Wednesday, October 7, 2009

sekitar musafirku


Assalamualaykum...(diucapkan bukan sekadar memenuhi keperluan adat dan tertib bahkan lebih kepada doa seperti mana yang sepatutnya kita niatkan agar menjadi ibadah)

Telah genap 20 hari saya menghirup udara segar di bumi cardiff yang serba indah dan menenangkan ini. Terasa lama benar masa berlalu, seolah-olah sudah bertahun meninggalkan desa halaman. Mungkin kerinduan! Alhamdulillah, dalam tempoh 20 hari pertama di sini pelbagai pengalaman baru dan berharga telah saya kutip.

"Pokcik, bangun 2X! Dah dekat 6.30 pagi ni." teriak Azad mengajak saya ke masjid Abdul Rahman yang letaknya hanya beberapa blok rumah dari tempat tinggal 'kami'. Ini kali kedua saya bermalam di rumah abang Azad kerana menghadiri usrah malam tadi. Mudah-mudahan segala usaha kebaikan yang dilakukan oleh senior-senior dan diri ini sendiri mendapat redha Allah S.W.T.

Apa yang menarik yang ingin saya kongsikan sebenarnya terjadi usai sahaja solat Subuh pagi itu. Saya dan Ammarul Zaki agak terlewat dan hanya sempat menjadi makmum masbuk. Usai Subuh, semua bersurai. Kebanyakannya pulang ke rumah kerana kebetulan hari Sabtu memang hari bercuti di sini, sama seperti di Malaysia. Yang tinggal hanya kami berdua...

Mata masih berat sebenarnya, jadi kami bercadang untuk terus pulang sahaja. Namun, seolah-olah dalam perancangan (inilah yang dinamakan takdir) kami berdua bakal menyaksikan pengislaman seorang remaja bernama Michael (tak pasti ejaannya) yang masih bertindik telinga kirinya. Di sampingnya ada seorang lagi remaja 'mat saleh' yang lengkap berjubah. Bersih amat wajahnya! Mungkin telah memeluk Islam terlebih dahulu dari Michael.

Bergetar jiwa menahan sebak apabila mendengar ucapan kalimah syahadah dari bibir Michael! Subhanallah! Tuhan yang telah mensucikan jiwanya yang kotor sebelum ini dengan sesuci-sucinya. Allahu Akbar! Tuhan yang berkuasa memberikan hidayah kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Terasa ingin dipeluk sahaja saudara baru itu namun saya tahankan diri kerana masih kekok dengan budaya di sini. Takut-takut ianya menyalahi kebiasaan orang di sini. Selesai sahaja tazkirah pendek dari imam yang membantu Michael mengucapkan syahadah, kami berangkat pulang ke rumah masing-masing. Kisah itu saya ceritakan berulang kali kepada rakan-rakan di rumah.

Maksud hadis;
Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn 'Umar ibn al-Khattab r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasululullah SAW bersabda: "Islam itu terbina di atas lima perkara: Pengakuan bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu adalah Utusan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan menunaikan puasa pada bulan Ramadhan."
(H.R Al-Bukhari dan Muslim)

Mudah-mudahan kita mendapat pengajaran daripada kisah Michael ini. Jika kita mahu bermuhasabah diri dan umat kita sekarang ini, hayatilah hadis ini dan lihat adakah kita sudah mendirikan Islam? Michael telah lulus ucapan syahadahnya kerana dia mengucapkannya dengan penuh pengertian dan penghargaan akan nikmat hidayah yang diberi. Mudah-mudahan dia akan mampu menyelesaikan empat perkara lagi.

Mari selesaikan tuntutan yang pertama dalam senarai rukun Islam; mengucap dua kalimah syahadah! Kita sudah mengaku bahawa kita hidup berTuhankan Allah. Oleh itu, layak lah sekiranya kita juga menerima kenyataan bahawa kita adalah hamba kepada apa yang menjadi Tuhan kita.

Kita juga menerima dengan sepenuh hati bahawa Nabi Muhammad SAW itu Utusan Allah. Oleh itu, wajar lah kiranya kita menerima hakikat bahawa kita adalah umat kepada Utusan yang bernama Muhammad SAW.

Justeru, saya ingin menyeru diri ini terlebih dahulu dan saudara - saudari sekalian agar kita bermuhasabah kembali diri sendiri. Tanya diri kita adakah kita sudah benar-benar mensyukuri nikmat ISLAM yang Allah SWT berikan sejak kita lahir lagi? Jika terasa belum, maka carilah jalan untuk menuju Redha Allah SWT. Mulakan dengan taubat dan penyesalan atas dosa-dosa lalu dan terus dekatkan diri dengan amal kebaikan. Mudah-mudahan Allah SWT akan memberikan kemudahan untuk kita menempuh jalan yang sukar itu..Wallahu 'alam....




No comments:

Post a Comment

komen anda dihargai