Wednesday, February 24, 2010

Hidup SIMPLE...minat?



Ada seorang pemuda di sebuah desa, kerjanya menjadi nelayan. Pada suatu hari datang seorang teman ingin menumpang rumahnya untuk beberapa hari. Pemuda itu dengan senang hati menerima kedatangan temannya itu. Di rumahnya, pemuda itu hanya tinggal sendirian kerana dia masih belum berkahwin. Ibu dan ayahnya telah lama dijemput menghadap Allah yang Esa.

Walaupun dengan kehadiran temannya, pemuda tersebut perlu meneruskan rutin hariannya untuk ke laut bagi mencari rezeki. Temannya mudah memahami keadaan pemuda tersebut. Tambahan pula, dia memang sudah biasa dengan selok-belok di kampung berkenaan. Jadi, mudah untuk dia bergerak sendirian.

Sepanjang berada di sana, temannya sering memerhatikan gelagat si pemuda tersebut. Hampir sama rutin hariannya. Pemuda itu akan bangun pada jam 5.30 pagi menunaikan beberapa rakaat solat sunat sebelum berjemaah subuh di surau berhampiran. Kemudian, pemuda itu akan menyiapkan bekalnya sebelum bergerak ke laut lebih kurang jam 7.00 pagi. Kebiasaannya dia akan pulang pada jam 11.00 pagi. Usai menjual hasil tangkapannya, dia akan terus pulang membawa sedikit hasil laut yang sengaja disimpan untuk dijadikan juadahnya hari itu.

Rutinnya bersambung seperti biasa setelah itu - solat zohor berjemaah, makan tengah hari, berehat, menikmati keindahan pemandangan di desa yang belum tercemar itu, menziarahi jiran-jirannya, membaca al-Quran, beriadah dan di akhirnya tidur semula. Hidup yang sangat SIMPLE bagi seorang pemuda yang serba sederhana itu. Temannya itu menjadi tertarik dengan kehidupan harian pemuda tersebut lalu terjadilah perbualan berikut;

Teman: Faizal, maaf aku bertanya sikit.

Faizal: Silakan.

Teman: Kau ok ke hidup macam ni?


Faizal: Hidup macam mana ye? (sambil tersenyum. sudah memahami barangkali)

Teman: Actually aku suka tengok hidup kau. SIMPLE! Lapang je rasa. Ibadah pun terjaga. Tapi ye lah, aku tengok kat rumah kau ni TV pun takde, motorsikal pun takde, kereta lagi lah kan...Kau tak teringin ke nak ada semua tu? Bukanlah nak suruh kau bermewah-mewah sangat tapi at least dapat la merasa semua tu.

Faizal: Aku rasa ok...Hmmm, lagi pun aku tak perlukan sangat pun benda-benda tu semua. Aku rasa dah cukup dah dengan apa yang aku ada sekarang ni. SIMPLE...

Teman: Macam ni, aku ada satu cadangan sebenarnya untuk kau. Mahu dengar?

Faizal: silakan...

Di sinilah bermulanya suatu dialog yang sangat penting dan penuh pengajaran antara dua sahabat ini;

Teman: Aku tengok kau selalu balik dari laut awal, apa kata kau kerja lebih masa sikit. Kalau sebelum ni pukul 11 kau dah balik, apa kata lepas ni balik pukul 1 pulak. So that...

Faizal: So?

Teman: Dapat lah kau tambah hasil tangkapan kau! Bijak kan? Dengan itu dapatlah kau tambah pendapatan harian kau.

Faizal: So?

Teman: Ye lah, dengan itu dapat lah kau tambah duit simpanan kau. Lepas ni boleh la kau beli enjin yang lebih laju. Bijak kan? Kemudian, kau boleh guna enjin baru tu untuk meningkatkan hasil tangkapan kau.

Faizal: So?

Teman: Bila dah makin banyak duit yang kau dapat makin besar la bot yang kau boleh beli. Kali ni kau bukan saja boleh kelaut di persisiran pantai malah ke laut dalam pun boleh. Dua minggu di laut seminggu cuti. Lumayan Faizal! Lumayan!

Faizal: So?

Teman: Bila dah berjaya boleh lah kau besarkan sikit rumah kau ni. Dapatla jugak kau merasa berkereta. Baru lengkap sikit hidup kau. Then, boleh la kau kahwin masa tu. Mesti ramai yang minat kat kau time kau dah kaya nanti. Betul tak?

Faizal: So?

Teman: Bila kau dah kaya, badan pun dah tak larat kau upah la orang lain untuk uruskan bot-bot kau. Masa tu kau dah boleh rehat-rehat kat rumah dan gunakan sepenuh masa untuk beribadah kepada Allah. Itu lah maksud aku sebenarnya! Aku bagi kau idea untuk jadi kaya ni sebab nanti senang kau nak beribadah. Masa tu dah tak perlu nak fikir pasal kelaut lagi dah. betul tak?

Dengan tenang Faizal bangun mendapatkan temannya itu lalu bertanya;

Faizal: Kau suruh aku jadi kaya ni sebab kau nak lihat aku tenang beribadah kepada Allah kan?

Teman: Ha'a! So that kau dah tak payah fikir pasal benda lain dah. Ibadah je...

Faizal: Untuk beribadah kan?

Teman: Ha'a. Of course.

Setelah agak lama mendiamkan diri Faizal akhirnya bersuara; " Bukankan itu yang sedang aku lakukan wahai temanku?"

Temannya tiba-tiba terdiam seolah-olah ada sesuatu yang mengetuk benak fikirannya. Sesuatu yang benar-benar menjelaskan! benar-benar mengubah pegangan dan pandangan hidupnya. Seorang graduan perubatan University of Cardiff itu benar-benar terpaku dengan kebenaran FAKTA yang baru didengarinya itu. Benar! Sungguh benar! Pemuda itu sedang melakukannya. Dia sedang melaluinya dalam hidupnya sehari-harian. Dia sedang BERIBADAH!

Dan benarlah firman Allah dalam Al-quran;

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak menghendaki agar mereka memberi makan kepada-Ku. Sungguh Allah, Dialah pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kokoh." (Az-Zariyat : 56-58)

Begitulah ceritanya...PENGAJARANNYA?

Ambil lah apa saja pengajaran yang ada dalam cerita ni. Secara jujur saya memang suka jika pengajaran itu datang dari hati dan minda kita sendiri. Lain orang lain pandangannya terhadap sesuatu perkara. Yang penting ialah kita dapat menterjemahkannya ke dalam kehidupan seharian.

Apa pun di sini saya ingin jugak berkongsi pengajaran yang saya dapat melalui cerita ni;

"Dalam hidup ini, yang paling penting bukanlah apa yang kita capai di akhirnya tapi bagaimana proses yang membawa kita kepada apa yang dicapai itulah yang lebih utama."


Jadilah apa pun kita pada waktu ini. doktor, engineer, nelayan, penjual burger, driver bas atau apa saja, yang penting ialah kita melaluinya dengan kesedaran bahawa tujuan hidup ini adalah beribadah kepada Allah. Seorang student medic sebagai contoh, bukanlah ijazah perubatan yang diterima di tahun akhir itu yang menjadi kayu ukur kejayaannya di sisi Allah tetapi proses dan perjalanan yang dilaluinya itu lah yang menjadi hitungan. Jika baik maka beruntunglah dia. Jika tidak, hmmm...(moga dijauhkan)

p/s: Cerita ni saya dengar dari kawan saya (Ammar Roslizar) di surau An-nur, Kolej Mara Banting. Saya ingat lagi yang cerita ni disampaikan bersama satu lagu background yang sungguh meruntun jiwa. Tak tahu nak cari kat mana lagu tu...Di sini juga ada beberapa penambahan dan pengurangan cerita yang berlaku kerana kelemahan daya ingatan saya. ;)

Thursday, February 18, 2010

Doaku dimakbulkan...

Gembiranya hari ini! Dua doa saya dimakbulkan Allah!

Hmmm...hari ni saya ada attachment di Hospital Llandough, Wales. Bila naik je bas baru perasan yang hari ni takde orang melayu bersama. Hmmm...susah jugak macam ni! Nanti nak lunch dengan sapa? Bukan pe, masih tak biasa dengan local student di sini. sekali-sekala tu nak jugak ada teman untuk berborak.

Bila dah takde melayu tuh, dalam hati ni rasa tak sedap jugak sebenarnya. Tambahan pulak hari ni saya kena attend COTE ( care of the elderly) department. Maksudnya hari ni saya perlu banyak bercakap. Ye..BERCAKAP!Huhu...Tiba-tiba rasa sejuk2 dalam perut ni. Basically, tugasan hari ni banyak memerlukan saya untuk berbual dengan patient dan juga consultant. Ha'a..Consultant! (kebanyakannya garang2)

Kami berlapan dibahagikan kepada 3 kumpulan. Saya dan dua orang rakan lagi diamanahkan kepada Dr. O'Mahony, seorang consultant dalam bidang elderly care. Sesi pagi dimulakan dengan lawatan ke wad e6. Sebaik diperkenalkan kepada Dr. O'Mahony, tidak semena-mena saya terus ditanya untuk memberikan pandangan terhadap seorang pesakit. Aduhh! Saya masih belum betul2 terjaga la...

"Hmmm...I think?? I think??...Hmmm..She is not responding you well. She's a bit deft. And her hand...her hand is doing...hmmm...-picking. Yes, she is picking on the cloth.

Fuhh! Kecut perut saya masa jawab soalan tu. Sudah la belum bersedia, terus kena tanya dengan consultant sedangkan ada je student 4th year medic dalam group tu. Betul ke jawapan tu? Huhu...nasib baik betul tapi dalam tergagap-gagap dan terketar-ketar jugak.

Berbalik kepada tajuk tadi, dua doa saya telah dimakbulkan Allah. Ok, yang pertama!

Saya berdoa kepada Allah agar dipermudahkan attachment kali ni dan DILANCARKAN percakapan saya dan dapat difahami orang. Awal2 tadi terlupa nak baca doa penerang hati, mungkin itu masalahnya! Sedangkan doa itu dulu diucapkan oleh Nabi Musa as. Seorang nabi memohon dilancarkan lisannya. Mengapa tidak aku? lupa la tu...padan muka kan, tergagap-gagap tadi.huhu...

"I need you to see this patient and take some social history about her, alrite? We gonna have meeting at 3.30pm for your presentation." Saya diamanahkan untuk bercakap dengan seorang pesakit parkinson di wad E6. Kali ni saya betul-betul teringatkan doa tadi...Ya Allah..Engkau permudahkan lah buatku.

"I'm sorry dear, I can't let you talk to her because she is now having her lunch. We have 'meal protection hour' here, so I think you might want to come again in the next 10,15 minutes. Alrite?" Kata seorang nurse bila saya minta izin untuk jumpa patient.

Oh..begitu rupanya. Di sini pesakit benar-benar dijaga. Masa makan jangan diganggu. Jadi saya pun beralih mencari pesakit lain untuk berbual-bual. Saya bergerak ke wad lain, mencari pesakit lain.

"Hi dear! I'm Muhammad, a first year medical student. I'm asked to talk to one of the patients here just to take some social history. I would prefer if I can talk to patient in bed 16. Do you think she is up for it?"

Mungkin itu perancangan Allah buat saya. Memang sudah ditakdirkan rasanya untuk saya bertemu dengan seorang nenek yang berusia 91 tahun ni. Saya pun duduk lah di sisinya memperkenalkan diri lalu perbualan bermula...Dari minit ke minit segalanya berjalan dengan lancar...sangat lancar. Alhamdulillah! terima kasih Ya Allah kerana mempermudahkan segalanya.

Pembentangan petang itu juga berjalan dengan lancar. Ditakdirkan saya hilang jejak dengan team mate lepas solat zohor. Puas mencari masih tidak jumpa. Akhirnya saya bertemu dengan seorang doktor baru (bukan consultant) yang offer untuk bawak saya ward round dan buat pembentangan tu kat dia. jadi, tak perlu lah saya present depan ramai orang. hanya saya dan doktor tu saja. Lancar...Alhamdulillah...

Pulang ke University tepat jam 5.05 petang. Tiba lebih kurang jam 5.35 petang. Sudah masuk waktu maghrib ni. Terus ke masjid Al-Manar...

Doa yang ke-2 dimakbulkan. Saya berdoa agar hubungan saya dan kawan saya dipulihkan seperti sediakala, bahkan lebih baik kali ni. Tanpa saya sedari, saya sudah menyakitkan hatinya 2,3 minggu lepas. Sampai sekarang dia susah untuk maafkan saya. Saya selalu berdoa agar hubungan kami pulih. Tak sedap benar rasanya bila bergaduh ni. Syaitan suka la...sebab senang dia nak rosakkan kami.

Selesai solat Maghrib, saya pun bersiap-siap untuk pulang. Bukan tak nampak kawan saya pun ada dalam masjid tu, tapi masih rasa dia belum bersedia maafkan saya. saya pun angkat beg bersedia untuk pulang. Dia lalu depan saya kemudian...Dia peluk saya! huhu...ya, dia peluk saya! Kami bermaafan...Alhamdulillah, Engkau telah kabulkan doaku ini Ya Allah! Harapnya hubungan kami akan lebih baik kali ini. Saya berazam untuk menjaga hubungan ini betul-betul kali ni. Insyaallah...

Terima kasih ya Allah!

Sungguh benar firman Allah;

"Mintalah do'a kepadaku nescaya aku akan memperkenankan permintaanmu"

Tuesday, February 16, 2010

Cara-cara menghalang godaan syaitan



Bagi membantu manusia menghadapi hasutan syaitan dan serangan-serangan iblis, Islam telah menunjukkan kepada manusia berbagai perkara yang dapat membantunya bertahan menghadapi pertarungan dengan syaitan seterusnya berjaya menewaskan musuh ketatnya itu. cara tersebut telah dirumuskan oleh seorang dari para salihin dengan katanya: "Saya telah merenung dan memikirkan cara-cara dari pintu manakah syaitan masuk ke dalam diri manusia, ternyata ia masuk ke dalam diri melalui 10 pintu.

Pertama: Tamak dan buruk sangka, maka aku menghadapi dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan apa yang ada.

Kedua: Cintakan kehidupan dunia dan panjang angan-angan, lalu saya menghadapinya dengan perasaan takut terhadap kedatangan maut yang boleh berlaku saban waktu.

Ketiga: Cintakan kerehatan dan kemewahan, lantas aku menghadapinya dengan keyakinan bahawa kenikmatan itu akan hilang dan balasan buruk pasti menanti.

Keempat: Kagum terhadap diri sendiri (ujub), lantas saya menghadapinya dengan rasa hutang budi kepada allah dan kepada akibat yang buruk.

Kelima: memandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka, lalu saya menghadapinya dengan mengenali hak-hak mereka serta menghormati mereka secara wajar.

Keenam: Hasa (dengki), lalu saya menghadapinya dengan sifat berpada (qana'ah) dan reda terhadap kurniaan Allah kepada makhluknya.

Ketujuh: Riya' dan sukakan pujian orang. Lalu saya menghadapi dengan ikhlas.

Kelapan: Bakhil (kedekut), lalu saya menghadapinya dengan menyedari bahawa apa yang ada pada makhluk akan binasa manakala yang kekal itu berada di sisi Allah.

Kesembilan: Takabbur (membesarkan diri), lalu saya menghadapinya dengan rasa tawadduk.

Kesepuluh: Tamak haloba, lalu saya menghadapinya dengan mempercayai ganjaran yang disediakan di sisi Allah dan tidak tamak terhadap apa yang ada di sisi manusia.

Semoga dengan bertambahnya sedikit ilmu, kita akan lebih menjadi hamba yang dekat kepada Allah kerana sesungguhnya orang yang berilmu itu lebih mudah mendekatkan diri kepada Allah dan menjauhkan diri dari dosa dan maksiat.

Sabda Baginda;

"Kelebihan (keutamaan) seorang alim atas seorang 'abid (ahli ibadat) adalah seperti kelebihanku atas orang yang paling rendah dari sahabat-sahabatku."

Semoga mendapat pengajaran. :)

Thursday, February 11, 2010

surat seorang ibu



Assalamualaikum...

"Buat anak-anak yang ibu kasihi, maafkan ibu seandainya pernah melukai hati kamu semua. Warkah ini ibu tujukan sebagai lambang kasih sayang seorang ibu terhadap anak-anaknya. Ketahuilah bahawa ibu bangga memiliki anak-anak seperti kamu semua. Masing-masing telah berjaya dengan cita-cita sendiri. Ya! cita-cita yang selalu ibu tanyakan dulu. Lama dulu...

Dalam waktu yang semakin tidak mengizinkan ini, ibu seringkali terkenangkan zaman-zaman kecil kamu semua. Ibu gembira mengenangkan kembali kenakalan anak-anak ibu pada waktu itu. Sekurang-kurangnya memori itu masih mengizinkan ibu untuk tersenyum di kala kesunyian begini. Ya, ibu gembira mengenangkan anak-anak ibu yang dahulu sering mengadu dan meminta itu dan ini. Walaupun ayah kadang-kala bertegas untuk mendidik, ibu tetap membela anak-anak ibu. Kamu semua sangat manja dengan ibu sehinggakan ayah kadang-kala cemburu. Meriahnya waktu itu. Semua anak-anak dalam pelukan ibu...

Masa berlalu...kamu semua semakin dewasa, kemas dalam pakaian seragam sekolah. Ibu gembira menyediakan bekal makanan untuk kamu bawa ke kelas. Ibu terhibur membasuh pakaian sekolah kamu. Namun entah mengapa, ibu kadang-kadang cemburu apabila kamu semua sudah mempunyai kawan-kawan sekolah. Banyak masa dihabiskan bersama kawan-kawan. Ibu tahu anak-anak ibu sibuk tapi entah kenapa ibu tidak berdaya memujuk hati ini yang sering saja cemburu apabila kasih sayang kamu kini dibahagi-bahagikan antara ibu dan kawan-kawan.

Masa terus berlalu, seorang demi seorang anak ibu melangkah ke sekolah berasrama. Ibu bangga! Ya...Ibu bangga! Cuma kadang-kala hati ibu sayu apabila semua anak-anak ibu kini jauh meninggalkan ibu. Ibu sunyi bila tidak lagi mendengar suara anak-anak ibu di rumah. Begitu pantas masa berlalu sehinggakan ibu tidak sedar bahawa anak-anak ibu kini sudah dewasa. Sudah boleh membuat keputusan sendiri. Sudah bijak memilih haluan masing-masing dan boleh berdikari.

Maafkan ibu jika kamu rasakan ibu terlalu mendesak. Ibu rindu...tapi ibu tahu anak-anak ibu sangat sibuk. Masing-masing sibuk dengan kerjaya dan pelajaran. Kerana itulah acapkali ibu mendail separuh jalan walaupun rindu di hati sudah tidak tertahan. Ibu takut sekiranya ibu mengganggu anak-anak ibu. Maafkan ibu jika kamu terpaksa menjawab panggilan telefon dari ibu ketika kamu sedang sibuk. Ibu cuma harap kamu tahu bahawa ada waktunya ibu tidak dapat menanggung kesunyian ini, jadi kepada anak-anak ibu lah tempat ibu mengadu. Cukuplah sekadar mendengar suara walaupun; "Along ada kerja sikit la sekarang ni, nanti Along call balik." Cukup lah bagi ibu dengan janji dari anak-anak ibu untuk menelefon semula walaupun semuanya masih belum ditunaikan...

Anak-anak yang ibu sayangi,

Sekali lagi ibu memohon maaf sekiranya pada pandangan anak-anak ibu, perempuan tua ini hanya menambah beban kepada kamu semua. Ibu terlupa bahawa anak-anak ibu kini sudah punya hidup sendiri. Punya tanggungjawab sendiri yang perlu difikirkan. Ibu tidak mengharapkan lebih dari kamu, cukup lah sekadar telefon bertanyakan khabar. Jika kamu tidak sibuk jenguk lah ibu di teratak buruk ini. Tidak ada yang istimewa menanti kamu di desa ini, hanya sejuk air perigi dan nyanyian nyamuk di malam hari.

Akhir sekali ibu mendoakan segala kebaikan untuk anak-anak ibu. Semoga kebahagiaan menemani kehidupan kamu yang masih panjang. Ibu bahagia melihat anak-anak ibu gembira. Ibu merasakan waktu ibu sudah hampir. Di kesempatan ini ibu sekali lagi ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf.

Sekian...

Tuesday, February 9, 2010

kehilangan rasa


Jika kau memancing ikan dan ikan itu telah lekat pada mata kailmu, maka ambil lah terus ikan itu...
Janganlah sesekali kau lepaskannya kembali ke laut kerana ikan itu pasti telah terluka akibat mata kailmu itu...
Dan kesakitan itu pasti akan terus menemaninya sepanjang hayatnya...



Jika kau sudah mempunyai sepinggan nasi yang berkhasiat dan kau yakin dapat mengenyangkan, mengapa masih mencari yang lain?
Mencari yang lain yang kau rasa lebih baik...
Sedangkan engkau masih belum pasti adakah ianya benar-benar baik untukmu ataupun tidak.
Akhirnya engkau dapati apa yang dikejar itu hanyalah tipuan belaka,
dan nasi yang kau tinggalkan tadi telah rosak dan tidak dapat dimakan lagi.



p/s: benar-benar kehilangan idea untuk mengarang. Maafkan kelemahan diri.