Wednesday, January 27, 2010

Perjanjian di Waktu Pagi – Imam Al Ghazali


Ole-ole hari lahirku...

Aku ini tidak memiliki dagangan apa pun selain umur yang tertinggal ini, mungkin masih agak lama atau hanya tinggal sedikit. Modalku iaitu usiaku tadi telah habis, maka habislah segala-galanya yang aku pergunakan untuk berdagang tadi.

Demikianlah perumpamaan diri, jiwa dan hatiku semasa masih di alam dunia ini. Apabila itu sudah terjadi, maka terputuslah aku dalam hal melakukan dan memperkembangkan perdagangan ini dan dalam hal mencari keuntungan. Aku tetap menganggap bahawa hari ini adalah hari baru bagiku, dan Allah Taala telah menangguhkan kematianku. Kematianku masih diperpanjangkan sekadarnya, juga kenikmatanNya telah dilimpahkan padaku. Kalau ditakdirkan aku mati, pasti aku mengharapkan agar Allah mengembalikan aku ke alam dunia, walaupun hanya sehari sahaja dan di dunia ini aku akan beramal soleh.

Kerana itu hai jiwa, anggaplah dirimu itu sudah meninggal dunia, kemudian kau telah dikembalikan oleh Allah ke dunia. Jadi tidak patutlah kalau kau menambah perkara-perkara yang berdosa yang dimurkai oleh Allah. Mulai saat ini janganlah kau sia-siakan kasih sayang Allah itu, maka janganlah disia-siakan hari yang berupa tambahan rahmatNya. Bersegeralah melakukan amal soleh yang diredhaiNya. Ingatlah wahai jiwa yang miskin! Sesungguhnya setiap hembusan yang kau keluarkan melalui hidungmu itu sebenarnya adalah suatu permata yang tidak dapat dibandingkan harga serta nilainya sebab amat tinggi harganya.

Hai jiwa! Jangan kau sampai tersesat jalan, dan ingatlah bahawasanya sehari semalam itu ada 24 jam. Oleh kerananya pada hari ini wajiblah kau giat dalam beramal soleh yang dapat dipergunakan sebagai simpanan. Jadi makmurkanlah isi almari tabungmu untuk pergi ke alam akhirat, jangan kau tinggalkan kosong melompong tanpa sesuatu apa pun di dalamnya, sebab semuanya itu akan menjadi milikmu yang akan menyelamatkan dirimu dari azab Allah Taala yang pedih dan amat menyakitkan.

Hai jiwa! Janganlah kau condong pada kesukaanmu yang salah seperti bermalas-malasan mengerjakan amal soleh tadi, membiarkan waktu senggangmu hanya untuk bermain-main yang tidak ada manfaatnya sedikitpun, juga kegemaranmu selalu beristirehat dan sentiasa bersantai, sebab bila itu yang kau kerjakan, maka kau akan terlambat untuk meraih darjat, atau tingkat yang dapat dicapai oleh golongan orang yang dapat menempati tempat Illiyyin, yakni kedudukan yang tertinggi dalam alam akhirat nanti.

Ini hanya dapat diduduki oleh orang yang giat dan suka beramal, sedang kau dengan kemalasan dan kelengahanmu tadi akan menyesal untuk selama-lamanya. Waktu itu merubahnya tidak mungkin ada, sebab semua pintu telah tertutup rapat. Perhatikanlah semua nasihat di atas itu, agar kau hidup selamat dan berbahagia serta memperoleh ampunan dan keredaan Allah Subhanahu Wa Taala.

Sunday, January 17, 2010

Tips...

16 TIPS Untuk Meransang Kehebatan Dalam Pergaulan


1. Jaga solat dan lakukan ibadah-ibadah khusus dan umum yang lain.

2. Sentiasa bersangka baik terhadap semua orang( walaupun kita perlu berwaspada setiap masa)

3. Sentiasa memberikan senyuman ikhlas kepada orang disekeliling kita.

4. Banyakkan bersedekah, sama ada dalam bentuk wang, senyuman, bantuan tenaga, masa, nasihat, idea, pandangan, sokongan moral dan doa yang berterusan.

5. Sentiasa memperbanyakkan sabar. Nabi s.a.w pernah berpesan supaya mencari 144 sebab sebelum kita memarahi seseorang.

6. Sentiasa ceria apabila berjumpa dengan orang lain. Pastikan setiap orang seronok berinteraksi dengan kita.

7. Pamerkan perasaan sayang dan sentiasa sayang menyayangi antara satu sama lain.

8. Bentuk dan pamerkan sahsiah yang positif setiap masa. Peribadi yang kurang sopan akan menyebabkan orang lain rasa mual terhadap kita.


9. Jika wujud sebarang perasaan sombong atau benci terhadap orang lain, terus ingatkan diri kita tentang mati. Kita mudah insaf dan balik ke pangkal jalan apabila mengingati mati.

10. Amalkan sunnah harian setiap masa dan insyaAllah orang lain akan tertarik kepada kita.

11. Sentiasa bersyukur dan redha di atas pemberian Allah.

12. Sentiasa memberi salam atau ucap selamat kepada orang lain. Pemberian salam akan mengukuhkan hubungan sesama muslim.

13. Pamerkan simpati kepada setiap individu yang memerlukan simpati dan prihatin.
14. Jadilah pendengar dan kawan yang setia.

15. Sampaikan berita baik tentang orang lain dan sembunyikan kelemahan dan keburukan orang lain.

16. Sentiasalah bermaaf-maafan sebelum berpisah dengan seseorang dan iringi dengan doa.

Saturday, January 16, 2010

Nur...


Melihat datuknya yang sedang asyik membaca Al-Quran, si cucu mampir lalu bertanya;

"Atuk, Alif nak tanya sikit boleh?". Si atuk senyum menanti soalan dari cucu kesayangannya itu.

"Alif tengok atuk baca al-Quran tu hari-hari tapi Alif tengok takde pun maknanya dalam bahasa Melayu, atuk faham ke apa yang atuk baca?"

"Atuk faham sikit cu, tak kesemuanya..." Dengan jujur si atuk membuat pengakuan. Mendengar jawapan itu, Alif pun menyoal lagi;

"Alif teringin nak baca macam atuk jugak! Seronok tengok atuk baca hari-hari tapi... kalau Alif baca dan tak tahu maksudnya, sia-sia lah kan atuk? Si cucu menggaru-garu kepala cuba mendapatkan penjelasan dari atuknya.

Dengan senyuman yang sentiasa menghiasi wajah, si datuk mengusap-usap kepala cucunya itu lalu berkata;

"Alif boleh tolong atuk tak sebelum atuk jawab soalan Alif tadi?"

"Alif ambil bakul yang atuk selalu isi arang tu dan bawak bakul tu ke sungai. Kemudian, Alif isi air ke dalam bakul tadi dan bawak pulang ke rumah. Boleh?"

Tanpa banyak menyoal si cucu pun setuju lalu mencapai bakul itu untuk ke sungai. Setibanya di sungai, dia pun mengisi sedikit air sungai ke dalam bakul itu lalu segera pulang. Sepanjang perjalanan, banyak air yang mengalir keluar memandangkan bakul itu berlubang sana-sini. Setibanya di rumah, bakul tadi menjadi kering semula. Si cucu kecewa...

Menyerah tidak sekali! Si cucu kembali ke sungai untuk mengisi bakul tadi dengan air yang lebih banyak. Dia yakin akan berjaya pada cubaan yang kedua ini. Setelah yakin dengan kuantiti air itu, Alif pun segera pulang ke rumah membawa bakul itu dengan harapan dia akan dapat menunaikan permintaan atuknya. Namun, setibanya dia di rumah perkara yang sama berulang. Bakul tadi menjadi kering semula. Alif kecewa lagi...

Namun demi tidak menghampakan atuknya, Alif segera menuju ke sungai buat kali ketiganya. Kali ini dia bertekad untuk tidak gagal lagi. Bakul tadi diisi dengan air sungai sehingga penuh sehinggakan ada sedikit yang melimpah. Dengan tekad yang kuat, Alif memilih untuk berlari. Dia sangat yakin bahawa dia akan sempat sampai ke rumah sebelum bakul itu menjadi kering semula. Namun dia kecewa lagi... bakul itu kering semula. Si atuk hanya tersenyum memerhati gelagat cucunya yang kelihatan sangat kecewa itu.

"Alif dapat tak ambil air sungai yang atuk minta tadi?" Si atuk memulakan bicara.

"Tak dapat la atuk!" Jawab Alif dengan wajah yang mencuka.

"Atuk suruh Alif ambil air guna bakul yang berlubang. Macam mana Alif nak bawak air tu datang rumah? Habis semuanya keluar ikut lubang tu. Atuk saja nak kenakan Alif ea..? Si atuk tersenyum lagi mendengar syarahan panjang dari cucunya itu...

"Cuba Alif tengok apa yang dah jadi pada bakul arang tu. Ada perubahan tak?"

"Hmmm...takde beza pun."

"Cuba tengok betul-betul. Atuk nampak bakul tu dah jadi lain dah. Alif perasan tak?"

"Owh...Ha'a! Bakul tu nampak bersih la atuk. Tadi Alif tengok bakul tu hitam dengan arang je. Sekarang dah cantik sebab dah bersih. Tapi kenapa atuk?" Si cucu tadi masih belum dapat menangkap apa yang cuba disampaikan atuknya.

"Hmm... bagus la Alif dah perasan yang tu. Baik, sekarang atuk nak jawab soalan Alif tadi. Dengar tau...

...Hati manusia ni Alif, sama la macam bakul arang itu tadi. Bila kita isi hati kita dengan benda yang boleh mengotorkannya maka kotor lah hati kita tu. Sama macam bakul yang Alif ambil tadi. Bakul tadi jadi hitam sebab atuk selalu isi arang ke dalamnya. Tak cantik kan bakul yang hitam? Alif tak suka kan? Atuk pun tak suka tengok bakul yang kotor tadi tapi Allah lagi tak suka jika hati kita yang kotor dan hitam.

Allah itu Maha Penyayang...Dia tak suka bila hati hamba-Nya kotor, jadi Allah pun turunkan kepada manusia 'ubat pembersih hati' untuk membersihkan kembali hati kita yang dah kotor tu. Kalau Alif nak tau, itu lah Al-Quran! Dengan membacanya hati kita akan sentiasa dibersihkan dari kekotoran yang kita lakukan seharian. Alif suka kan bila bakul tadi dah bersih? Cantik kan? Macam tu lah Allah pun sukakan hati hamba-hamba Nya yang bersih. Cantik...

Baca Al-Quran ni sama lah macam Alif ambil air dari sungai tadi. Makin banyak Alif baca makin bersih la hati Alif. Macam Alif ambil air tadi. Masa Alif mula-mula ambil air tadi bekas arang tu masih nampak kotor kan? Tapi bila Alif ulang dan ulang ke sungai mengambil air, bekas tu pun jadi bersih dan cantik. Betul tak?

Jadi...sebab itu lah atuk selalu baca Al-Quran kerana Al-Quran itu Nur. Kalau boleh atuk nak baca Al-Quran ni setiap hari sebab atuk harap hati atuk nanti bersih. Alif pun kena lah selalu baca Al-Quran setiap hari. Alif suka kan kalau hati Alif sentiasa bersih dan cantik? Tidak mengapa jika Alif masih belum faham maksudnya. Yang penting Alif teruskan membaca Al-Quran ini setiap hari supaya???...supaya???

"...supaya hati Alif bersih!!! Macam bakul arang tadi kan"

"betul...betul...betul!" Hehe...

p/s: Ayuh banyakkan membaca Al-Quran!

Friday, January 1, 2010

Ada berani?


Assalamualaikum...

"Harap awak tak terkejut menerima emel ini. Pertama sekali saya nak minta maaf sebab tak pernah sekali pun reply mesej-mesej awak lepas kejadian tu. Sebenarnya saya serba salah nak bagi tau awak tentang keputusan yang saya amik ni. Saya tahu yang awak pasti kecewa dengan tindakan saya. Seolah-olah saya sengaja menghancurkan harapan awak tetapi saya harap awak akan terus baca warkah ini sehingga noktah yang terakhirnya...

Saya terpaksa memutuskan hubungan kita selama ni. Saya tahu tempoh tujuh tahun bukanlah suatu masa yang singkat perkenalan kita. Bahkan ianya mungkin mengambil separuh lagi masa hidup saya untuk melupakan kenangan kita. Tapi saya terpaksa akur bahawa berpisah adalah jalan terbaik untuk kita.

Saya juga nak awak tahu yang kesedihan dan kepedihan ini kita rasai bersama. Emel ini juga saya kirim bersama air mata yang menangisi perpisahan ini. Anggap lah ini ujian daripada Allah kepada kita. Mungkin kehilangan orang yang kita sayang akan Allah gantikan dengan sesuatu yang lebih bermakna. Mungkinkah 'hidayah'?

Kita pernah berjanji hubungan yang kita pelihara ini akan berakhir di jinjang pelamin. Saya ingat lagi...tapi mahukah awak sekiranya masjid yang dibina ini terdiri dari batu-bata yang poros? akan kukuh kah tiang serinya jika pada awalnya lagi tidak didasarkan dengan redha dari Allah? Bertahan kah ia bila badai datang menerpa sekali-sekala? Maaf...saya sendiri sudah tidak yakin dengan janji yang saya ikrar kan dulu.

Kadang-kala saya bertanya sendirian, mengapa terlalu awal kita bertemu dan mengapa terlalu awal cinta itu datang menempah tempat di hati ini. Mungkin kah kerana hati ini tidak diisi dengan kebaikan sehingga memberi ruang untuk sang cinta bersarang di hati? Mengapa 7 tahun itu yang berlalu? Mengapa tidak kita bertemu 7 tahun lagi? Persoalan ini mungkin bisa saya jawab bila mengenangkan ini semua sudah ada dalam takdiran Nya.

Mengapa saya begini?

Saya sudah berubah barangkali. Saya mahu kikis sisa-sisa jahiliah yang masih menebal dalam diri sendiri. Saya tahu bukan mudah untuk berubah kerana sejarah hidup saya sendiri kelabu.. barangkali hitam memekat. Saya perlukan kekuatan dan sokongan. Harap awak mengerti mengapa hubungan ini saya pilih untuk diakhiri... Sukar untuk awak menerimanya, sukar lagi untuk saya mengambil keputusan ini.

Saya harap lepas ni kita tidak akan berhubungan lagi melalui telefon ataupun mesej melainkan ada hal yang benar-benar mendesak dan perlu kepada pengetahuan masing-masing.

Saya juga berharap agar awak dapat join usrah lepas ni...mudah-mudahan suatu hari nanti awak akan faham kenapa saya memilih jalan ini. saya rasa sampai di sini dulu emel kali ini. Mungkin ini emel saya yang terakhir untuk awak. Kirim salam saya untuk emak dan ayah awak. salam rindu juga untuk aiman... "
yang benar; shahrul...

_____________________________________________________

Cinta...oh...cinta

Suatu topik yang sangat menarik untuk dibincangkan. Mendengar perkataan cinta dari penceramah saja sudah bisa membuka kembali mata yang nyenyak dibuai tidur. Kerana topik cinta, ceramah boleh saja berlanjutan berjam-jam lamanya. Semua orang minat! yang lebih terasa bahangnya pastinya sang remaja dan remaji...

Di atas merupakan karya surat(emel) untuk memutuskan hubungan percintaan antara seorang pelajar lelaki yang baru mengenali fikrah dengan seorang pelajar perempuan yang dikenalinya lama dulu. Si lelaki yang telah menyedari kesalahan bercinta sebelum berkahwin telah mengambil tindakan berani dengan menyatakan pendiriannya untuk memutuskan hubungan mereka.

NASIHAT UNTUK PEMUDA-PEMUDI;

"kalau kamu nak putuskan hubungan dengan seorang perempuan, kamu kena bagi tau dia terus-terang. Straight to the point! Tak perlu nak meleret-leret ayat kamu. Takut nanti dia cair lagi kat kamu. Cakap je yang kamu nak putuskan hubungan kerana ianya berdosa di sisi Allah dan kamu nak fokus pada study dulu. Option berkahwin masih belum ada dalam perancangan hidup kamu jadi kamu tak mahu dibebankan dengan komitmen tersebut. Yang penting kamu ikhlas dan yang lainnya kamu serah pada Allah."

Begitulah mesej yang ingin saya kongsikan untuk post kali ini. Harap ianya berguna kepada siapa-siapa sahaja di luar sana yang sudah terlanjur menyerahkan cinta kepada sang lelaki mahupun si perempuan dan berhajat memutuskan hubungan kerana sedar ianya salah dan berdosa.

Bukan berhajat menjadi 'doktor love' atau pun apa, niat di hati hanya untuk berkongsi sekadar yang diberitahu. Ambil yang baik dan tinggalkan lah yang buruk di sini saja...

p/s: sekarang dah tahu kan cinta sebelum kahwin tu salah, so...ada berani ke???