Sunday, July 3, 2011

mengEKSLUSIFkan agama!

Kadang-kala, tanpa kita sedari agama Islam semakin hari semakin dijadikan ekslusif oleh sesetengah pihak. Seolah-olah hanya manusia-manusia tertentu sahaja yang boleh mengamalkan ajaran Islam. Sedangkan Rasulullah saw diutuskan untuk menyampaikan Islam kepada seluruh alam.

Semalam ada terbaca buku "Mengemudi Bahtera Perubahan Minda" karangan Dr Asri Zainal Abidin (MAZA). Kupasan-kupasan awal yang dikemukakan beliau dalam buku tersebut sangat menarik dan santai untuk dibaca. Idea-idea dan hujah yang dilontarkan juga berjaya membugar minda dan mengetuk hati yang lalai dalam menghayati ajaran Islam yang sebenar.

Membaca contoh-contoh penyelewengan agama yang berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia telah membuatkan aku berfikir tentang beberapa perkara seumpamanya yang berlaku di tempat kelahiranku. Penyelewengan yang aku maksudkan bukanlah sehingga membabitkan persoalan akidah, tetapi lebih kepada perkara-perkara yang menyulitkan ajaran Islam sehingga amalan yang sepatutnya dilakukan oleh seluruh umat Islam menjadi ekslusif untuk golongan tertentu.

Sebagai contoh (tidak dipetik dari buku tersebut), aku dapat menyaksikan betapa solat jemaah di masjid telah menjadi ekslusif kepada golongan-golongan lama yang berkopiah putih dan berkain pelikat sahaja. Anak-anak muda yang datang bersolat dengan memakai baju T-shirt dan tidak berkopiah akan dipandang pelik sehinggakan ada mata yang seolah-olah membenci pakaian anak muda tersebut. Seakan-akan hanya mereka yang berkain pelikat dan berbaju melayu sahaja yang diterima solatnya.

Aku tidak katakan semua yang di masjid memandang dengan pandangan yang sebegitu, tetapi tetap ada sebilangan besar yang berperangai sedemikian sehingga menyebabkan anak muda menjadi takut untuk hampir ke masjid. Selain itu, solat jemaah di masjid juga hanya layak untuk mereka yang sanggup menyempurnakan zikir dan tasbih selepas solat yang berjela-jela panjangnya. Sesiapa yang terus berdoa dan beredar sebelum itu akan dipandang "kurang layak" untuk bersolat di masjid. Maka, semakin jauh lah anak muda dari masjid gara-gara undang-undang yang tidak ada dalam syariat itu diamalkan oleh golongan lama ini.

Semasa berada di United Kingdom, aku sangat selesa bersolat di masjid kerana tidak ada peraturan atau undang-undang khas untuk amalan-amalan tertentu yang menyusahkan. Usai solat, imam akan terus membaca doa ringkas dan kemudian bersurai. Sesiapa yang ingin menunaikan solat sunat selepas itu juga tidak berasa beban kerana tidak ada zikir yang berbelas minit panjangnya.

Lihat saja filem-filem atau drama yang ditayangkan di Malaysia. Golongan alim pasti akan digambarkan dengan berjubah, sentiasa memegang tasbih dan berserban dua tiga meter panjangnya. Hidup mereka seolah-olah terpisah dengan manusia lain. Seolah-olah mereka hanya beribadah setiap waktu. Inikah Islam yang kita nak tunjuk kepada non-Muslim? Inikah Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw dan para sahabat? Apa kata non-muslim nanti? "kalau macam ni baru boleh jadi islam yang baik, tak mau la masuk islam. Takkan nak kena pakai uniform macam tu. saya ni peguam."

Agama ini untuk semua. Mengapa menyulitkan perkara yang pada asalnya dimudahkan untuk kita? Sebab itu la jugak aku malas nak dengar kuliah agama di masjid kampung. Haram sana, haram sini, batal sana, batal sini. Lemas nak dengar. Aku yakin, golongan muda yang sudah terbuka mindanya lebih tertarik untuk mendengar kupasan-kupasan yang lebih mencabar intelektual mereka dan bukannya cerita-cerita ajaib zaman dulu-dulu yang entah dari mana sandarannya.

Zaman sekarang, anak muda sudah tidak boleh terima jika dunia ini berada atas seketul batu yang berada atas badan ikan nun. Jika bergerak ikan nun itu, maka bergeraklah bumi (gempa bumi). Mereka sudah terdidik jika bumi ini terapung-apung di ruang angkasa bersama-sama planet-planet lain.

Bengkak juga hati bila setiap hari dipandang pelik bila solat dengan berbaju T-shirt dan tidak berkopiah putih!

No comments:

Post a Comment

komen anda dihargai