Monday, October 19, 2009

hanya di hati...


"Wardatul Iman?" "Bunga keimanan.." "Oh..sedap nama tu! Saya suka. Insyaallah ada rezeki nanti saya namakan puteri saya dengan nama tu."

Masih teringat perbualan dengan akh Murshid semasa cuti panjang yang lepas. Rasa pendek cuti yang panjang bila dipertemukan dengan orang macam Murshid. Rasa terisi masa cuti bila dapat berkenalan dengan siswa Madinah yang seorang ni. Siapa dia? Insyaallah akan dikenalkan suatu hari nanti...

"Maisarah maknanya ketenangan atau kekayaan." saya bersuara bila nama itu dipilih oleh abang untuk puteri sulungnya. "Patutlah tak selalu menangis! Bagus jugak nama ni. Tenang.." Abang cuba berjenaka.

Jenuh juga saya mencari nama-nama indah untuk anak saudara saya yang seorang ni. Beria benar menanti kehadirannya. Hampir semua kenalan mendapat mesej; "..apa nama Islam yang sedap2 dan bermakna untuk baby girl?" Usaha yang tidak sia-sia. Hampir semuanya membalas mesej dengan nama-nama yang indah termasuklah yang bergurau dengan nama "Christina Aguilera" dan "Jennifer Lopez". Terima kasih daun keladi semua!

"Ada apa dengan nama?" "Nama itu doa!" Saya harap kehadiran Maisara Safia akan membawa ketenangan dan cahaya dalam keluarga abang saya. Secara peribadi, saya memang suka nama Aisyah. Ada juga saya cadangkan. Nama isteri Baginda SAW. Dalam nama "Aisyah" ada doa dari saya agar suatu hari nanti akan ada kualiti Saiyidatina Aisyah r.a. dalam dirinya.(saya simpan dulu nama ni untuk anak saudara yang berikutnya, insyaallah)

Kelahiran Maisara Safia sebenarnya mengingatkan saya bahawa saya sudah besar! Sudah dewasa! Mengingatkan saya bahawa anak bongsu juga akan turut menjadi tua bila masa berlalu. Masa remaja saya sudah singkat....

Pesanan Al Bana kepada kumpulan Dr. Salim ketika mereka berumur 16 tahun;

"Jadilah lelaki sejati..."
Masa remajamu pendek, kamu mesti menjadi lebih baik
dari generasi kami...

"Berapa umur kamu?" "Saya 20 tahun tapi masih student, jadi kira muda lagi lah."
"Kamu?" "Saya 46 tapi masih student (postgrad), jadi kira....err..??"

Siapa lagi nak bagi alasan? Apa lagi alasan kita nak bagi?

Saya suka bila ada orang yang ingat tarikh lahir saya. Tambah-tambah dari orang yang kita tak sangka-sangka. Berbunga-bunga di hati...sampai terlupa yang orang tu sebenarnya nak ingatkan saya yang umur saya dah makin pendek. Astaghfirullah..pesanan Imam Hassan Al Banna rasanya masih belum saya ikuti. Masa remaja berlalu percuma saja.

"Since you are here, please do something for Islam." Cadangan untuk menziarahi Masjid Shah Jalal pada suatu petang sebenarnya sudah 'tertulis'. Mungkin untuk mengutip nasihat tersebut dari seorang pakcik yang sedang beriktikaf di dalamnya.

Buatlah sesuatu! Jangan berlengah lagi. Kita punya masa sebenarnya untuk menyumbang kepada Islam. Terlibatlah dengan usrah, halaqah, islamic society atau apa saja asalkan kita dapat menyumbang. Terlibatlah dengan melibatkan diri. Bukan kerana dilibatkan. Kita tidak sibuk tapi kita selalu menyibuk! Selalu habiskan masa lapang dengan aktiviti yang tak dirancang. Maknanya kita tak pernah merancang untuk mengisi masa lapang kita. Option yang paling nampak 'baik' selalunya berehat(aka tidur yang panjang). Tidur kan ibadah...

Kepada yang sudah terlibat dengan usrah, halaqah, dan sebagainya, janganlah kita berasa sudah berjasa kepada islam kerana penglibatan kita tetapi bersyukurlah kerana terpilih. Bersyukur lah dengan tidak memberi alasan sibuk apabila diperlukan untuk jalan dakwah ini. Jangan lah kita menghina dai'e-dai'e lain dengan mengatakan kita sibuk. Seolah-olah mereka yang lain itu tidak sibuk. Tidak bekerja. Tidak belajar. Tidak berkeluarga.

Tidak bermaksud kita perlu menjadi ekstrem dalam usaha kita kerana yang ekstrem itu sesuatu yang tidak kekal lama. Jadilah seorang yang konsisten dan istiqamah. Letihkan lah tulang empat kerat dan kudrat remaja kita ni untuk islam. Kerana hanya orang yang letih akan menikmati masa 'rehatnya'.

"manusia yang paling letih ialah mereka
yang besar keinginan dan harapannya"

wallahu 'alam..

Tuesday, October 13, 2009

Survival muslim!


Dia lelaki istimewa! Walaupun tak pernah bersua, dia tetap memberi inspirasi kepada saya untuk terus sabar dan istiqamah dalam jalan ini...

Figure yang saya maksudkan ini bernama Syeikh Farag Najjar, salah seorang tokoh yang sangat berjasa pada umat Islam. Untuk lebih mengenali beliau, saya cadangkan supaya membaca dari blog berikut;http://satuperkongsian.wordpress.com. Blog ini hasil karangan Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) iaitu Ustaz Fauzi Asmuni.

"Dakwah ini panjang dan payah! Oleh itu, kita perlukan rijal-rijal yang bernafas panjang untuk terus memikul tanggungjawab ini." Begitu pengajaran yang masih terpahat jelas dalam hati dan ingatan saya. Namun baru kini saya mula memahami apa yang dimaksudkan dengan 'bernafas panjang' itu. Saya suka mengambil contoh dari filem 'ayat-ayat cinta' iaitu ketika seorang pakcik memberi nasihat kepada Fahri; "Allah sedang berbicara dengan kamu tentang sabar dan ikhlas....."

Begitulah dalam jalan dakwah. Apa yang penting ialah untuk kita sentiasa ikhlas dalam usaha kita termasuklah ketika kita cuba mendekati kawan-kawan dengan belajar bersama, membantu ketika diperlukan, hatta bermain 'PEST' bersama. Semua itu akan hadir sebagai ibadah jika kita mulakan dan akhirkan dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Biarlah setiap apa yang kita lakukan itu ada matlamat di akhirnya seperti kata-kata seorang pakar motivasi dalam ceramahnya; "begins with the end in mind!"

Tidak semua perkara yang kita lakukan akan menjadi seperti yang kita harapkan. Itu lumrah kehidupan. Kita mulakan dengan niat yang benar namun masih tidak tercapai 'ending ' yang kita rancangkan itu. Itu fitrah! Cuba kita tanya diri sendiri, berapa banyak nikmat Allah SWT yang masih belum kita syukuri? Bukan kah oksigen yang kita nikmati ini 'free of charge' tapi masih kita melakukan dosa. Dalam maksud yang lain, seolah-olah kita tak berterima kasih kepada yang Maha Pemurah. Jadi, tak kira lah apa pun kebaikan yang kita dah berikan kepada orang lain, tak semestinya dia akan berterima kasih untuk itu. Itu fitrah! Bahkan itu juga sebahagian dari sifat kita sendiri...

Bila perkara-perkara tersebut terjadi, mula lah kita nak merungut. Salahkan diri, salahkan kawan dan kadang-kadang takdir pula yang disalahkan. Istighfar....Di sini lah nilai SABAR dituntut. Tidak kira sehebat mana pun kita, sedarlah bahawa kita tetap hambaNya dan bukankah hamba itu dimiliki,tidak memiliki? Oleh itu, sedar lah juga bahawa hamba sentiasa layak untuk diuji oleh yang Memiliki kita.

Hadis 16;
daripada Au Hurairah r.a: Bahawa seorang lelaki telah berkata kepada Nabi SAW: berikan aku wasiat. Baginda bersabda: "Janganlah engkau marah". Lelaki itu mengulang soalan itu beberapa kali. baginda tetap bersabda: "Janganlah engkau marah"
(H.R Al-Bukhari)

Ikhlas...sabar...istiqamah!

Saya sangat tersentuh apabila membaca sejarah hidup Syeikh Farag Najjar. Kehidupan beliau korbankan demi sebuah perjuangan yang jelas matlamatnya. Meremang bulu roma apabila dalam artikelnya, ustaz fauzi mengakhiri dengan; Moga-moga Allah menerima segala amalnya dan melahirkan pengganti seumpamanya untuk umat ini.

Saya aminkan doa tersebut. Umat ini memang memerlukan figure seperti beliau untuk terus memikul beban dakwah ini. Seolah-olah dalam hidup beliau hanya ada 3 perkataan ini- ikhlas...sabar...istiqamah.

Semoga kita terus thabat dengan jalan ini hingga nyawa tiba di kerongkongan. Marilah hidup bermatlamat! Jangan jadi remaja lembik. Malas berpesatuan. Malas berkawan. Malas membaca. Remaja hanya sekali beb! Jadi mari manfaatkan kekuatan maksimum yang hanya ada ketika remaja ini untuk kemudahan di hari tua nanti.

Akhir kalam, semoga Allah menerima amal baik yang kita lakukan dengan ikhlas keranaNya. Amin..

Wednesday, October 7, 2009

sekitar musafirku


Assalamualaykum...(diucapkan bukan sekadar memenuhi keperluan adat dan tertib bahkan lebih kepada doa seperti mana yang sepatutnya kita niatkan agar menjadi ibadah)

Telah genap 20 hari saya menghirup udara segar di bumi cardiff yang serba indah dan menenangkan ini. Terasa lama benar masa berlalu, seolah-olah sudah bertahun meninggalkan desa halaman. Mungkin kerinduan! Alhamdulillah, dalam tempoh 20 hari pertama di sini pelbagai pengalaman baru dan berharga telah saya kutip.

"Pokcik, bangun 2X! Dah dekat 6.30 pagi ni." teriak Azad mengajak saya ke masjid Abdul Rahman yang letaknya hanya beberapa blok rumah dari tempat tinggal 'kami'. Ini kali kedua saya bermalam di rumah abang Azad kerana menghadiri usrah malam tadi. Mudah-mudahan segala usaha kebaikan yang dilakukan oleh senior-senior dan diri ini sendiri mendapat redha Allah S.W.T.

Apa yang menarik yang ingin saya kongsikan sebenarnya terjadi usai sahaja solat Subuh pagi itu. Saya dan Ammarul Zaki agak terlewat dan hanya sempat menjadi makmum masbuk. Usai Subuh, semua bersurai. Kebanyakannya pulang ke rumah kerana kebetulan hari Sabtu memang hari bercuti di sini, sama seperti di Malaysia. Yang tinggal hanya kami berdua...

Mata masih berat sebenarnya, jadi kami bercadang untuk terus pulang sahaja. Namun, seolah-olah dalam perancangan (inilah yang dinamakan takdir) kami berdua bakal menyaksikan pengislaman seorang remaja bernama Michael (tak pasti ejaannya) yang masih bertindik telinga kirinya. Di sampingnya ada seorang lagi remaja 'mat saleh' yang lengkap berjubah. Bersih amat wajahnya! Mungkin telah memeluk Islam terlebih dahulu dari Michael.

Bergetar jiwa menahan sebak apabila mendengar ucapan kalimah syahadah dari bibir Michael! Subhanallah! Tuhan yang telah mensucikan jiwanya yang kotor sebelum ini dengan sesuci-sucinya. Allahu Akbar! Tuhan yang berkuasa memberikan hidayah kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Terasa ingin dipeluk sahaja saudara baru itu namun saya tahankan diri kerana masih kekok dengan budaya di sini. Takut-takut ianya menyalahi kebiasaan orang di sini. Selesai sahaja tazkirah pendek dari imam yang membantu Michael mengucapkan syahadah, kami berangkat pulang ke rumah masing-masing. Kisah itu saya ceritakan berulang kali kepada rakan-rakan di rumah.

Maksud hadis;
Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn 'Umar ibn al-Khattab r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasululullah SAW bersabda: "Islam itu terbina di atas lima perkara: Pengakuan bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu adalah Utusan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan menunaikan puasa pada bulan Ramadhan."
(H.R Al-Bukhari dan Muslim)

Mudah-mudahan kita mendapat pengajaran daripada kisah Michael ini. Jika kita mahu bermuhasabah diri dan umat kita sekarang ini, hayatilah hadis ini dan lihat adakah kita sudah mendirikan Islam? Michael telah lulus ucapan syahadahnya kerana dia mengucapkannya dengan penuh pengertian dan penghargaan akan nikmat hidayah yang diberi. Mudah-mudahan dia akan mampu menyelesaikan empat perkara lagi.

Mari selesaikan tuntutan yang pertama dalam senarai rukun Islam; mengucap dua kalimah syahadah! Kita sudah mengaku bahawa kita hidup berTuhankan Allah. Oleh itu, layak lah sekiranya kita juga menerima kenyataan bahawa kita adalah hamba kepada apa yang menjadi Tuhan kita.

Kita juga menerima dengan sepenuh hati bahawa Nabi Muhammad SAW itu Utusan Allah. Oleh itu, wajar lah kiranya kita menerima hakikat bahawa kita adalah umat kepada Utusan yang bernama Muhammad SAW.

Justeru, saya ingin menyeru diri ini terlebih dahulu dan saudara - saudari sekalian agar kita bermuhasabah kembali diri sendiri. Tanya diri kita adakah kita sudah benar-benar mensyukuri nikmat ISLAM yang Allah SWT berikan sejak kita lahir lagi? Jika terasa belum, maka carilah jalan untuk menuju Redha Allah SWT. Mulakan dengan taubat dan penyesalan atas dosa-dosa lalu dan terus dekatkan diri dengan amal kebaikan. Mudah-mudahan Allah SWT akan memberikan kemudahan untuk kita menempuh jalan yang sukar itu..Wallahu 'alam....




Saturday, October 3, 2009

Sebuah permulaan...

Assalamualaykum...

Pertama sekali ingin saya panjatkan rasa syukur kepada Allah yang telah memberi saya pelbagai nikmat sebelum, semasa dan selepas saya dilahirkan. Mudah-mudahan sebuah permulaan yang sudah lama saya niatkan ini dapat menjadi medan untuk saya menambah saham di alam sana. Tentang nama blog (wardatuliman33) ini akan saya terangkan kemudian, insyaallah. Segala tunjuk ajar dan cadangan amat saya alu-alukan demi membantu saya yang baru dalam alam siber ini. Akhir kalam, dakwah ini kita tanggung bersama