada Allah swt. Tidak seperti 300 tahun yang lalu di saat mereka terpaksa melarikan diri ke dalam gua demi menyelamatkan iman daripada pemerintah yang zalim. Pemuda-pemuda tersebut menjadi terkejut lalu kita yang membaca turut menjadi hairan bagaimana proses transformasi itu berlaku sedangkan yang Allah ceritakan ialah kisah pemuda-pemuda yang ditidurkan. Bukan kisah pemuda yang berdakwah!

Lalu siapa yang kalian rasa menanggung beban dakwah selama ratusan tahun itu sedangkan pemuda-pemuda tadi hanyalah ditidurkan untuk jangka masa tersebut?

Nah! Di sini kita boleh mengambil pengajaran yang Allah ingin ceritakan kepada Rasulullah saw. Ia terkait rapat tentang peranan pendakwah dalam menyampaikan agama ini kepada umat. Di sini juga kita akan tahu siapakah pemuda-pemuda lain yang tidak diceritakan dalam surah ini yang telah bersusah payah menyambung perjuangan dakwah oleh pemuda gua tersebut.

Dalam istilah yang mudah difahami, mereka inilah 'anak-anak usrah' kepada "pemuda gua" tersebut dan merekalah yang sanggup menanggung kepayahan dakwah ini sehingga berlakunya transformasi kepada masyarakat di negeri tersebut. Dalam kisah ini, Allah ingin tunjukkan dengan jelas hasil dakwah yang dimulakan oleh "pemuda gua" tersebut sehinggakan Allah membangunkan mereka kembali setelah ratusan tahun ditidurkan.

Lalu kita bertanya lagi, kenapa mereka?

Mengapa kisah pemuda yang tidur itu yang diceritakan dalam Al-Quran?

Apa sebabnya kalian rasa?

Jelas yang diceritakan itu ialah mereka-mereka yang memulakan dakwah ini! Begitu besar kemuliaan yang Allah berikan kepada mereka yang memulakan dakwah ini sehingga pemuda gua tersebut dimuliakan dalam ayat suci Al-Quran yang akan dikenang umat seluruhnya sehingga hari kiamat.

Mereka diberi penghormatan dan ganjaran yang sangat besar kerana mereka telah memulakan dakwah tersebut. Meskipun mereka tidak sempat melihat hasil dakwah pada zaman mereka, namun kejayaan itu akhirnya diberikan juga kepada tangan-tangan generasi seterusnya yang menyambung usaha yang mereka mulakan.

Mereka dibangunkan ratusan tahun setelah berlalunya zaman mereka untuk diperlihatkan hasil dakwah tersebut.

Itu juga satu lagi pengajaran yang Allah ingin berikan melalui kisah mereka ini. Iaitu, kita mungkin tidak akan melihat kejayaan dakwah itu berlaku di usia kita namun kita yakin bahawa generasi seterusnya pasti akan bertemu dengan kejayaan itu. Justeru, kita jadilah batu-batu binaan yang akan menyampaikan kejayaan tersebut suatu hari nanti.

Jika tidak ada seorang pun yang bersolat dalam keluarga kita, maka kita jadilah yang memulakannya agar keturunan kita seluruhnya akan bersolat...
Jika tidak ada pemuda yang ingin memikul dakwah ini di tempat kita berada, kita jadilah pemuda yang memulakan dakwah ini agar yang lain akan kena tempiasnya...

Kita hanya perlu tanya pada diri sendiri, mengapa "MEREKA" yang Allah ceritakan?

~p/s: Kisah ini telah diadaptasikan daripada penceritaan secara lisan oleh Dr Zainur Rashid Zainuddin. Ingin kenali tokoh ini? lawati facebook beliau di;

http://www.facebook.com/pages/Dr-Zainur-Rashid-Zainuddin/155707591143880

Wednesday, July 6, 2011

Penjelasan pendirian ISMA terhadap isu Bersih

Posted on Julai 6, 2011 by Abdullah Zaik

Pertukaran kuasa secara aman adalah salah satu mafhum positif yang terdapat dalam demokrasi yang diterima oleh Islam. Feqah Islam di peringkat awal memperketatkan syarat mengambil alih kuasa dengan cara kekuatan kerana cara itu boleh menyebabkan pertumpahan darah, kehilangan nyawa yang banyak, kesorakan harta benda yang tidak terkira dan haru-biru dalam kehidupan manusia.

Atas alasan itu difahami fatwa ulamak yang sangat menekankan kewajipan mentaati imam dan kerana sebab yang sama menerima konsep ambil alih kuasa dengan kekuatan dan melalui cara warisan. Setelah diperhalusi oleh ulamak muhaqiqin didapati bahawa perubahan kerajaan boleh dilakukan walaupun ia tidak menjadi kafir jika perubahan itu tidak membawa kepada kemudharatan yang besar.

Ar-Rasyid di dalam kitabnya Usul Al-Ifta’, telah memberi fatwa keharusan keluar daripada imam (pemimpin) jika proses perubahan tersebut tidak membawa mudarat yang lebih besar berbanding mudarat yang dilakukan oleh imam tersebut jika dia terus memerintah.

التغيير بالقوة جائز شرعا إذا لم تصاحبه مفاسد ودماء أكثر مما يريقها الظالم مباشرة أو بطريق غير مباشر
“Proses perubahan secara kekuatan adalah harus syar’ie (dibolehkan oleh syarak) jika fitnah, kerosakan dan pertumpahan darah yang berlaku lebih sedikit berbanding kerosakan yang berlaku sekiranya pemimpin zalim itu terus memerintah, secara langsung ataupun tidak langsung”.

Pilihan raya yang adil membolehkan proses perubahan kuasa berlaku dengan aman. Saya kira ia adalah satu tahap kematangan yang pernah dicapai dalam sejarah manusia. Hari ini mana-mana pihak yang ingin merebut kuasa boleh masuk pilihan

raya dan perubahan kuasa boleh berlaku dengan aman tanpa pertumpahan darah, kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan sebagainya.
Atas dasar itu ISMA bersetuju secara umum terhadap tuntutan mewujudkan sistem pilihan raya yang bersih dan adil tidak kira datang daripada mana-mana pihak sekali pun. Walaubagaimana pun ISMA mengambil sikap berhati-hati terhadap penganjuran perhimpunan Bersih yang bakal diadakan pada 9 Julai ini. Ini sesuai dengan dasar ISMA yang non partisan dan setelah penilaian dibuat secara menyeluruh.

ISMA berpendapat ada unsur provokasi dalam penganjuran BERSIH 2.0. Walaupun penganjur menjanjikan perhimpunan aman tetapi bilangan yang diunjurkan ratusan ribu melebihi kemampuan polis Malaysia yang hanya berjumlah 150000 orang dan beberapa ribu anggota FRU untuk mengawal. Situasi luar kawalan ini dalam istilah feqah dipanggil mazannah al-fitnah (potensi besar berlaku fitnah) yang boleh dijadikan sandaran dalam membuat hukum. Jika diandaikan jumlah itu berada di jalan mustahil polis akan dapat mengawalnya dan keselamatan umum akan terancam dan itu boleh menyebabkan huru-hara yang ditegah oleh syarak.

Dalam keadaan itu jika diandaikan pihak kerajaan tidak memenuhi tuntutan dan itu sangat besar kemungkinannya maka keadaan lebih serius boleh berlaku. Ketamakan politik pihak-pihak yang terlibat mungkin merubah perhimpunan aman kepada konfrontasi, revolusi dan sebagainya. Ini telah berlaku di negara luar. Ini tidak termasuk tindakan-tindakan provokatif yang mungkin dirancang oleh pihak tertentu.

Mengambilkira kerapuhan sistem politik Malaysia yang terdedah kepada ketamakan dalam dan luar negara, ISMA mengambil pendirian berhati-hati terhadap perhimpunan Bersih. Landasan kami dalam membuat pendirian tersebut ialah:

1. Kemungkinan perhimpunan menuntut pilihanraya Bersih boleh bertukar kepada tekanan supaya berlaku perubahan kuasa secara tidak aman. Ini berlawanan dengan matlamat asal Bersih yang mahu mengukuhkan sistem pilihanraya dan seterusnya berlaku pertukaran kuasa secara aman. Seperti yang kita lihat berlaku di luar negara perubahan cara ini tidak membawa negara kepada demokrasi sebaliknya kembali ke zaman faudho (ketidaktentuan yang berpanjangan) di samping musuh-musuh negara menunggu peluang untuk membaham.

2. Perubahan kuasa buat masa ini akan memperkukuhkan kedudukan puak-puak liberal yang berfahaman sekular barat. Dengan terbentuknya sistem demokrasi liberal ala barat yang meminggirkan agama dan bangsa akan menjauhkan lagi matlamat perjuangan Islam.

3. Perubahan yang berlaku tidak memenuhi syarat syar’ie (syarak) yang mana perlu wujud kepimpinan Islam yang layak, dominan dan mendapat sokongan yang kuat daripada massa. Jika perubahan berlaku golongan Islam dalam gabungan alternatif tidak memenuhi syarat yang disebutkan.

Pendirian ini dibuat berdasarkan kaedah saddu az-zari’ah (menghalang sebab yang membawa kemudhoratan), dan kaedah merubah kemungkaran tidak boleh menyebabkan kemungkaran yang lebih besar. Dalam hal ini huru-hara yang mengancam kestabilan negara boleh berlaku.

ISMA mencadangkan agar perhimpunan Bersih mengambil kira pandangan ini dan menyokong kiranya pihak penganjur bersetuju untuk dibuat di stadium walaupun ISMA masih menuntut agar bilangannya mesti dikurangkan.

Sekali lagi ISMA mengambil kesempatan untuk mengajak umat Islam agar kembali kepada kitab dan sunnah, bersatu padu dan mengelak daripada terjebak dalam permainan politik yang akhirnya merugikan perjuangan Islam. ISMA melihat semangat kepartian melampau boleh membakar apa sahaja yang masih tersisa.

Sekian wassalam.

copy n paste dari blog;
http://ustabdullahzaik.wordpress.com/2011/07/06/isma-dan-bersih/

Monday, July 4, 2011

Welcome to Cardiff


Assalamualaikum wbt,

Pertama sekali, tahniah diucapkan kepada semua yang mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke University of Cardiff! Sesungguhnya, anda bakal menjejakkan kaki ke salah sebuah tempat yang mempunyai komuniti Melayu teramai selain London, Southampton dan Manchester. Jadi, cakap kat family jangan risau sangat bila anda sampai di Cardiff nanti. Seniors kan ada! =)

Sebenarnya, banyak sangat benda nak cerita kat adik-adik yang baru ni tapi tak cukup masa kalau nak dituliskan di sini. Jadi, saya tuliskan apa yang anda perlu tahu serba sedikit sebelum sampai ke sini.

Pertama sekali, bila sampai saja ke Heathrow insyaallah ada pegawai MARA yang akan menjemput anda di sana. Kemudian beliau akan membawa anda semua ke stesen bus yang terletak di Terminal 3 lapangan terbang tersebut. Bus direct ke Cardiff coach station bakal menelan belanja sebanyak 42 GBP. Jangan convert ke RM! Takut tak jadi naik bus pulak nanti. =)

Ada je cara yang lebih murah untuk sampai ke cardiff iaitu transit di Victoria Coach station, London. Tapi, itu pun kalau ada seniors yang tolong bawakkan dan anda sanggup berpenat lelah mengangkut barang-barang yang menimbun tu. Insyaallah jika ada senior yang sudi pick up anda di Heathrow nanti, bertuahlah anda. Senang ckit nak angkut barang.

Setibanya di Cardiff, insyaallah seniors akan sediakan pengangkutan kereta untuk membawa anda semua ke tempat penginapan masing-masing. Selain itu, anda juga akan dibawa untuk ber shopping bagi membeli keperluan asas seperti duvet (selimut), bantal, cadar, toiletries, makanan dan sebagainya. Jadi, jangan bebankan diri anda nak bawak suma benda tu dari Malaysia. Sampai Cardiff nanti kita tolong carikan.

Untuk hari-hari pertama anda di Cardiff, abang-abang dan kakak-kakak akan berbesar hati sekiranya anda nak tumpang tidur kat rumah dia orang. Boleh la dia orang tolong masakkan dulu untuk anda nanti.

Seterusnya, yang selalu menjadi isu ialah barang apa nak bawak nanti eh? Hmm...secara jujur kalau saya katakan jangan bawak barang banyak-banyak, pasti anda akan tetap bawak banyak. Jadi, saya katakan, terpulang kepada selera individu. Tapi, antara perkara penting yang anda perlukan ialah perencah nasi goreng dan Brahims instant food. Benda lain suma ada kat sini termasuklah Mee Maggi (jenama malaysia), kicap kipas udang, serbuk kari dan lain-lain. Kalau anda minat masak kurma, boleh lah bawak dari Malaysia. Yang tu takde kat sini.

Cardiff ni sangatlah kecil dan comel! Anda jarang memerlukan penggunaan bus dan teksi. Cukup sekadar berjalan kaki atau menaiki basikal. Jarak perjalanan kebanyakannya within walking distance. Jadi, boleh lah anda berjimat sedikit wang belanja untuk keperluan lain. Nanti, kepada sesiapa yang nak beli basikal murah, boleh minta tolong seniors. Harga selalunya between 20-40 GBP. Basikal second hand. Yang baru boleh mencecah ratusan pound.

Seterusnya, baju sejuk berapa helai nak bawak? Bagi saya, apa-apa baju yang anda rasa selesa nak pakai masa anda pergi ke Cameron Highland tu pun dah cukup sebab masa anda sampai nanti, musim luruh dan taklah sesejuk musim sejuk. Bila sampai sini nanti, marilah bershopping membeli pakaian sejuk yang lebih murah dan cantik di Cardiff city centre atau Bridgend outlet.

Kepada sesiapa yang berminat untuk menetap di rumah bersama seniors (lelaki saja), anda boleh hubungi saya dengan segera di talian 0134536951 (pokcik) atau dr_one33@yahoo.com. Selalunya pelajar baru akan memilih untuk tinggal di University accomodation, cumanya dari segi kos dan keselesaan, tinggal bersama senior pastinya lebih baik kerana setiap hari sudah ada jadual memasak. Tak perlulah anda masak setiap hari. Ni bukan nak promote untuk tinggal dengan seniors. Sekadar makluman berdasarkan pengalaman.

Apa lagi yang anda nak tau? Owh ya...nanti insyaallah kita akan adakan freshers camp sebelum anda semua memulakan sesi persekolahan. Camp ni free of charge dan anda sangat digalakkan untuk menyertainya supaya dapat kenal lebih ramai seniors termasuklah yang abang dan kakak postgrad yang sudah berkeluarga. Nanti bila dah kenal, senang sikit nak minta tolong dan sebagainya.

Akhir sekali, selamat datang diucapkan! Di bumi perantauan inilah anda akan banyak belajar erti sebenar kehidupan. Insyaallah, kita sama-sama mendoakan agar kehidupan di Cardiff ini akan menjadi kenangan yang terindah sepanjang hidup kita.

Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan, boleh hubungi saya di talian berikut;
0134536951 (malaysia)
07527796959 (UK)
dr_one33@yahoo.com
Firdaus A Bakar (facebook)

Promo Tautan Ukhuwah 2011



Berminat? Daftar segera dan jadilah sebahagian daripada manusia yang akan mencipta sejarah tersendiri dalam perjalanan hidup mereka. Siapa lagi kalau bukan anda? =)

Sunday, July 3, 2011

mengEKSLUSIFkan agama!

Kadang-kala, tanpa kita sedari agama Islam semakin hari semakin dijadikan ekslusif oleh sesetengah pihak. Seolah-olah hanya manusia-manusia tertentu sahaja yang boleh mengamalkan ajaran Islam. Sedangkan Rasulullah saw diutuskan untuk menyampaikan Islam kepada seluruh alam.

Semalam ada terbaca buku "Mengemudi Bahtera Perubahan Minda" karangan Dr Asri Zainal Abidin (MAZA). Kupasan-kupasan awal yang dikemukakan beliau dalam buku tersebut sangat menarik dan santai untuk dibaca. Idea-idea dan hujah yang dilontarkan juga berjaya membugar minda dan mengetuk hati yang lalai dalam menghayati ajaran Islam yang sebenar.

Membaca contoh-contoh penyelewengan agama yang berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia telah membuatkan aku berfikir tentang beberapa perkara seumpamanya yang berlaku di tempat kelahiranku. Penyelewengan yang aku maksudkan bukanlah sehingga membabitkan persoalan akidah, tetapi lebih kepada perkara-perkara yang menyulitkan ajaran Islam sehingga amalan yang sepatutnya dilakukan oleh seluruh umat Islam menjadi ekslusif untuk golongan tertentu.

Sebagai contoh (tidak dipetik dari buku tersebut), aku dapat menyaksikan betapa solat jemaah di masjid telah menjadi ekslusif kepada golongan-golongan lama yang berkopiah putih dan berkain pelikat sahaja. Anak-anak muda yang datang bersolat dengan memakai baju T-shirt dan tidak berkopiah akan dipandang pelik sehinggakan ada mata yang seolah-olah membenci pakaian anak muda tersebut. Seakan-akan hanya mereka yang berkain pelikat dan berbaju melayu sahaja yang diterima solatnya.

Aku tidak katakan semua yang di masjid memandang dengan pandangan yang sebegitu, tetapi tetap ada sebilangan besar yang berperangai sedemikian sehingga menyebabkan anak muda menjadi takut untuk hampir ke masjid. Selain itu, solat jemaah di masjid juga hanya layak untuk mereka yang sanggup menyempurnakan zikir dan tasbih selepas solat yang berjela-jela panjangnya. Sesiapa yang terus berdoa dan beredar sebelum itu akan dipandang "kurang layak" untuk bersolat di masjid. Maka, semakin jauh lah anak muda dari masjid gara-gara undang-undang yang tidak ada dalam syariat itu diamalkan oleh golongan lama ini.

Semasa berada di United Kingdom, aku sangat selesa bersolat di masjid kerana tidak ada peraturan atau undang-undang khas untuk amalan-amalan tertentu yang menyusahkan. Usai solat, imam akan terus membaca doa ringkas dan kemudian bersurai. Sesiapa yang ingin menunaikan solat sunat selepas itu juga tidak berasa beban kerana tidak ada zikir yang berbelas minit panjangnya.

Lihat saja filem-filem atau drama yang ditayangkan di Malaysia. Golongan alim pasti akan digambarkan dengan berjubah, sentiasa memegang tasbih dan berserban dua tiga meter panjangnya. Hidup mereka seolah-olah terpisah dengan manusia lain. Seolah-olah mereka hanya beribadah setiap waktu. Inikah Islam yang kita nak tunjuk kepada non-Muslim? Inikah Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw dan para sahabat? Apa kata non-muslim nanti? "kalau macam ni baru boleh jadi islam yang baik, tak mau la masuk islam. Takkan nak kena pakai uniform macam tu. saya ni peguam."

Agama ini untuk semua. Mengapa menyulitkan perkara yang pada asalnya dimudahkan untuk kita? Sebab itu la jugak aku malas nak dengar kuliah agama di masjid kampung. Haram sana, haram sini, batal sana, batal sini. Lemas nak dengar. Aku yakin, golongan muda yang sudah terbuka mindanya lebih tertarik untuk mendengar kupasan-kupasan yang lebih mencabar intelektual mereka dan bukannya cerita-cerita ajaib zaman dulu-dulu yang entah dari mana sandarannya.

Zaman sekarang, anak muda sudah tidak boleh terima jika dunia ini berada atas seketul batu yang berada atas badan ikan nun. Jika bergerak ikan nun itu, maka bergeraklah bumi (gempa bumi). Mereka sudah terdidik jika bumi ini terapung-apung di ruang angkasa bersama-sama planet-planet lain.

Bengkak juga hati bila setiap hari dipandang pelik bila solat dengan berbaju T-shirt dan tidak berkopiah putih!

Friday, July 1, 2011

jodoh kanta lekap

Assalamualaikum wbt,

Pertama sekali saya memohon perlindungan daripada Allah swt agar surat ini tidak menjadi lubang-lubang untuk syaitan menyesatkan saya dan saudari. Saya juga ingin memohon maaf kerana saya pasti surat ini akan mengganggu ketenangan hidup saudari buat beberapa ketika tapi saya harap saudari mengerti bahawa surat ini saya utus demi tujuan yang baik.

Seterusnya, saya ingin saudari tahu bahawa pada ketika saudari menerima surat ini, hati saya telah benar-benar mantap ingin menjadikan saudari teman hidup. Sejak hari pertama bertemu saat saya menempah kanta lekap seminggu yang lalu, malam-malam saya ditemani istiharah memohon diberi ketetapan hati dalam memilih pasangan hidup. Sehinggalah semalam saya berasa tergerak untuk menulis surat ini sebagai ikhtiar saya.

Saya minta maaf kerana cara saya ini mungkin tidak sesuai atau mungkin menyinggung perasaan saudari. Tujuan sebenar saya mengutus surat ini adalah kerana ingin meminta nombor telefon ibu bapa saudari untuk saya hubungi. Itu pun jika saudari bersetuju untuk bertaaruf dengan lebih lanjut dan mantap menerima cadangan ini.

Akhir sekali, saya ingin memohon maaf sekali lagi jika setelah membaca surat ini, saudari berasa terganggu. Tak perlulah saudari membalas surat ini. Jika mantap rasa hati setelah istiharah, forwardkan nombor telefon ibu bapa saudari ke nombor ini; 0134562891.

Sekian...
yang melihat lewat kanta lekap ~ Firdaus

p/s: Gara-gara malam yang ditemani "jet lag" maka terhasil lah angan-angan dalam bentuk penulisan ini. Kisah aku pergi buat kanta lekap tu betul, cuma yang lainnya tu tak betul termasuklah nombor telefon (jangan cuba telefon).