Wednesday, May 26, 2010

Berat dan memang berat!


Membaca post juniorku tentang 10 kenangan terpahit di KMB benar-benar mengingatkan aku tentang UJIAN yang berat yang menimpa aku semasa di KMB. Berat dan memang berat!

Sebenarnya kalau ingin diceritakan memang banyak lah kenangan pahit yang aku alami di KMB (banyak juga yang manisnya) tetapi ada dua peristiwa yang benar-benar memberi kesan kepada siapa aku sekarang. Peristiwa ni berlaku semasa aku berada di semester ketiga dan kedua-duanya berlaku secara berturut-turut. Kedua-dua ujian itu maha berat dan sungguh menekan seolah-olah memberi isyarat bahawa ada suatu benda besar juga akan hadir dalam hidupku.

Peristiwa yang pertama berlaku pada jam 9.40 pagi, hari Rabu berhadapan pintu kelas M07A tahun 2008. Waktu tu aku baru selesai minum pagi di dewan selera dan bersedia untuk kelas berikutnya. Tiga langkah lagi untuk masuk ke kelas, aku mendapat panggilan telefon dari Kak Ani (kakak nombor 3). Dia menangis teresak-esak sebelum memberitahu yang ayahku sedang bertarung dengan maut. "Innalillahi wainna ilaihirajiun...ujian apakah ini? Ya Allah, kuatkan aku! Kuatkan aku!" menggeletar badanku. Dalam hati serba keliru. ada sedih, ada rasa bersalah, ada rasa tidak percaya kerana baru semalam aku berbual dengan ayah melalui telefon. Aku ingat lagi suara ayah yang gembira memberitahu dia baru saja makan bihun sup yang sudah lama diidamnya. Ada rakan sekelas yang menyedari reaksiku cuba menghampiri pantas aku mengelak dan terus beredar. Aku cuma minta dia sampaikan pesan kepada teacher English ku yang aku tak dapat hadir kelasnya.

Aku mendapatkan ustazah Johainah (ketua warden) untuk mendapat pelepasan cuti kecemasan. Sementara menguruskan pelepasan cuti untukku, aku diminta berkemas-kemas apa yang perlu untuk pulang ke kampung. Sedang aku berkemas di bilik, satu mesej bertandang ke inbox. dari Ustazah Mardhiah, guru Pendidikan Islam ku. Juga tempat aku meminta pelbagai nasihat dan ilmu agama Islam. Dia meminta aku berjumpa dengannya sebentar sebelum aku berangkat. Rupanya hampir semua guru sudah menyedari berita itu. Terima kasih ustazah atas sumbangan kewangan yang benar-benar diperlukan ketika itu. (duit dalam dompet hanya berbaki RM 50 sahaja ketika itu). Terima kasih juga kepada Puan Hanirus (HEA) yang turut memberi sumbangan kewangan serta membantu pembelian tiket flight untuk aku segera sampai ke Pulau Pinang.

Tiba di rumah tepat jam 4.10 petang hari yang sama dengan menaiki teksi. Semua yang ada kelihatan suram sambil mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran dan surah Yassin kepada ayah. Aku lihat ayah yang sudah tidak dapat berkata-kata. Matanya pejam. Badannya terdampar lesu atas katil bujangku.

Air mata mula derderaian, aku menangis tersesak-esak cuba mendapatkan sebarang reaksi dari ayahku. Emak yang setia di sisi ayah cuba membisikkan ke telinganya memberitahu anaknya yang bongsu sudah pulang. Aku yang terakhir tiba daripada 9 orang anaknya. Hanya tangan lesu ayah yang cuba menggenggam lemah tanganku. Matanya hampir tidak upaya dibuka namun digagahi juga. Mungkin rindu kerana lama benar dia tak tatap wajah anak bongsunya. Sebaknya bagai menikam-nikam hatiku. "Ayah, adik mintak ampun atas semua salah silap adik selama ni." Ayah hanya mampu mengalirkan air mata tanda pemberian maafnya kepada anak yang selalu tidak ada di sampingnya selama ini...

Esoknya, usai Subuh aku membacakan surah yassin ditemankan bapa saudaraku. Ahli keluarga lain cuba untuk tidur semula kerana semalaman berjaga. Ada juga yang sibuk di dapur menyediakan sarapan seringkas mungkin kepada anak-anak kecil yang kesemuanya masih lagi tidur. Tiba-tiba ayah kelihatan semakin nazak, aku berselang-seli antara mengajarkan kalimah syahadah dan diam menanti reaksi ayah. Aku terus ulangi mengajar kalimah syahadah kepada ayahku sehinggalah tepat jam 7.06 pagi itu ayah pergi buat selamanya. Kak Yam (Siti Meryam), yang merupakan seorang doktor mengesahkan kematian ayahku. Hari itu tarikhnya: 14/08/2008...

Aku kehilangan air mata. Tidak mampu menitiskan walau setitis air mata bermula dari proses memandikan jenazah sehinggalah melihatnya buat kali terakhir di liang lahad. Usai talkin, semua yang hadir bersurai, ahli keluarga juga semuanya pulang ke rumah kerana masih banyak lagi perkara yang perlu diuruskan. Tinggal aku sendirian. Aku tidak terus pulang ke rumah sebaliknya aku memilih untuk singgah sebentar di masjid. Jam menunjukkan waktu 3.30 petang. Tiada sesiapa di masjid ketika itu kerana Asar masih lambat. Usai solat sunat aku beriktikaf seorang diri. Cuba memikirkan hikmah apa yang cuba Allah berikan melalui peristiwa ini? Seruan apa yang ingin disampaikan kepadaku? Tiba-tiba yang muncul dalam kotak fikiranku hanyalah kebodohan-kebodohan yang aku lakukan akibat dari mentahnya aku. Satu demi satu air mataku menitis membasahi baju yang masih berbau tanah. Setiap titis seolah-olah mewakili setiap kebodohan ku selama ini. "Ya Allah! Kepada Engkau aku menangis. Ya Allah! Sesungguhnya Engkau mengetahui bertapa cintanya aku kepada kedua ibu bapaku. Oleh itu ya Allah, engkau selamatkan lah keduanya daripada siksaan kubur dan api neraka." Aku terus hilang dalam tangisanku sehinggalah tibanya waktu Asar...

Esoknya, bila bangun dari tidur segalanya serba berbeza. Aku sudah tidak punya ayah...

Sudah hampir 2 tahun kusimpan semuanya seorang diri, biarlah hari ini kukongsikan dengan mereka yang sudi membaca. Ramai juga kenalan lama yang masih tidak mengetahui berita pemergian ayahku kerana kehilangan contact. Kenalan-kenalan baru yang bertanya "Ayah pokcik sihat?" untuk mereka aku menjawab dalam hati "semoga ayahku sihat-sihat sahaja di alam sana"...

Kepada yang masih beribu dan berayah, pintaku supaya: Jaga lah mereka, sayangi lah mereka, sedarlah dengan lebih awal akan berharganya kasih sayang mereka, peluk lah mereka, cium lah mereka kerana semua ini tak kan dapat kita lakukan bila datangnya Izrail menjalankan perintah Tuhannya...

Ujian kedua datang selang beberapa bulan kemudian dan ia juga ujian yang maha berat dan memang berat! Tapi aku tidak berhajat menceritakannya untuk post kali ini. Biar lah aku simpan untuk post yang akan datang.

p/s: Dah berapa lama tak telefon mak dan ayah? (pesanan khidmat masyarakat)...

Tuesday, May 25, 2010

Nak panas telinga?

Bila aku tengok facebook macam-macam benda yang aku nampak. Maksud aku gelagat manusia terutamanya mereka yang bergelar remaja. Sehingga kadang-kala aku bertanya sendirian, macam ni ke kualiti "KITA" yang ada pada hari ini? (sebab aku pun bergelar remaja)...Mengikut pendapat aku, kalau macam ni lah kualiti yang "KITA" ada nampaknya mustahil lah untuk kita lihat Islam itu bangkit pada zaman kita. (pendapat aku, boleh je disangkal)

Mari kita tengok apakah trend atau kebiasaan "KITA" yang sedang melalui zaman remaja pada tahun 2010 ni;

1) Pertama, aku nampak banyak dalam kalangan kita yang syok BERCINTA dan berpasangan. Kalau tengok dalam facebook tu, bersusun-susun nak upload gambar terbaru dengan pasangan masing-masing. Lepas tu, berbalas-balas comment berjela-jela panjangnya. Aku pun tak pasti apa tujuannya. Mengikut aku, mungkin dia orang ni nak ANNOUNCE kat orang ramai la kot yang dia orang ni sedang bercinta, so pandai-pandai la orang len JANGAN kacau apa yang jadi MILIK mereka. Kemudian, break up! Tukar pasangan dan proses tu akan berulang-ulang lagi. Sedar tak sedar golongan ni akan menghabiskan MASA muda mereka macam tu ja. Sia-sia! Banyak benda yang dia orang terlepas sebab asyik sangat dok bercinta. Apa yang ada dalam kepala dia orang ialah macam mana nak cari pasangan dan apa nak buat untuk teruskan relationship tu. Orang lain? Lantak lah! Politik? Lagi kami tak peduli! Masyarakat? Jaga kubur masing-masing lah ok...

2) Golongan kedua pulak terdiri dari peminat-peminat fanatic BOLA. Kata orang tidur bola, main bola, makan bola, minum bola, semuanya bola! Apa yang aku maksudkan bukanlah mereka yang sekadar mengikuti perkembangan bola kat televisyen tu. Mereka yang aku maksudkan ni ialah golongan yang dah rasa macam namanya ADA dalam senarai PEMEGANG SAHAM kelab bola sepak tersebut. Mereka ni akan setia dengan kelab bola tertentu sampai sanggup bergaduh dengan penyokong kelab lain untuk pertahankan kelab yang diminatinya. Duit? Tak payah cerita lah. Kalau boleh, mahu sahaja dilaburkan semuanya untuk kelab kesayangannya. Ye la, dia kan "pemegang" saham jugak! Selain itu, golongan ni lah yang akan memenuhi court-court futsal di kala manusia lain sedang diulit mimpi. Ini memang REALITI! Cuba korang tengok kat Malaysia. Berduyun-duyun budak Universiti akan bermain futsal sehingga lewat malam. Habis main pukul 12 tengah malam. Kemudian lepak kedai mamak sejam dua. Badan letih, perut kenyang, tidur lewat, bukan kah itu kombinasi terbaik untuk tidak bangun subuh esoknya? Aku takde masalah dengan FUTSAL, bahkan aku salah seorang peminat futsal. Boleh la sikit-sikit...Yang menjadi masalah sekarang ialah KETAGIHAN bermain tu. Sampai kadang-kala ponteng kuliah, assignment bertangguh sebab nak layan futsal. Macam golongan pertama jugak, dalam kepala dia orang ni dah takde pasal benda lain. Yang ada hanyalah BOLA, BOLA dan BOLA.

3) Seterusnya, aku dapat lihat ada golongan yang seolah-olah memegang sepanduk KAMI TAK PEDULI!. Mereka ni terdiri dari golongan yang samada kaki study, kaki gossip, kaki shopping dan macam-macam kaki lagi. Berlainan dengan golongan pertama dan kedua, golongan yang ketiga ni langsung tak nak bergaul dengan masyarakat. Mereka samada akan stay "single but not available" ataupun mereka hanya akan memilih teman-teman yang memiliki trait-trait yang sama saja. Lihat lah di mana-mana tempat sekalipun pasti kita dapat kesan kehadiran golongan ni. Apa sahaja aktiviti atau anjuran yang bersifat terbuka dan umum, pasti akan diabaikan oleh golongan ni. Bagi mereka, LEAGUE mereka tidak sama dengan orang kebanyakan, jadi TAK MASUK la kalau nak bergaul tu. Dalam kepala mereka hanya ada preference sendiri sahaja. Kalau kaki shopping, dia hanya akan ambil tahu perkembangan fesyen sahaja, kaki gossip pulak akan update berita-berita panas tentang artis kesayangan dan kebencian mereka. ISU MASYARAKAT? hmm..bukan league kami nak ambil tahu semua tu!

Mungkin ada yang panas telinga, panas mata dan sebagainya tetapi inilah realiti KITA. Bukan awak! Bukan dia! Bukan mereka! Tetapi ini isu KITA! Kita lah yang bergelar pemuda dan pemudi di saat aku menulis coretan ini. Tujuan aku menulis ni bukanlah untuk memanaskan siapa-siapa pun tetapi lebih kepada REFLEKSi buat KITA semua agar kita dapat menggunakan masa-masa yang masih berbaki ini untuk membaiki apa yang cacat. Untuk menambah baik apa yang dirasakan sudah baik. Untuk sama-sama menyiapkan diri sebelum membina rumahtangga Muslim yang diidam-idamkan. Kemudian membina masyarakat muslim yang diimpikan, seterusnya mewujudkan negara Islam yang diharapkan.

p/s: pandangan aku, boleh je disangkal =)

Sunday, May 16, 2010

Boleh menipu?


Boleh menipu? -Tidak boleh!

Rasulullah SAW pernah ditanya oleh sahabat boleh kah seorang muslim itu penakut? Baginda menjawab "YA".

Baginda juga ditanya boleh kah seorang muslim itu kedekut?
Baginda menjawab "YA".

Namun, apabila ditanya boleh kah seseorang muslim itu menipu?
Baginda menjawab "TIDAK".

Peristiwa ini bukanlah untuk menyatakan bahawa kita dengan mudahnya boleh menjadi seorang yang penakut dan kedekut tetapi lebih kepada penegasan bahawa MENIPU adalah DILARANG sama sekali. Seorang muslim mestilah bersikap BENAR dalam hidupnya.

Lihat saja teladan daripada Rasulullah SAW ketika di peringkat permulaan dakwah di saat baginda kali pertama mengumpulkan penduduk Makkah untuk menyampaikan risalah Allah SWT. Baginda bertanya kepada penduduk Makkah;

"Adakah kamu akan percaya kepadaku sekiranya aku mengatakan ada segerombolan tentera sedang bersiap sedia di belakang bukit ini untuk menyerang kamu?"

Apa yang dijawab oleh penduduk Makkah?

"Tidak ada yang kami tahu tentang engkau Muhammad melainkan yang benar sahaja".

Lihat bagaimana sikap BENAR yang ada pada Baginda telah meletakkan diri baginda sebagai orang keprcayaan sehinggakan setiap kata-katanya dipercayai orang.

Sekarang cuba lihat pada diri kita sendiri...

Adakah kita mempunyai sifat BENAR dalam kehidupan kita? Pernah tak kita mungkir janji apabila berurusan dengan orang di sekeliling kita? Pernah tak kita menokok tambah tentang sesuatu cerita untuk menambah minat orang mendengarnya? pernah tak kita menipu dalam bergurau? Pernah tak kita lewat apabila berjanji?

Percayalah ikhwah/at sekalian, sifat BENAR dalam kehidupan seorang dai'e adalah ibarat pakaian kepada badan. Andai tercalar kepercayaan orang terhadap kita, maka terlihat lah segala kecacatan yang ada pada diri. Akan hilang lah rasa hormat orang kepada kita.

Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri, pernah kah kita dengar ayat-ayat seperti ini yang merujuk kepada kita?

"Alaa...si A kalau dia kata on the way maksudnya lambat lagi la tu". atau,

"Hmm...si B ni kalau kata pukul 11, alamatnya 11.30 la dia datang".

Mungkin kita terlepas pandang terhadap perkara-perkara kecil sebegini tetapi percayalah bahawa ianya sangat memberi kesan kepada kepercayaan orang terhadap kita. Janganlah sampai kita dilabel dengan contoh-contoh seperti di atas kerana ianya akan terus merebak dalam seluruh urusan kehidupan kita.

Begitu juga dalam perbualan dan gurau senda dengan rakan-rakan, cubalah sedaya upaya untuk menghindari perbuatan MENIPU walaupun kita merasakan bahawa ianya tidak membawa mudarat kepada orang yang ditipu itu.

Semoga coretan ringkas ini dapat memberi peringatan kepada saya sebagai penulis dan ikhwah/at sekalian.

Jadi, boleh MENIPU? -Tak boleh...dan dieja sebagai "TAK BOLEH"

Friday, May 14, 2010

alang-alang mandi biar basah...

alang-alang randuk biar mandi,
alang-alang mandi biar basah,
alang-alang basah biar sampai seberang sana...

Itulah nasihat abang saya sebelum berangkat ke luar negara untuk menyambung pelajaran.
Abang saya, seorang nelayan- nasihatnya memang membekas di hati. Berputus asa jangan sekali! Hidup ini atas pilihan. Setelah pilihan itu dibuat maka lakukanlah sehabis daya. Jangan berhenti separuh jalan. Jangan buat kerja sekadar suka-suka.

selamat beramal =)