Wednesday, June 22, 2011

percubaan menulis ~ cita-cita yang tidak pernah terkubur

- "jika awak betul-betul nak berkawan dengan saya, awak kena dapatkan 4 flat dulu. Lepas tu baru saya pertimbangkan untuk berkawan dengan awak"

Hari ini genap tujuh tahun aku menerima kiriman surat tersebut. Waktu itu aku masih di tingkatan dua. Saat aku mula kenal dengan kenakalan remajaku. Belajar bercinta, berseronok sesuka hati dan kadang-kala terlibat dalam pergaduhan. Waktu itu bukanlah kenangan indah untuk aku tuliskan di sini dan bukan juga untuk membuka pekung di dada tetapi memang begitulah ceritanya aku.

Mungkin kerana kematangan dan keayuan yang ada pada dirinya membuatkan aku tertarik untuk menjadi teman istimewanya. Aku mengambil langkah pertama dengan mengirim surat menyatakan hasrat hatiku padanya. Tapi itulah surat pertama dan terakhir yang aku utuskan kepadanya. Jawapan yang diberikannya sangat simple;

- "jika awak betul-betul nak berkawan dengan saya, awak kena dapatkan 4 flat dulu. Lepas tu baru saya pertimbangkan untuk berkawan dengan awak"

Tahun-tahun berikutnya terpaksa lah aku lalui dengan menebalkan mukaku kerana terpaksa berada di kelas yang sama dengannya. Perasaan malu kerana ditolak mentah-mentah tersebut membuatkan aku tidak pernah lagi bertegur sapa mahupun bertentang mata dengannya sepanjang baki persekolahan kami di sana.

Allah saja yang tahu betapa malunya aku rasa sepanjang dua tahun tersebut. Bila kena buat presentation kat depan, terpaksalah aku berlakon seolah-olah dia tak ada kat kelas tu. Bila dia tanya soalan pun, aku masih boleh terus berlakon confident dan jawab dengan panjang lebar sampailah cikgu terpaksa stop kan aku sebab bagi fakta yang salah.

Tamat PMR aku mendapat tawaran ke sebuah sekolah berasrama penuh yang terkenal di Malaysia. Begitu juga dia. Cuma bezanya aku di utara dan dia di selatan. Aku berasa lega kerana kami dipisahkan ratusan kilometer jauhnya. Sekurang-kurangya aku punya sedikit ruang untuk bernafas.

Tidak ramai rakan-rakan seperjuangan dahulu yang mendapat tawaran ke sekolah yang sama denganku. Masing-masing meneruskan dengan cita-cita dan impian sendiri. Aku juga sedang mengejar impianku. mendapatkan 4 flat dalam mana-mana peperiksaanku. Aku akan menuntut janji yang pernah dia berikan dahulu!

Berbekalkan janji itu aku perlahan-lahan mengubah diri. Aku tidak tahu jika janji itu sekadar untuk tidak melukakan hatiku semasa dia menolak hasratku atau apa, tetapi ia telah menjadi pendorong untuk aku terus meneroka masa depanku.Aku tamatkan SPM dengan cemerlang (9A1). Aku menerima tawaran pelajaran ke luar negara dalam bidang perubatan. Bila aku fikirkan kembali, 9A1 dalam kiraan sistem CGPA adalah 4 flat! Itulah kali pertama aku berjaya mendapatkan 4 flat sepanjang zaman persekolahanku. Aku akan tuntut janjinya dahulu!

Pernah satu hari aku terjumpa kembali dengannya. Rupa-rupanya dia juga sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di salah sebuah universiti di sini. Walaupun berjuta cerita yang tersimpan selama ni, tiada sepatah kata yang terucap antara kami. Hanya seukir senyuman menjadi tanda pertemuan itu. :)

~cerita ini adalah adaptasi daripada sebuah imaginasi dan cebisan-cebisan mimpi yang tidak pernah menjadi realiti. Cerita ini juga tidak ada kena-mengena dengan mana-mana watak yang pernah terwujud di alam dunia ini. Jika terjadi persamaan dengan sesiapa sahaja, maka ianya adalah kejadian yang tidak disengajakan yang berpunca dari kecelaruan penulis dalam membezakan mimpi dan pengalaman. Sejuta kemaafan dipohon kepada yang terbabit.

2 comments:

  1. baru ingat betul....haih pokcik2...hahaha

    ReplyDelete
  2. haha...kalau betul pun mungkin untuk sesetengah orang. Itu pun tidak disengajakan. =)

    ReplyDelete

komen anda dihargai