Wednesday, June 22, 2011

percubaan menulis ~ cita-cita yang tidak pernah terkubur

- "jika awak betul-betul nak berkawan dengan saya, awak kena dapatkan 4 flat dulu. Lepas tu baru saya pertimbangkan untuk berkawan dengan awak"

Hari ini genap tujuh tahun aku menerima kiriman surat tersebut. Waktu itu aku masih di tingkatan dua. Saat aku mula kenal dengan kenakalan remajaku. Belajar bercinta, berseronok sesuka hati dan kadang-kala terlibat dalam pergaduhan. Waktu itu bukanlah kenangan indah untuk aku tuliskan di sini dan bukan juga untuk membuka pekung di dada tetapi memang begitulah ceritanya aku.

Mungkin kerana kematangan dan keayuan yang ada pada dirinya membuatkan aku tertarik untuk menjadi teman istimewanya. Aku mengambil langkah pertama dengan mengirim surat menyatakan hasrat hatiku padanya. Tapi itulah surat pertama dan terakhir yang aku utuskan kepadanya. Jawapan yang diberikannya sangat simple;

- "jika awak betul-betul nak berkawan dengan saya, awak kena dapatkan 4 flat dulu. Lepas tu baru saya pertimbangkan untuk berkawan dengan awak"

Tahun-tahun berikutnya terpaksa lah aku lalui dengan menebalkan mukaku kerana terpaksa berada di kelas yang sama dengannya. Perasaan malu kerana ditolak mentah-mentah tersebut membuatkan aku tidak pernah lagi bertegur sapa mahupun bertentang mata dengannya sepanjang baki persekolahan kami di sana.

Allah saja yang tahu betapa malunya aku rasa sepanjang dua tahun tersebut. Bila kena buat presentation kat depan, terpaksalah aku berlakon seolah-olah dia tak ada kat kelas tu. Bila dia tanya soalan pun, aku masih boleh terus berlakon confident dan jawab dengan panjang lebar sampailah cikgu terpaksa stop kan aku sebab bagi fakta yang salah.

Tamat PMR aku mendapat tawaran ke sebuah sekolah berasrama penuh yang terkenal di Malaysia. Begitu juga dia. Cuma bezanya aku di utara dan dia di selatan. Aku berasa lega kerana kami dipisahkan ratusan kilometer jauhnya. Sekurang-kurangya aku punya sedikit ruang untuk bernafas.

Tidak ramai rakan-rakan seperjuangan dahulu yang mendapat tawaran ke sekolah yang sama denganku. Masing-masing meneruskan dengan cita-cita dan impian sendiri. Aku juga sedang mengejar impianku. mendapatkan 4 flat dalam mana-mana peperiksaanku. Aku akan menuntut janji yang pernah dia berikan dahulu!

Berbekalkan janji itu aku perlahan-lahan mengubah diri. Aku tidak tahu jika janji itu sekadar untuk tidak melukakan hatiku semasa dia menolak hasratku atau apa, tetapi ia telah menjadi pendorong untuk aku terus meneroka masa depanku.Aku tamatkan SPM dengan cemerlang (9A1). Aku menerima tawaran pelajaran ke luar negara dalam bidang perubatan. Bila aku fikirkan kembali, 9A1 dalam kiraan sistem CGPA adalah 4 flat! Itulah kali pertama aku berjaya mendapatkan 4 flat sepanjang zaman persekolahanku. Aku akan tuntut janjinya dahulu!

Pernah satu hari aku terjumpa kembali dengannya. Rupa-rupanya dia juga sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di salah sebuah universiti di sini. Walaupun berjuta cerita yang tersimpan selama ni, tiada sepatah kata yang terucap antara kami. Hanya seukir senyuman menjadi tanda pertemuan itu. :)

~cerita ini adalah adaptasi daripada sebuah imaginasi dan cebisan-cebisan mimpi yang tidak pernah menjadi realiti. Cerita ini juga tidak ada kena-mengena dengan mana-mana watak yang pernah terwujud di alam dunia ini. Jika terjadi persamaan dengan sesiapa sahaja, maka ianya adalah kejadian yang tidak disengajakan yang berpunca dari kecelaruan penulis dalam membezakan mimpi dan pengalaman. Sejuta kemaafan dipohon kepada yang terbabit.

Saturday, June 18, 2011

selamat hari ayah!

Tengah hari tadi pergi shopping ole-ole untuk anak-anak saudara sebab minggu depan dah nak balik kampung. Bila singgah kat kedai hadiah, aku tengok ramai anak muda sedang sibuk memilih hadiah untuk dibeli sempena sambutan hari bapa.

Sedih jugak tadi. Di saat anak-anak lain masih dapat membeli itu dan ini untuk ayah tersayang, aku hanya mampu mengirim doa dari jauh untuk ayahku. Dah hampir 3 tahun ayah pergi menemui janji Tuhannya.

Apa pun, kepada yang masih berayah, sayangilah mereka sepenuh hati anda!

~"SELAMAT HARI AYAH"~

Friday, June 17, 2011

manusia mana lagi ingin kau tipu?



video ni sangat nostalgik buatku. Ia adalah kenangan yang paling indah bersama ikhwah! Untuk video dan kenangan yang kami kongsi ini, aku ingin lemparkan apa yang ada di hati. Semoga bermanfaat buatku, ikhwah dan yang lainnya juga.

"Kadang-kala kita merasa lebih baik berbanding manusia lain bila kita sudah terlibat dengan tarbiyah yang bersistem ni. Sudah banyak jaulah, rehlah, usrah, mukhaiyyam dan sebagainya telah kita hadiri. Telah banyak buku-buka usrah yang kita hadamkan dan banyak juga yang telah kita ajarkan kepada orang lain.

Manusia lain memandang kita dengan pandangan yang mulia, hanya kerana kita telah lama dalam dakwah ni. Kita merasakan kita ini berhak dipandang mulia kerana kita menyeru manusia lain kepada Allah. Kita sangat senang apabila orang kenal kita sebagai ahli kepada mana-mana persatuan dakwah, tambahan lagi jika berjawatan tinggi dalam persatuan tersebut.

Kita juga merasa gembira apabila adik-adik usrah kita memperkenalkan kita sebagai naqibnya kepada kawan-kawannya yang lain. Apabila kita menziarahi mereka di rumah, kita juga gembira apabila orang tua mereka dengan senang hati mempercayakan anak mereka kepada kita. Kita begitu selesa dengan pandangan-pandangan baik manusia lain kepada kita.

Namun, sedarkah kita yang kita hanya menipu mereka selama ini? Saban hari, kita menambahkan bilangan manusia yang kita tipu. Manusia-manusia yang memandang kita sebagai insan yang baik itu hanyalah tertipu dengan penampilan kita. Tertipu dengan janggut sejemput yang kita ada. Atau dengan tudung labuh dan jubah yang kita sarungkan. Mereka masih belum kenal diri kita yang sebenar.

Kita berjanji yang dakwah ini akan berkembang atas usaha kita. Kita berusrah, beriadah, tajmik mad'u sini sana. Kita rasa usaha kita itu akan menjadi sebab berkembangnya dakwah ini. Kita nak sangat selamatkan manusia-manusia yang masih lalai dengan maksiat. Kita ingin agar mereka dapat masuk syurga suatu hari nanti, tapi kita sudah lupa akan kata-kata Allah dalam Al-Quran;

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan." [As-Saff: 2-3]

Kita bertungkus lumus mengajak adik-adik usrah kita supaya menjaga check list amal (mutaba'ah amal) mereka, tapi kita sendiri melupakan amal harian kita. Mereka mungkin tidak tahu yang kita ni sangat culas menunaikan amalan harian kita, lalu kepada mereka, kita telah menipu. Orang-orang di sekeliling kita juga tidak tahu yang kita sebenarnya tidak pernah ambil berat akan mutaba'ah amal kita. Jadi, mereka juga telah tertipu dengan penampilan baik yang kita pamerkan.

Marilah duduk sejenak dan berfikirlah tentang diri sendiri. Jangan kita hanya sibuk nak selamatkan orang lain sedangkan kita lupa pada nasib kita di hadapan Allah Taala nanti. Mari jadikan pandangan orang terhadap kita itu suatu yang nyata. Jika mereka memandang kita sebagai seorang yang baik, maka kita perlu menjadi seperti apa yang mereka sangkakan. Bukannya mengajak untuk menjadi hipokrit tapi ini suatu keperluan yang mendesak dan serius.

Mari kemaskini jadual mutabaah amal yang telah lama tergendala itu. Kita perlu bersedia untuk berubah. Ingatlah, dakwah ini selamanya akan terselamat daripada golongan munafik kerana ia menjanjikan laluan yang sulit dan ketat. Ia juga penuh dengan tugasan dan tanggungjawab berat yang tidak sanggup dilalui melainkan oleh mereka yang betul-betul beriman dengan jalan ini.

Akhir kalam, semoga Allah menyelamatkan kita daripada tertipu dengan diri sendiri. Kita mohon agar diberi kekuatan untuk terus istiqamah dalam membaiki diri sendiri dan juga orang di sekeliling kita."

duduk sebentar lalu bisikkan pada diri..."manusia mana lagi ingin kau tipu?"

Thursday, June 16, 2011

Disebabkan terlalu cool, terpaksa post video ni.



p/s: dalam kita mengkagumi kehebatan lukisan seorang manusia, jangan kita lupa mengkagumi hebatnya ciptaan Allah yang betul-betul real yang ada di sekeliling kita.

"Yang menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Tidak akan kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang pada ciptaan Tuhan yang Maha Pengasih. Maka lihatlah sekali lagi, adakah kamu lihat sesuatu yang cacat?"

"Kemudian ulangi pandangan(mu) sekali lagi (dan) sekali lagi, nescaya pandanganmu akan kembali kepadamu tanpa menemukan cacat dan ia (pandanganmu) dalam keadaan letih." [67:3-4]

Wednesday, June 8, 2011

JUMP 2011

Insyaallah, esok pagi aku akan bertolak ke Ireland untuk menghadiri program yang diberi nama Jalinan Ukhhuwah Musim Panas (JUMP) 2011. Mudah-mudahan banyak manfaat yang akan aku dapat dari sana nanti. Yang paling penting, betulkan niat! Pergi sana cari redha Allah, bukan cari jodoh (tiba-tiba je). Hmmm...maksud aku ialah pergi sana nanti harap2 aku mulakan dengan niat yang baik. Semoga permulaan yang baik akan mendapat kesudahan yang baik. selamat tinggal 'bunga'! Insyaallah, ada masa aku utus berita buatmu.

* bunga ialah nama manja blog nie.

Monday, June 6, 2011

Bisikkan jihad pada diri setiap hari



mode: excited, gementar, bersemangat, risau menjelang JUMP2011...

Sunday, June 5, 2011

berjumpa, berbual, berpisah...

Tadi aku berjumpa dengan si dia. Itu kali pertama aku bercakap dengan dia secara berdua-duaan. Terkejut juga aku apabila bertemu dengan dia di rumah aku tadi. Memang tak sangka dia akan datang sampai ke rumah. Tapi aku gembira sebenarnya bila dapat berbual dengan dia begitu. Banyak juga yang kami bualkan sehinggalah tiba-tiba bahu aku digoncang dengan kuat. "Bangun! Bangun!"

Oh! aku bermimpi rupanya...

Saturday, June 4, 2011

Hadiah dari sebuah tawakkal




"Dan berapa banyak makhluk bergerak yang bernyawa yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberikan rezeki kepadanya dan kepadamu. Dia Maha Mendengar, Maha Mengetahui" [29:60]

Semalam sewaktu usrah, kita orang mentadabbur ayat-ayat dari surah Al-'Ankabut bermula dari ayat 41 sehingga ayat 59. Tiba-tiba aku menjadi sebak apabila terlihat kepada ayat ke-60 surah tersebut (seperti ayat di atas). Benar-benar aku terasa Allah ingin berbicara sesuatu kepadaku. Kami berhenti hanya satu ayat sebelum ayat yang begitu bermakna dalam hidupku.

Itulah sebenarnya ayat ketika aku benar-benar meminta agar Allah berbicara kepadaku dua tahun yang lalu. Saat itu, keputusan peperiksaan Internatioanal Baccaulereate (IB) telah keluar dan result aku tidak seperti yang aku harapkan. Dengan keputusan tersebut, aku mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke United Kingdom.

Waktu itulah aku diajarkan nilai sebuah tawakkal kepada perancangan Allah Taala. Setiap hari selepas solat aku akan berdoa supaya Allah tentukan yang terbaik buatku dan bukannya apa yang aku mohon kerana boleh jadi apa yang aku sangkakan baik itu tidak baik bagiku.

Hinggalah pada suatu hari, aku menghadiri program pre-departure anjuran MARA di bangunan MARA, Kuala Lumpur. Hampir semua pelajar yang hadir pada hari itu telah mendapat unconditional offer daripada universiti masing-masing. Hanya aku dan beberapa teman senasib yang masih lagi menunggu panggilan daripada universiti yang dipohon.

Selesai saja perjumpaan dengan pegawai yang bertugas iaitu Puan Ayuslina, aku dimaklumkan bahawa aku perlu membuat keputusan segera tentang tawaran sambung belajar di UK ataupun di Ireland. Aku hanya punya waktu sehingga esok untuk memberi jawapan kepada Puan Ayu tentang keputusanku samada aku akan terus menunggu tawaran dari UK (Cardiff uni) atau terus mendaftar sebagai calon ke program twinning di RCSI, Ireland. Sekiranya aku ingin terus menunggu tawaran dari UK dan jika ditakdirkan aku tidak dapat, maka aku akan terus terlepas peluang ke Ireland. Kemungkinan lain adalah aku akan diberi tawaran untuk ke India.

Jadi, di saat itulah aku teringat kata-kata seorang senior;

"Apabila dalam masalah, berdoalah sungguh-sungguh untuk berbicara dengan Allah, kemudian bukalah mana-mana muka surat dari Al-Quran dan bacalah. Insyaallah di situ juga Allah akan berbicara denganmu."

Dengan keyakinan dan harapan yang setinggi gunung, aku pun cuba lakukan seperti yang diajarkan senior aku tu. Muka surat yang pertama yang aku buka adalah ms 403 dan di situlah aku berjumpa dengan ayat ini;

"Dan berapa banyak makhluk bergerak yang bernyawa yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberikan rezeki kepadanya dan kepadamu. Dia Maha Mendengar, Maha Mengetahui" [29:60]

Aku lega. Mungkin itulah yang Allah ingin bicarakan kepadaku. Tak dapat sambung belajar ke UK bukanlah pengakhiran segalanya. Aku masih punyai kehidupan anugerah Illahi. Aku masih punya Allah tempat aku mengadu.

Aku terasa begitu lapang! Begitu luas dunia ini dan begitu banyak nikmat di dalamnya namun dunia ini tidak akan pernah mampu mengecewakan aku. Saat itulah aku merasakan keajaiban nilai sebuah tawakkal. Ia mampu menjadikan kita kuat, lebih kuat daripada sebuah gunung. Ia mampu mengubah kita daripada sedih kepada gembira yang tiada taranya.

Esoknya, aku meminta seorang teman memberikan namaku kepada Puan Ayu untuk Twinning program ke RCSI. Ketika itu, aku sedang dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang menaiki kereta kawanku, Kamal Haziq.

"Mungkin Ireland yang terbaik yang Allah tetapkan untukku"

Tiba-tiba, belum sempat kereta kami meluncur keluar dari Kuala Lumpur, aku mendapat panggilan daripada Azizi (roommate ku) semasa di kolej.

"Keputusan daripada Cardiff baru keluar tadi. Hang nak aku check kan nama hang x?"

Ada sedikit berbunga perasaan ketika itu. Aku memberikan username dan password kepada Azizi untuk menyemak keputusan yang aku terima. Lima minit kemudian aku mendapat panggilan semula daripadanya.

"Hang dapat cik (nama panggilan)! hang dapat!"

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Aku diterima ke UK!

Alhamdulillah...dalam perjalanan pulang, kami singgah di hentian Sungai Buloh. Kami ber'kenduri' sate Kajang Hj Samuri malam itu meraikan berita gembira itu.

Hari ni, genap dua tahun aku berada di bumi Cardiff. Insyaallah aku akan hargai peluang yang Allah berikan ini.

Bagi aku...itu adalah hadiah daripada sebuah tawakkal!

Thursday, June 2, 2011

Ada 2 hal yang harus kau ingat;
1) Kebaikan orang terhadapmu,
2) Kejahatanmu terhadap orang lain

Ada 2 hal yang harus kau lupakan;
1) Kebaikanmu terhadap orang lain,
2) Kejahatan orang lain terhadapmu