Wednesday, July 6, 2011

Penjelasan pendirian ISMA terhadap isu Bersih

Posted on Julai 6, 2011 by Abdullah Zaik

Pertukaran kuasa secara aman adalah salah satu mafhum positif yang terdapat dalam demokrasi yang diterima oleh Islam. Feqah Islam di peringkat awal memperketatkan syarat mengambil alih kuasa dengan cara kekuatan kerana cara itu boleh menyebabkan pertumpahan darah, kehilangan nyawa yang banyak, kesorakan harta benda yang tidak terkira dan haru-biru dalam kehidupan manusia.

Atas alasan itu difahami fatwa ulamak yang sangat menekankan kewajipan mentaati imam dan kerana sebab yang sama menerima konsep ambil alih kuasa dengan kekuatan dan melalui cara warisan. Setelah diperhalusi oleh ulamak muhaqiqin didapati bahawa perubahan kerajaan boleh dilakukan walaupun ia tidak menjadi kafir jika perubahan itu tidak membawa kepada kemudharatan yang besar.

Ar-Rasyid di dalam kitabnya Usul Al-Ifta’, telah memberi fatwa keharusan keluar daripada imam (pemimpin) jika proses perubahan tersebut tidak membawa mudarat yang lebih besar berbanding mudarat yang dilakukan oleh imam tersebut jika dia terus memerintah.

التغيير بالقوة جائز شرعا إذا لم تصاحبه مفاسد ودماء أكثر مما يريقها الظالم مباشرة أو بطريق غير مباشر
“Proses perubahan secara kekuatan adalah harus syar’ie (dibolehkan oleh syarak) jika fitnah, kerosakan dan pertumpahan darah yang berlaku lebih sedikit berbanding kerosakan yang berlaku sekiranya pemimpin zalim itu terus memerintah, secara langsung ataupun tidak langsung”.

Pilihan raya yang adil membolehkan proses perubahan kuasa berlaku dengan aman. Saya kira ia adalah satu tahap kematangan yang pernah dicapai dalam sejarah manusia. Hari ini mana-mana pihak yang ingin merebut kuasa boleh masuk pilihan

raya dan perubahan kuasa boleh berlaku dengan aman tanpa pertumpahan darah, kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan sebagainya.
Atas dasar itu ISMA bersetuju secara umum terhadap tuntutan mewujudkan sistem pilihan raya yang bersih dan adil tidak kira datang daripada mana-mana pihak sekali pun. Walaubagaimana pun ISMA mengambil sikap berhati-hati terhadap penganjuran perhimpunan Bersih yang bakal diadakan pada 9 Julai ini. Ini sesuai dengan dasar ISMA yang non partisan dan setelah penilaian dibuat secara menyeluruh.

ISMA berpendapat ada unsur provokasi dalam penganjuran BERSIH 2.0. Walaupun penganjur menjanjikan perhimpunan aman tetapi bilangan yang diunjurkan ratusan ribu melebihi kemampuan polis Malaysia yang hanya berjumlah 150000 orang dan beberapa ribu anggota FRU untuk mengawal. Situasi luar kawalan ini dalam istilah feqah dipanggil mazannah al-fitnah (potensi besar berlaku fitnah) yang boleh dijadikan sandaran dalam membuat hukum. Jika diandaikan jumlah itu berada di jalan mustahil polis akan dapat mengawalnya dan keselamatan umum akan terancam dan itu boleh menyebabkan huru-hara yang ditegah oleh syarak.

Dalam keadaan itu jika diandaikan pihak kerajaan tidak memenuhi tuntutan dan itu sangat besar kemungkinannya maka keadaan lebih serius boleh berlaku. Ketamakan politik pihak-pihak yang terlibat mungkin merubah perhimpunan aman kepada konfrontasi, revolusi dan sebagainya. Ini telah berlaku di negara luar. Ini tidak termasuk tindakan-tindakan provokatif yang mungkin dirancang oleh pihak tertentu.

Mengambilkira kerapuhan sistem politik Malaysia yang terdedah kepada ketamakan dalam dan luar negara, ISMA mengambil pendirian berhati-hati terhadap perhimpunan Bersih. Landasan kami dalam membuat pendirian tersebut ialah:

1. Kemungkinan perhimpunan menuntut pilihanraya Bersih boleh bertukar kepada tekanan supaya berlaku perubahan kuasa secara tidak aman. Ini berlawanan dengan matlamat asal Bersih yang mahu mengukuhkan sistem pilihanraya dan seterusnya berlaku pertukaran kuasa secara aman. Seperti yang kita lihat berlaku di luar negara perubahan cara ini tidak membawa negara kepada demokrasi sebaliknya kembali ke zaman faudho (ketidaktentuan yang berpanjangan) di samping musuh-musuh negara menunggu peluang untuk membaham.

2. Perubahan kuasa buat masa ini akan memperkukuhkan kedudukan puak-puak liberal yang berfahaman sekular barat. Dengan terbentuknya sistem demokrasi liberal ala barat yang meminggirkan agama dan bangsa akan menjauhkan lagi matlamat perjuangan Islam.

3. Perubahan yang berlaku tidak memenuhi syarat syar’ie (syarak) yang mana perlu wujud kepimpinan Islam yang layak, dominan dan mendapat sokongan yang kuat daripada massa. Jika perubahan berlaku golongan Islam dalam gabungan alternatif tidak memenuhi syarat yang disebutkan.

Pendirian ini dibuat berdasarkan kaedah saddu az-zari’ah (menghalang sebab yang membawa kemudhoratan), dan kaedah merubah kemungkaran tidak boleh menyebabkan kemungkaran yang lebih besar. Dalam hal ini huru-hara yang mengancam kestabilan negara boleh berlaku.

ISMA mencadangkan agar perhimpunan Bersih mengambil kira pandangan ini dan menyokong kiranya pihak penganjur bersetuju untuk dibuat di stadium walaupun ISMA masih menuntut agar bilangannya mesti dikurangkan.

Sekali lagi ISMA mengambil kesempatan untuk mengajak umat Islam agar kembali kepada kitab dan sunnah, bersatu padu dan mengelak daripada terjebak dalam permainan politik yang akhirnya merugikan perjuangan Islam. ISMA melihat semangat kepartian melampau boleh membakar apa sahaja yang masih tersisa.

Sekian wassalam.

copy n paste dari blog;
http://ustabdullahzaik.wordpress.com/2011/07/06/isma-dan-bersih/

Monday, July 4, 2011

Welcome to Cardiff


Assalamualaikum wbt,

Pertama sekali, tahniah diucapkan kepada semua yang mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke University of Cardiff! Sesungguhnya, anda bakal menjejakkan kaki ke salah sebuah tempat yang mempunyai komuniti Melayu teramai selain London, Southampton dan Manchester. Jadi, cakap kat family jangan risau sangat bila anda sampai di Cardiff nanti. Seniors kan ada! =)

Sebenarnya, banyak sangat benda nak cerita kat adik-adik yang baru ni tapi tak cukup masa kalau nak dituliskan di sini. Jadi, saya tuliskan apa yang anda perlu tahu serba sedikit sebelum sampai ke sini.

Pertama sekali, bila sampai saja ke Heathrow insyaallah ada pegawai MARA yang akan menjemput anda di sana. Kemudian beliau akan membawa anda semua ke stesen bus yang terletak di Terminal 3 lapangan terbang tersebut. Bus direct ke Cardiff coach station bakal menelan belanja sebanyak 42 GBP. Jangan convert ke RM! Takut tak jadi naik bus pulak nanti. =)

Ada je cara yang lebih murah untuk sampai ke cardiff iaitu transit di Victoria Coach station, London. Tapi, itu pun kalau ada seniors yang tolong bawakkan dan anda sanggup berpenat lelah mengangkut barang-barang yang menimbun tu. Insyaallah jika ada senior yang sudi pick up anda di Heathrow nanti, bertuahlah anda. Senang ckit nak angkut barang.

Setibanya di Cardiff, insyaallah seniors akan sediakan pengangkutan kereta untuk membawa anda semua ke tempat penginapan masing-masing. Selain itu, anda juga akan dibawa untuk ber shopping bagi membeli keperluan asas seperti duvet (selimut), bantal, cadar, toiletries, makanan dan sebagainya. Jadi, jangan bebankan diri anda nak bawak suma benda tu dari Malaysia. Sampai Cardiff nanti kita tolong carikan.

Untuk hari-hari pertama anda di Cardiff, abang-abang dan kakak-kakak akan berbesar hati sekiranya anda nak tumpang tidur kat rumah dia orang. Boleh la dia orang tolong masakkan dulu untuk anda nanti.

Seterusnya, yang selalu menjadi isu ialah barang apa nak bawak nanti eh? Hmm...secara jujur kalau saya katakan jangan bawak barang banyak-banyak, pasti anda akan tetap bawak banyak. Jadi, saya katakan, terpulang kepada selera individu. Tapi, antara perkara penting yang anda perlukan ialah perencah nasi goreng dan Brahims instant food. Benda lain suma ada kat sini termasuklah Mee Maggi (jenama malaysia), kicap kipas udang, serbuk kari dan lain-lain. Kalau anda minat masak kurma, boleh lah bawak dari Malaysia. Yang tu takde kat sini.

Cardiff ni sangatlah kecil dan comel! Anda jarang memerlukan penggunaan bus dan teksi. Cukup sekadar berjalan kaki atau menaiki basikal. Jarak perjalanan kebanyakannya within walking distance. Jadi, boleh lah anda berjimat sedikit wang belanja untuk keperluan lain. Nanti, kepada sesiapa yang nak beli basikal murah, boleh minta tolong seniors. Harga selalunya between 20-40 GBP. Basikal second hand. Yang baru boleh mencecah ratusan pound.

Seterusnya, baju sejuk berapa helai nak bawak? Bagi saya, apa-apa baju yang anda rasa selesa nak pakai masa anda pergi ke Cameron Highland tu pun dah cukup sebab masa anda sampai nanti, musim luruh dan taklah sesejuk musim sejuk. Bila sampai sini nanti, marilah bershopping membeli pakaian sejuk yang lebih murah dan cantik di Cardiff city centre atau Bridgend outlet.

Kepada sesiapa yang berminat untuk menetap di rumah bersama seniors (lelaki saja), anda boleh hubungi saya dengan segera di talian 0134536951 (pokcik) atau dr_one33@yahoo.com. Selalunya pelajar baru akan memilih untuk tinggal di University accomodation, cumanya dari segi kos dan keselesaan, tinggal bersama senior pastinya lebih baik kerana setiap hari sudah ada jadual memasak. Tak perlulah anda masak setiap hari. Ni bukan nak promote untuk tinggal dengan seniors. Sekadar makluman berdasarkan pengalaman.

Apa lagi yang anda nak tau? Owh ya...nanti insyaallah kita akan adakan freshers camp sebelum anda semua memulakan sesi persekolahan. Camp ni free of charge dan anda sangat digalakkan untuk menyertainya supaya dapat kenal lebih ramai seniors termasuklah yang abang dan kakak postgrad yang sudah berkeluarga. Nanti bila dah kenal, senang sikit nak minta tolong dan sebagainya.

Akhir sekali, selamat datang diucapkan! Di bumi perantauan inilah anda akan banyak belajar erti sebenar kehidupan. Insyaallah, kita sama-sama mendoakan agar kehidupan di Cardiff ini akan menjadi kenangan yang terindah sepanjang hidup kita.

Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan, boleh hubungi saya di talian berikut;
0134536951 (malaysia)
07527796959 (UK)
dr_one33@yahoo.com
Firdaus A Bakar (facebook)

Promo Tautan Ukhuwah 2011



Berminat? Daftar segera dan jadilah sebahagian daripada manusia yang akan mencipta sejarah tersendiri dalam perjalanan hidup mereka. Siapa lagi kalau bukan anda? =)

Sunday, July 3, 2011

mengEKSLUSIFkan agama!

Kadang-kala, tanpa kita sedari agama Islam semakin hari semakin dijadikan ekslusif oleh sesetengah pihak. Seolah-olah hanya manusia-manusia tertentu sahaja yang boleh mengamalkan ajaran Islam. Sedangkan Rasulullah saw diutuskan untuk menyampaikan Islam kepada seluruh alam.

Semalam ada terbaca buku "Mengemudi Bahtera Perubahan Minda" karangan Dr Asri Zainal Abidin (MAZA). Kupasan-kupasan awal yang dikemukakan beliau dalam buku tersebut sangat menarik dan santai untuk dibaca. Idea-idea dan hujah yang dilontarkan juga berjaya membugar minda dan mengetuk hati yang lalai dalam menghayati ajaran Islam yang sebenar.

Membaca contoh-contoh penyelewengan agama yang berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia telah membuatkan aku berfikir tentang beberapa perkara seumpamanya yang berlaku di tempat kelahiranku. Penyelewengan yang aku maksudkan bukanlah sehingga membabitkan persoalan akidah, tetapi lebih kepada perkara-perkara yang menyulitkan ajaran Islam sehingga amalan yang sepatutnya dilakukan oleh seluruh umat Islam menjadi ekslusif untuk golongan tertentu.

Sebagai contoh (tidak dipetik dari buku tersebut), aku dapat menyaksikan betapa solat jemaah di masjid telah menjadi ekslusif kepada golongan-golongan lama yang berkopiah putih dan berkain pelikat sahaja. Anak-anak muda yang datang bersolat dengan memakai baju T-shirt dan tidak berkopiah akan dipandang pelik sehinggakan ada mata yang seolah-olah membenci pakaian anak muda tersebut. Seakan-akan hanya mereka yang berkain pelikat dan berbaju melayu sahaja yang diterima solatnya.

Aku tidak katakan semua yang di masjid memandang dengan pandangan yang sebegitu, tetapi tetap ada sebilangan besar yang berperangai sedemikian sehingga menyebabkan anak muda menjadi takut untuk hampir ke masjid. Selain itu, solat jemaah di masjid juga hanya layak untuk mereka yang sanggup menyempurnakan zikir dan tasbih selepas solat yang berjela-jela panjangnya. Sesiapa yang terus berdoa dan beredar sebelum itu akan dipandang "kurang layak" untuk bersolat di masjid. Maka, semakin jauh lah anak muda dari masjid gara-gara undang-undang yang tidak ada dalam syariat itu diamalkan oleh golongan lama ini.

Semasa berada di United Kingdom, aku sangat selesa bersolat di masjid kerana tidak ada peraturan atau undang-undang khas untuk amalan-amalan tertentu yang menyusahkan. Usai solat, imam akan terus membaca doa ringkas dan kemudian bersurai. Sesiapa yang ingin menunaikan solat sunat selepas itu juga tidak berasa beban kerana tidak ada zikir yang berbelas minit panjangnya.

Lihat saja filem-filem atau drama yang ditayangkan di Malaysia. Golongan alim pasti akan digambarkan dengan berjubah, sentiasa memegang tasbih dan berserban dua tiga meter panjangnya. Hidup mereka seolah-olah terpisah dengan manusia lain. Seolah-olah mereka hanya beribadah setiap waktu. Inikah Islam yang kita nak tunjuk kepada non-Muslim? Inikah Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw dan para sahabat? Apa kata non-muslim nanti? "kalau macam ni baru boleh jadi islam yang baik, tak mau la masuk islam. Takkan nak kena pakai uniform macam tu. saya ni peguam."

Agama ini untuk semua. Mengapa menyulitkan perkara yang pada asalnya dimudahkan untuk kita? Sebab itu la jugak aku malas nak dengar kuliah agama di masjid kampung. Haram sana, haram sini, batal sana, batal sini. Lemas nak dengar. Aku yakin, golongan muda yang sudah terbuka mindanya lebih tertarik untuk mendengar kupasan-kupasan yang lebih mencabar intelektual mereka dan bukannya cerita-cerita ajaib zaman dulu-dulu yang entah dari mana sandarannya.

Zaman sekarang, anak muda sudah tidak boleh terima jika dunia ini berada atas seketul batu yang berada atas badan ikan nun. Jika bergerak ikan nun itu, maka bergeraklah bumi (gempa bumi). Mereka sudah terdidik jika bumi ini terapung-apung di ruang angkasa bersama-sama planet-planet lain.

Bengkak juga hati bila setiap hari dipandang pelik bila solat dengan berbaju T-shirt dan tidak berkopiah putih!

Friday, July 1, 2011

jodoh kanta lekap

Assalamualaikum wbt,

Pertama sekali saya memohon perlindungan daripada Allah swt agar surat ini tidak menjadi lubang-lubang untuk syaitan menyesatkan saya dan saudari. Saya juga ingin memohon maaf kerana saya pasti surat ini akan mengganggu ketenangan hidup saudari buat beberapa ketika tapi saya harap saudari mengerti bahawa surat ini saya utus demi tujuan yang baik.

Seterusnya, saya ingin saudari tahu bahawa pada ketika saudari menerima surat ini, hati saya telah benar-benar mantap ingin menjadikan saudari teman hidup. Sejak hari pertama bertemu saat saya menempah kanta lekap seminggu yang lalu, malam-malam saya ditemani istiharah memohon diberi ketetapan hati dalam memilih pasangan hidup. Sehinggalah semalam saya berasa tergerak untuk menulis surat ini sebagai ikhtiar saya.

Saya minta maaf kerana cara saya ini mungkin tidak sesuai atau mungkin menyinggung perasaan saudari. Tujuan sebenar saya mengutus surat ini adalah kerana ingin meminta nombor telefon ibu bapa saudari untuk saya hubungi. Itu pun jika saudari bersetuju untuk bertaaruf dengan lebih lanjut dan mantap menerima cadangan ini.

Akhir sekali, saya ingin memohon maaf sekali lagi jika setelah membaca surat ini, saudari berasa terganggu. Tak perlulah saudari membalas surat ini. Jika mantap rasa hati setelah istiharah, forwardkan nombor telefon ibu bapa saudari ke nombor ini; 0134562891.

Sekian...
yang melihat lewat kanta lekap ~ Firdaus

p/s: Gara-gara malam yang ditemani "jet lag" maka terhasil lah angan-angan dalam bentuk penulisan ini. Kisah aku pergi buat kanta lekap tu betul, cuma yang lainnya tu tak betul termasuklah nombor telefon (jangan cuba telefon).