Sunday, July 17, 2011

Takkan kita nak beli neraka dengan perkahwinan?


Tak tahu di mana nak mulakan entry kali ni. Rasa macam semuanya nak keluar serentak dari hati dan minta ditulis dengan segera. Mungkin ramai yang akan tertanya-tanya dengan tajuk yang agak 'kontroversi' ni. Takkan lah perkahwinan yang digalakkan oleh Rasulullah saw ni akan membawa kita ke pintu neraka kan? Sabda Baginda saw;

“Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu)” (Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari).

Hadith di atas jelas-jelas menunjukkan betapa besarnya faedah dan kelebihan mendirikan rumahtangga lebih-lebih lagi kepada pemuda yang merasakan sudah tiba waktunya untuk hidup berkeluarga. Jadi, ada apa bila saya bertanya seperti berikut;

Takkan kita nak beli neraka dengan perkahwinan?

Mungkin tajuk ni kurang sesuai tapi apakan daya, saya memang suka untuk memilih tajuk-tajuk yang sebegini gayanya. At least kalau orang terpedaya dengan tajuk macam ni dan terbaca apa yang ditulis ni =) (walaupun isinya tidak lah menarik macam tajuknya), mungkin ada sedikit ilmu atau perkongsian yang dapat saya kongsikan bersama mereka.

"Jangan cakap pasai kawin. Nanti adik hang tu mula dok pikiaq nak kawin pulak. Belajaq pun tak habih lagi, nak bela (jaga) anak orang macam mana." Seloroh mak saya ketika sama-sama menikmati mee rebus pada suatu petang.

"Kiranya tak boleh la ni adik nak kawin tahun depan?" Saya menambah perisa. Berderai tawa kakak-kakak ipar yang dari tadi asyik menghirup kuah mee.

"Kerja dulu...Nanti dah ada semua baru la senang sikit nak jaga anak orang. Sat ni kawin masa belajar, mana dengan nak jaga bini lagi, anak lagi. Nanti belajaq ntah ke mana." Jawab mak dengan nada yang lebih formal.

"Time tu umur dah berapa. Baik tunggu umur 40 macam Datuk K baru kawin." Getus saya di dalam hati. Saya tahu jawapan mak tadi seolah-olah minta tajuk perbualan itu segera ditamatkan. Jadi, lebih baik saya senyum dan diam. =)

Saya yakin jika kejadian-kejadian sebegini tidak hanya berlaku kepada diri penulis bahkan ianya bukanlah kes-kes terpencil terutama sekali di zaman yang penuh cabaran kini. Ramai anak-anak muda yang sudah terdidik sekiranya perkahwinan itu merupakan jalan penyelesaian terbaik untuk memelihara diri.

Alhamdulillah, sudah ramai rakan-rakan yang dikenali telah melangsungkan perkahwinan di saat masing-masing masih berada di universiti. Ianya bukanlah suatu perkara yang pelik lagi kini. Bahkan sudah ramai ibu bapa yang mula menerima idea kahwin semasa belajar ini. Tidak seperti 10 atau 20 tahun yang lalu di mana perkara ini dilihat sebagai sangat pelik seakan-akan ianya adalah sebuah UFO.

Namun, tidak semua ibu bapa yang dapat menerima perkahwinan semasa belajar ini. Jadi, kepada yang "senasib" dengan penulis, nasihat saya ialah jangan sampai kita membeli neraka dengan perkahwinan kita itu.

Mungkin jiwa muda kita terasa ingin menjerit bila cadangan kita untuk berkahwin awal ditolak mentah-mentah oleh ibu bapa kita. Mungkin jika diberikan pentas ketika itu, kita mampu berpidato berjam-jam lamanya untuk mempertahankan hujah kita jika perkahwinan awal itu adalah yang terbaik untuk kita. Kita seolah-olah tidak dapat menerima alasan-alasan yang diberikan oleh ibu bapa kita yang tidak sehaluan dengan kita itu.

Jangan melatah!

Itu nasihat saya. Yang pertama untuk diri saya sendiri, dan seterusnya pembaca sekalian. Bertenang sekejap sebelum kita bertindak. Yang kita nak sempurnakan adalah perkara yang baik, jadi jangan cemarkan ia dengan tindakan-tindakan kita yang tidak matang. Takut-takut nanti amal yang pada asalnya dijanjikan pahala akan bertukar kepada dosa yang tiada ampunnya.

Berbincanglah dengan baik hasrat kita bersama ibu bapa. Terangkan kepada mereka mengapa kita merasakan perlunya berkahwin pada usia yang agak muda ni. Jangan lupa watak-watak yang terlibat dalam perbincangan tersebut. Kita masih memegang watak sebagai seorang anak kepada kedua ibu bapa yang telah membesarkan kita sejak dari sebesar tapak tangan tanpa pernah meminta apa-apa balasan. Berbicaralah selayaknya dengan insan teristimewa dalam hidup kita ini.

Jika merasakan diri tidak cukup kuat untuk menyampaikan hasrat hati (jenis tak pandai pujuk mak ayah), dapatkan lah bantuan daripada individu-individu yang dipercayai ibu bapa kita. Contohnya, kalau kita tahu mak kita ni lebih percayakan Kak Ngah kita dalam apa-apa hal sekalipun, maka gunakanlah kapasiti kak ngah kita tu untuk memujuk ibu bapa kita. Insyaallah semuanya akan berjalan dengan lancar jika kena caranya.

Selebihnya, "Lu pikir la sendiri!", bak kata Bang Bil dalam astro. Sebab semuanya bergantung juga kepada situasi masing-masing. Cuma, mesej penting yang saya nak sampaikan kali ni ialah jagalah hati ibu bapa sebaiknya. Kita sudah menjadi anak yang baik buat mereka sejak dilahirkan. Maka janganlah kerana tersalah cara, perkahwinan kita nanti menjadi punca deraian air mata mereka.

Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”

Riwayat al-Hakim

Jadi, kena atau tidak tajuk entry kali ni saya tak kisah. Yang penting kita tak nak beli neraka dengan perkahwinan kita. Betul kan? =)

No comments:

Post a Comment

komen anda dihargai