Monday, November 30, 2009

tak penat ke?

Assalamualaikum...

Maaf kerana lama menyepi. Banyak yang ingin diluahkan namun semuanya berakhir hanya di hati kerana bimbang untuk menulis sebenarnya...bimbang diri ini menjadi '
mamat' yang digambarkan dalam ayat tersebut;

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan" as-saff:3-4

Tapi, tujuan ayat ini diturunkan bukanlah untuk melarang kita dari memberi nasihat tetapi ia lebih kepada kata-kata motivasi dari Allah SWT kepada kita supaya kita sentiasa beringat sebelum kena. Tanda sayang!....

Untuk post kali ini saya berminat untuk bercerita pula. (teringat semasa menyertai pertandingan bercerita ketika darjah empat);

Pada suatu hari.....(dibaca dengan nada kanak2 sekolah)

....Seorang pemuda baru sahaja selesai menamatkan sesi perguruannya dengan seorang ulama' yang terkenal. Selama berada di bawah pengawasan ulama' tersebut, pemuda itu telah banyak mendalami ilmu agama. Gurunya itu pun sangat sayang akan pemuda tersebut kerana kesungguhan beliau dalam menuntut ilmu. Pada masa tersebut, tidak ramai lagi pemuda-pemuda yang sanggup merantau jauh demi mencari ilmu agama.

Setelah selesai mengemaskan barang-barangnya, pemuda itu pun berjumpa dengan gurunya buat kali terakhir sebelum pulang ke kampung halaman yang sudah lama ditinggalkan. Gurunya yang sudah maklum dengan pemergian muridnya itu menghampirinya lalu memeluk pemuda itu sambil menangis. Sedih benar melepaskan anak didik yang diasuh selama ini..


"Anakku, apakah yang akan engkau lakukan sekiranya syaitan laknatullah datang mengganggu mu?" ulama' tersebut mula bersuara.



"Demi Allah, aku akan melawannya guru!" pemuda itu menjawab dengan penuh semangat.


"Kemudian, jika ia datang lagi?" "Aku akan terus melawan dengannnya sehingga syaitan itu tewas wahai guru." pemuda mula kehairanan.


"Kemudian, jika ia datang lagi?" Si guru terus mengulangi soalan yang sama dan pemuda itu juga tetap dengan jawapannya.


"Wahai guruku, apakah maksudmu mengulangi soalan yang sama berulang kali? Apakah salah jawapan yang aku berikan?" Tanya pemuda tersebut kehairanan.



"Begitulah anakku, engkau akhirnya akan letih menjawab soalanku itu. Engkau tewas dengan soalan itu anakku. Oleh itu, dengar lah nasihatku ini..."

"Jika suatu hari engkau berjalan-jalan dan tiba-tiba datang seekor anjing hitam yang garang mengejarmu, apa yang akan engkau lakukan? Adakah engkau akan lari..lari...dan terus berlari? Tidak anakku, kerana akhirnya engkau akan letih jua. Engkau mungkin dapat lari pada awalnya, tetapi engkau pasti akan kepenatan dan akhirnya engkau akan dicelakakan oleh anjing itu. Justeru, yang lebih baik ialah engkau meminta bantuan dari pemilik anjing itu untuk menjinakkannya kembali. Kerana pemiliknya pasti lebih tahu bagaimana menangani anjingnya."

"Itulah maksud soalanku tadi wahai anakku! Menjawab soalanku yang berulang kali saja sudah bisa meletihkanmu, bagaimana pula jika benar-benar syaitan itu datang mengganggumu nanti? Adakah jawapanmu masih sama? "berlawan dengannya"....

....engkau bisa berlawan dengannya wahai anakku tetapi ingatlah bahawa akhirya nanti engkau akan kepenatan. Syaitan itu memang tidak akan pernah penat dan putus asa dalam menyesatkan kita. Dia akan terus datang dari kiri, kanan, depan dan belakangmu untuk menjerumuskan engkau ke lembah maksiat. "tidak akan penat!"

Justeru, jadikanlah kisah anjing hitam tadi sebagai pelajaran penting buatmu wahai anakku! Mungkin ianya lebih penting dari segala ilmu yang engkau pelajari bersamaku selama ini kerana ia bisa menyelamatkan seluruh kehidupanmu."

"Terima kasih wahai guru! Soalan tadi telah melengkapkan ilmu yang kupelajari darimu."

Pemuda itu kemudiannya berangkat pulang ke kampung halaman dengan nasihat berguna untuk disampaikan pula kepada yang lain.....(kebenaran cerita ini tidak dipertanggungjawabkan)
____________________________________________________________________

Pengajarannya....daripada kita asyik nak berlawan dengan syaitan, lebih baik jika kita mendekatkan diri dengan Allah SWT kerana Dia lah pemilik kepada syaitan itu. (masih ingat kisah pemilik anjing tadi?)..Apabila kita rapat dengan Allah dan memohon agar Dia jauhkan syaitan dalam kehidupan kita, pasti KITA YANG MENANG!

Tak perlu berlari lagi.....


"So, kita tak perlu lawan dengan syaitan? Takkan kot?"

Macam ni.....cuba dengar yang ini;

"Baiklah murid-murid, sekarang saya nak kamu semua JANGAN bayangkan buah durian dalam fikiran kamu!" kata seorang motivator dalam seminarnya

Rasa-rasanya berapa orang pelajar yang tidak akan terbayangkan buah durian itu?

jawapannya = 0

PASTI
.....semua pelajar akan mula membayangkan buah durian dalam fikiran mereka apabila mendapat arahan sedemikian walaupun sebentar tadi tiada seorang pun yang terfikir tentangnya..


Agaknya mengapa?


Sebenarnya otak manusia ini tidak dapat mendefinisikan maksud JANGAN. Sebab itulah kita sepatutnya menasihatkan supaya buat itu dan ini. Bukan JANGAN buat itu dan ini kerana perkataan jangan itu tidak berjaya diterjemahkan akhirnya...


Tak percaya?

Cuba buat eksperimen ke atas diri anda sendiri....

Kalau betul pun, apa kaitannya dengan cerita lawan syaitan tadi?

Begini, tujuan sebenar saya bercerita kisah anjing hitam, pemuda vs syaitan dan buah durian itu adalah untuk mengajak diri saya dan saudara-saudari sekalian untuk menilai kembali rutin kehidupan harian kita.

Apakah kita termasuk golongan yang suka berlari dari anjing tadi atau kita dari golongan yang satu lagi?(minta tolong pemilik anjing itu)

ORANG YANG BERLARI akan berkata: "yes....hari ni aku berjaya mengelakkan diri dari menipu.", "aku dah seminggu tak mencuri", "aku dah sebulan dapat jaga mata".....dan seterusnya.

Bagaimana dengan esok? minggu depan? bulan depan? tahun depan? boleh tahan lagi? tak penat ke?

GOLONGAN KEDUA akan berkata: "yes...hari ni aku dah baca 20 muka surat Al-Quran." "minggu ni dah 2 kali tahajud", "bulan ni dah 3 hari puasa sunat", "mathurat dah baca", "solat jemaah hari ni alhamdulillah lengkap"...dan seterusnya.

Apa bezanya kedua-dua golongan ini?
Golongan pertama akan selalu berfikir tentang mencuri, menipu, tengok benda haram dan macam-macam lagi benda yang berdosa dan maksiat. Kerana otak kita tidak terjemahkan perkataan 'jangan' dan 'tidak'. Jadi, lama-kelamaan mereka ini akan buat juga maksiat yang selalu mereka fikirkan hari-hari tu.

Golongan kedua akan selalu berfikir tentang solat jemaah, baca Al-quran, solat tahajud, puasa dan segala jenis kebaikan yang mampu diusahakan. Justeru, mereka ini akan sentiasa terpelihara pemikirannya dari perkara-perkara maksiat dan negatif.

Golongan yang kedua ini lah yang TIDAK PENAT...

Jadi, penuhilah rutin harian kita dengan amal kebaikan. Buatlah checklist amal (mutaba'ah amal) supaya kita semua termasuk dalam golongan kedua. Semoga ada kebaikan darinya...Allahu 'alam....


p/s: ambil yang baik saja, yang buruk itu tinggalkan ia di sini...



Thursday, November 5, 2009

ujian itu tarbiyah..

"Chem2X, dia kata nak bagi ISK!" semua ketawa termasuk Chem (Kamal Haziq) apabila saya mengajukan namanya untuk pengisian petang itu. Biasanya begitu. Masing-masing cuba mencadangkan nama orang lain untuk pengisian tazkirah usai bacaan ma'thurat di surau An-Nur..

"Bismillah arrahman arrahim.." Farid akhirnya bersuara setelah hampir 5 minit kebuntuan mencari pentazkirah petang itu.

Ujian adalah tarbiyah! Itu lah isi penting yang telah mendarah daging dalam diri saya daripada pengisian Farid petang itu. Istimewanya sahabat yang seorang ni. Jarang bersuara, tetapi setiap kali bersuara pastinya berhikmah dan memberi manfaat. Manfaat itu harapnya kepada diri ini juga.

"Pokcik, bola macam mana? Menang ke kalah?" Tak terhitung banyaknya rakan-rakan yang bertanyakan soalan tersebut. Segan juga nak menjawab kerana pasukan saya kalah semua perlawanan. Namun sangat gembira rasanya kerana setiap soalan itu datangnya dari rakan-rakan seperjuangan dahulu di Kolej Mara Banting (KMB) . Besyukur atas pertemuan semula setelah agak lama berpisah.

"Nots game ni macam reunion budak-budak KMB je." "Baguslah macam tu! Dapat jumpa kawan-kawan balik."

Itu antara dialog-dialog yang saya dengar semasa di Nots game. Mengingatkan saya kepada kenangan di KMB, juga kepada isi tazkirah 'Ujian itu tarbiyah" dari akh Farid.


Mari sama-sama meneliti satu analogi mudah yang sempat saya fikirkan...


Pasukan futsal saya tewas besar mungkin kerana ini pertama kali menyertai pertandingan ini. Mungkin juga 'skills' setiap pemain pun masih di tahap yang boleh diperbaiki. Justeru, jika tahun depan ditakdirkan dapat bertanding lagi, mungkin peluang untuk menang lebih besar. Itu pun jika sepanjang tahun ni kami semua menjalani 'tarbiyah' / 'latihan' dengan baik.


Analoginya mudah - Jika larian saya masih perlahan, kenalah saya 'ditarbiyah' untuk berlari laju. Jika 'skill' mengawal bola masih lemah, kenalah saya 'ditarbiyah' untuk mengawal bola dengan baik. Betul tak?


Maksudnya??? - setiap 'latihan' atau kita sebut 'tarbiyah' itu memang tujuannya untuk mengatasi sesuatu kelemahan yang ada pada diri kita. Logik tak?


"Tak faham lagi lah apa yang awak cuba cakap ni...macam tak kena je awak guna perkataan 'tarbiyah' untuk benda-benda tu semua.."


Hmmm...ok! Kita cuba mudahkan;


Kita suka dan asyik dengar perkataan 'tarbiyah' ini dalam pengisian atau penulisan keagamaan. Justeru, saya cuba mencari analogi untuk meringankan pemahaman kita kepada 'tarbiyah' ni.


Analogi yang sama akhirnya;


"Entah la ustaz, ana pun hairan. Dah macam-macam ana buat. Ana bab-bab solat, baca Al-Quran, usrah dan yang lain-lain ana ok je, tapi...dengan perempuan ana lemah sikit lah!"


"Macam mana nak buat untuk elakkan kita dari terpengaruh dengan video-video yang tak elok kat Youtube, Metacafe, bla..bla...? Saya dah try banyak kali untuk tinggalkan benda ni tapi susah la..."


"Hehe..aku perempuan-perempuan ni tak main la..tapi aku addicted Naruto lah plak.. Macam mana nak buat? Ada nasihat tak?"


#p/s: Nampak tak persamaan ketiga-tiga dialog ni?


Analoginya - Setiap orang miliki kekuatan dan kelemahan yang tersendiri. Sebab itu lah ujian kita lain-lain. Ada orang Allah SWT uji dengan kelembutan dan redup pandangan seorang wanita. Ada yang diuji dengan jutaan 'sawang-sawang' / 'web-web' tidak elok di dunia siber. Ada juga diuji dengan kekurangan harta dan berbagai-bagai lagi ujian. Menandakan Allah SWT itu Maha Mengetahui akan setiap ciptaan Nya.


Objektif Ujian: Tarbiyah


Seperti yang saya katakan di awal tadi, 'latihan' / 'tarbiyah' itu tujuannya untuk mengatasi kelemahan diri. Selalunya orang yang melatih kita itu tahu bahawa kita perlukan sesuatu latihan itu untuk meningkatkan potensi kita. Begitu juga lah ujian yang Allah SWT berikan. Tujuannya tidak lain tidak bukan hanyalah untuk meningkatkan potensi diri kita.

Jika kita sayangkan seseorang, pasti kita akan cuba bantu atasi kelemahan yang ada pada diri 'si dia' kan. Betul tak? Begitu jugalah ujian yang diberikan kepada kita itu menandakan yang Allah SWT itu sayangkan kita dan DIA mahu kita atasi kelemahan yang ada pada diri kita ini.

JADI...Bersangka baiklah dengan segala ujian yang datang kepada kita kerana itu tandanya kita masih ada YANG sayang. Janganlah putus harapan kepada Yang Maha Pengampun...kerana walau sebesar mana dosa yang kita bawa, pasti lebih besar keampunan dari Nya. Sesetengah ulama' malah berkata haram hukumnya jika kita bersangka bahawa dosa kita itu terlalu besar dan tak akan diampunkan oleh Allah SWT. Seolah-olah kita menafikan sifat Nya yang Maha Pengampun.

UJIAN BERKALI-KALI....

"Selagi kamu tak pandai sepak guna kaki kiri, selagi tu la kamu kena belajar sepak petang ni. Kalau tak ,kamu tak boleh balik."

Begitu jugalah UJIAN...Datangnya kekadang berulang kali kepada kita. Terasa tidak tertanggung rasanya bila ujian yang sama datang menimpa berulang kali. Terasa tidak betah lagi menghadapinya..

Sampai bila???

Sampai lah kita sudah redha dengan ujian itu dan kita sudah bisa memenangi setiap dari ujian itu. Sampai lah kita sudah dapat mencapai objektif ujian itu tadi iaitu mengatasi kelemahan diri tersebut.

Yang lemah dengan wanita akan dikira sudah mencapai objektif ujian sekiranya dia sudah bisa menangkis godaan wanita. Yang miskin harta akan dikira mencapai objektif ujian sekiranya dia redha dan bersyukur dengan apa yang diberikan Allah SWT.

Begitulah analoginya.....UJIAN ADALAH TARBIYAH..

~Allahu'alam..


Monday, October 19, 2009

hanya di hati...


"Wardatul Iman?" "Bunga keimanan.." "Oh..sedap nama tu! Saya suka. Insyaallah ada rezeki nanti saya namakan puteri saya dengan nama tu."

Masih teringat perbualan dengan akh Murshid semasa cuti panjang yang lepas. Rasa pendek cuti yang panjang bila dipertemukan dengan orang macam Murshid. Rasa terisi masa cuti bila dapat berkenalan dengan siswa Madinah yang seorang ni. Siapa dia? Insyaallah akan dikenalkan suatu hari nanti...

"Maisarah maknanya ketenangan atau kekayaan." saya bersuara bila nama itu dipilih oleh abang untuk puteri sulungnya. "Patutlah tak selalu menangis! Bagus jugak nama ni. Tenang.." Abang cuba berjenaka.

Jenuh juga saya mencari nama-nama indah untuk anak saudara saya yang seorang ni. Beria benar menanti kehadirannya. Hampir semua kenalan mendapat mesej; "..apa nama Islam yang sedap2 dan bermakna untuk baby girl?" Usaha yang tidak sia-sia. Hampir semuanya membalas mesej dengan nama-nama yang indah termasuklah yang bergurau dengan nama "Christina Aguilera" dan "Jennifer Lopez". Terima kasih daun keladi semua!

"Ada apa dengan nama?" "Nama itu doa!" Saya harap kehadiran Maisara Safia akan membawa ketenangan dan cahaya dalam keluarga abang saya. Secara peribadi, saya memang suka nama Aisyah. Ada juga saya cadangkan. Nama isteri Baginda SAW. Dalam nama "Aisyah" ada doa dari saya agar suatu hari nanti akan ada kualiti Saiyidatina Aisyah r.a. dalam dirinya.(saya simpan dulu nama ni untuk anak saudara yang berikutnya, insyaallah)

Kelahiran Maisara Safia sebenarnya mengingatkan saya bahawa saya sudah besar! Sudah dewasa! Mengingatkan saya bahawa anak bongsu juga akan turut menjadi tua bila masa berlalu. Masa remaja saya sudah singkat....

Pesanan Al Bana kepada kumpulan Dr. Salim ketika mereka berumur 16 tahun;

"Jadilah lelaki sejati..."
Masa remajamu pendek, kamu mesti menjadi lebih baik
dari generasi kami...

"Berapa umur kamu?" "Saya 20 tahun tapi masih student, jadi kira muda lagi lah."
"Kamu?" "Saya 46 tapi masih student (postgrad), jadi kira....err..??"

Siapa lagi nak bagi alasan? Apa lagi alasan kita nak bagi?

Saya suka bila ada orang yang ingat tarikh lahir saya. Tambah-tambah dari orang yang kita tak sangka-sangka. Berbunga-bunga di hati...sampai terlupa yang orang tu sebenarnya nak ingatkan saya yang umur saya dah makin pendek. Astaghfirullah..pesanan Imam Hassan Al Banna rasanya masih belum saya ikuti. Masa remaja berlalu percuma saja.

"Since you are here, please do something for Islam." Cadangan untuk menziarahi Masjid Shah Jalal pada suatu petang sebenarnya sudah 'tertulis'. Mungkin untuk mengutip nasihat tersebut dari seorang pakcik yang sedang beriktikaf di dalamnya.

Buatlah sesuatu! Jangan berlengah lagi. Kita punya masa sebenarnya untuk menyumbang kepada Islam. Terlibatlah dengan usrah, halaqah, islamic society atau apa saja asalkan kita dapat menyumbang. Terlibatlah dengan melibatkan diri. Bukan kerana dilibatkan. Kita tidak sibuk tapi kita selalu menyibuk! Selalu habiskan masa lapang dengan aktiviti yang tak dirancang. Maknanya kita tak pernah merancang untuk mengisi masa lapang kita. Option yang paling nampak 'baik' selalunya berehat(aka tidur yang panjang). Tidur kan ibadah...

Kepada yang sudah terlibat dengan usrah, halaqah, dan sebagainya, janganlah kita berasa sudah berjasa kepada islam kerana penglibatan kita tetapi bersyukurlah kerana terpilih. Bersyukur lah dengan tidak memberi alasan sibuk apabila diperlukan untuk jalan dakwah ini. Jangan lah kita menghina dai'e-dai'e lain dengan mengatakan kita sibuk. Seolah-olah mereka yang lain itu tidak sibuk. Tidak bekerja. Tidak belajar. Tidak berkeluarga.

Tidak bermaksud kita perlu menjadi ekstrem dalam usaha kita kerana yang ekstrem itu sesuatu yang tidak kekal lama. Jadilah seorang yang konsisten dan istiqamah. Letihkan lah tulang empat kerat dan kudrat remaja kita ni untuk islam. Kerana hanya orang yang letih akan menikmati masa 'rehatnya'.

"manusia yang paling letih ialah mereka
yang besar keinginan dan harapannya"

wallahu 'alam..

Tuesday, October 13, 2009

Survival muslim!


Dia lelaki istimewa! Walaupun tak pernah bersua, dia tetap memberi inspirasi kepada saya untuk terus sabar dan istiqamah dalam jalan ini...

Figure yang saya maksudkan ini bernama Syeikh Farag Najjar, salah seorang tokoh yang sangat berjasa pada umat Islam. Untuk lebih mengenali beliau, saya cadangkan supaya membaca dari blog berikut;http://satuperkongsian.wordpress.com. Blog ini hasil karangan Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) iaitu Ustaz Fauzi Asmuni.

"Dakwah ini panjang dan payah! Oleh itu, kita perlukan rijal-rijal yang bernafas panjang untuk terus memikul tanggungjawab ini." Begitu pengajaran yang masih terpahat jelas dalam hati dan ingatan saya. Namun baru kini saya mula memahami apa yang dimaksudkan dengan 'bernafas panjang' itu. Saya suka mengambil contoh dari filem 'ayat-ayat cinta' iaitu ketika seorang pakcik memberi nasihat kepada Fahri; "Allah sedang berbicara dengan kamu tentang sabar dan ikhlas....."

Begitulah dalam jalan dakwah. Apa yang penting ialah untuk kita sentiasa ikhlas dalam usaha kita termasuklah ketika kita cuba mendekati kawan-kawan dengan belajar bersama, membantu ketika diperlukan, hatta bermain 'PEST' bersama. Semua itu akan hadir sebagai ibadah jika kita mulakan dan akhirkan dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Biarlah setiap apa yang kita lakukan itu ada matlamat di akhirnya seperti kata-kata seorang pakar motivasi dalam ceramahnya; "begins with the end in mind!"

Tidak semua perkara yang kita lakukan akan menjadi seperti yang kita harapkan. Itu lumrah kehidupan. Kita mulakan dengan niat yang benar namun masih tidak tercapai 'ending ' yang kita rancangkan itu. Itu fitrah! Cuba kita tanya diri sendiri, berapa banyak nikmat Allah SWT yang masih belum kita syukuri? Bukan kah oksigen yang kita nikmati ini 'free of charge' tapi masih kita melakukan dosa. Dalam maksud yang lain, seolah-olah kita tak berterima kasih kepada yang Maha Pemurah. Jadi, tak kira lah apa pun kebaikan yang kita dah berikan kepada orang lain, tak semestinya dia akan berterima kasih untuk itu. Itu fitrah! Bahkan itu juga sebahagian dari sifat kita sendiri...

Bila perkara-perkara tersebut terjadi, mula lah kita nak merungut. Salahkan diri, salahkan kawan dan kadang-kadang takdir pula yang disalahkan. Istighfar....Di sini lah nilai SABAR dituntut. Tidak kira sehebat mana pun kita, sedarlah bahawa kita tetap hambaNya dan bukankah hamba itu dimiliki,tidak memiliki? Oleh itu, sedar lah juga bahawa hamba sentiasa layak untuk diuji oleh yang Memiliki kita.

Hadis 16;
daripada Au Hurairah r.a: Bahawa seorang lelaki telah berkata kepada Nabi SAW: berikan aku wasiat. Baginda bersabda: "Janganlah engkau marah". Lelaki itu mengulang soalan itu beberapa kali. baginda tetap bersabda: "Janganlah engkau marah"
(H.R Al-Bukhari)

Ikhlas...sabar...istiqamah!

Saya sangat tersentuh apabila membaca sejarah hidup Syeikh Farag Najjar. Kehidupan beliau korbankan demi sebuah perjuangan yang jelas matlamatnya. Meremang bulu roma apabila dalam artikelnya, ustaz fauzi mengakhiri dengan; Moga-moga Allah menerima segala amalnya dan melahirkan pengganti seumpamanya untuk umat ini.

Saya aminkan doa tersebut. Umat ini memang memerlukan figure seperti beliau untuk terus memikul beban dakwah ini. Seolah-olah dalam hidup beliau hanya ada 3 perkataan ini- ikhlas...sabar...istiqamah.

Semoga kita terus thabat dengan jalan ini hingga nyawa tiba di kerongkongan. Marilah hidup bermatlamat! Jangan jadi remaja lembik. Malas berpesatuan. Malas berkawan. Malas membaca. Remaja hanya sekali beb! Jadi mari manfaatkan kekuatan maksimum yang hanya ada ketika remaja ini untuk kemudahan di hari tua nanti.

Akhir kalam, semoga Allah menerima amal baik yang kita lakukan dengan ikhlas keranaNya. Amin..

Wednesday, October 7, 2009

sekitar musafirku


Assalamualaykum...(diucapkan bukan sekadar memenuhi keperluan adat dan tertib bahkan lebih kepada doa seperti mana yang sepatutnya kita niatkan agar menjadi ibadah)

Telah genap 20 hari saya menghirup udara segar di bumi cardiff yang serba indah dan menenangkan ini. Terasa lama benar masa berlalu, seolah-olah sudah bertahun meninggalkan desa halaman. Mungkin kerinduan! Alhamdulillah, dalam tempoh 20 hari pertama di sini pelbagai pengalaman baru dan berharga telah saya kutip.

"Pokcik, bangun 2X! Dah dekat 6.30 pagi ni." teriak Azad mengajak saya ke masjid Abdul Rahman yang letaknya hanya beberapa blok rumah dari tempat tinggal 'kami'. Ini kali kedua saya bermalam di rumah abang Azad kerana menghadiri usrah malam tadi. Mudah-mudahan segala usaha kebaikan yang dilakukan oleh senior-senior dan diri ini sendiri mendapat redha Allah S.W.T.

Apa yang menarik yang ingin saya kongsikan sebenarnya terjadi usai sahaja solat Subuh pagi itu. Saya dan Ammarul Zaki agak terlewat dan hanya sempat menjadi makmum masbuk. Usai Subuh, semua bersurai. Kebanyakannya pulang ke rumah kerana kebetulan hari Sabtu memang hari bercuti di sini, sama seperti di Malaysia. Yang tinggal hanya kami berdua...

Mata masih berat sebenarnya, jadi kami bercadang untuk terus pulang sahaja. Namun, seolah-olah dalam perancangan (inilah yang dinamakan takdir) kami berdua bakal menyaksikan pengislaman seorang remaja bernama Michael (tak pasti ejaannya) yang masih bertindik telinga kirinya. Di sampingnya ada seorang lagi remaja 'mat saleh' yang lengkap berjubah. Bersih amat wajahnya! Mungkin telah memeluk Islam terlebih dahulu dari Michael.

Bergetar jiwa menahan sebak apabila mendengar ucapan kalimah syahadah dari bibir Michael! Subhanallah! Tuhan yang telah mensucikan jiwanya yang kotor sebelum ini dengan sesuci-sucinya. Allahu Akbar! Tuhan yang berkuasa memberikan hidayah kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Terasa ingin dipeluk sahaja saudara baru itu namun saya tahankan diri kerana masih kekok dengan budaya di sini. Takut-takut ianya menyalahi kebiasaan orang di sini. Selesai sahaja tazkirah pendek dari imam yang membantu Michael mengucapkan syahadah, kami berangkat pulang ke rumah masing-masing. Kisah itu saya ceritakan berulang kali kepada rakan-rakan di rumah.

Maksud hadis;
Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn 'Umar ibn al-Khattab r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasululullah SAW bersabda: "Islam itu terbina di atas lima perkara: Pengakuan bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu adalah Utusan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan menunaikan puasa pada bulan Ramadhan."
(H.R Al-Bukhari dan Muslim)

Mudah-mudahan kita mendapat pengajaran daripada kisah Michael ini. Jika kita mahu bermuhasabah diri dan umat kita sekarang ini, hayatilah hadis ini dan lihat adakah kita sudah mendirikan Islam? Michael telah lulus ucapan syahadahnya kerana dia mengucapkannya dengan penuh pengertian dan penghargaan akan nikmat hidayah yang diberi. Mudah-mudahan dia akan mampu menyelesaikan empat perkara lagi.

Mari selesaikan tuntutan yang pertama dalam senarai rukun Islam; mengucap dua kalimah syahadah! Kita sudah mengaku bahawa kita hidup berTuhankan Allah. Oleh itu, layak lah sekiranya kita juga menerima kenyataan bahawa kita adalah hamba kepada apa yang menjadi Tuhan kita.

Kita juga menerima dengan sepenuh hati bahawa Nabi Muhammad SAW itu Utusan Allah. Oleh itu, wajar lah kiranya kita menerima hakikat bahawa kita adalah umat kepada Utusan yang bernama Muhammad SAW.

Justeru, saya ingin menyeru diri ini terlebih dahulu dan saudara - saudari sekalian agar kita bermuhasabah kembali diri sendiri. Tanya diri kita adakah kita sudah benar-benar mensyukuri nikmat ISLAM yang Allah SWT berikan sejak kita lahir lagi? Jika terasa belum, maka carilah jalan untuk menuju Redha Allah SWT. Mulakan dengan taubat dan penyesalan atas dosa-dosa lalu dan terus dekatkan diri dengan amal kebaikan. Mudah-mudahan Allah SWT akan memberikan kemudahan untuk kita menempuh jalan yang sukar itu..Wallahu 'alam....