Saturday, June 4, 2011

Hadiah dari sebuah tawakkal




"Dan berapa banyak makhluk bergerak yang bernyawa yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberikan rezeki kepadanya dan kepadamu. Dia Maha Mendengar, Maha Mengetahui" [29:60]

Semalam sewaktu usrah, kita orang mentadabbur ayat-ayat dari surah Al-'Ankabut bermula dari ayat 41 sehingga ayat 59. Tiba-tiba aku menjadi sebak apabila terlihat kepada ayat ke-60 surah tersebut (seperti ayat di atas). Benar-benar aku terasa Allah ingin berbicara sesuatu kepadaku. Kami berhenti hanya satu ayat sebelum ayat yang begitu bermakna dalam hidupku.

Itulah sebenarnya ayat ketika aku benar-benar meminta agar Allah berbicara kepadaku dua tahun yang lalu. Saat itu, keputusan peperiksaan Internatioanal Baccaulereate (IB) telah keluar dan result aku tidak seperti yang aku harapkan. Dengan keputusan tersebut, aku mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke United Kingdom.

Waktu itulah aku diajarkan nilai sebuah tawakkal kepada perancangan Allah Taala. Setiap hari selepas solat aku akan berdoa supaya Allah tentukan yang terbaik buatku dan bukannya apa yang aku mohon kerana boleh jadi apa yang aku sangkakan baik itu tidak baik bagiku.

Hinggalah pada suatu hari, aku menghadiri program pre-departure anjuran MARA di bangunan MARA, Kuala Lumpur. Hampir semua pelajar yang hadir pada hari itu telah mendapat unconditional offer daripada universiti masing-masing. Hanya aku dan beberapa teman senasib yang masih lagi menunggu panggilan daripada universiti yang dipohon.

Selesai saja perjumpaan dengan pegawai yang bertugas iaitu Puan Ayuslina, aku dimaklumkan bahawa aku perlu membuat keputusan segera tentang tawaran sambung belajar di UK ataupun di Ireland. Aku hanya punya waktu sehingga esok untuk memberi jawapan kepada Puan Ayu tentang keputusanku samada aku akan terus menunggu tawaran dari UK (Cardiff uni) atau terus mendaftar sebagai calon ke program twinning di RCSI, Ireland. Sekiranya aku ingin terus menunggu tawaran dari UK dan jika ditakdirkan aku tidak dapat, maka aku akan terus terlepas peluang ke Ireland. Kemungkinan lain adalah aku akan diberi tawaran untuk ke India.

Jadi, di saat itulah aku teringat kata-kata seorang senior;

"Apabila dalam masalah, berdoalah sungguh-sungguh untuk berbicara dengan Allah, kemudian bukalah mana-mana muka surat dari Al-Quran dan bacalah. Insyaallah di situ juga Allah akan berbicara denganmu."

Dengan keyakinan dan harapan yang setinggi gunung, aku pun cuba lakukan seperti yang diajarkan senior aku tu. Muka surat yang pertama yang aku buka adalah ms 403 dan di situlah aku berjumpa dengan ayat ini;

"Dan berapa banyak makhluk bergerak yang bernyawa yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberikan rezeki kepadanya dan kepadamu. Dia Maha Mendengar, Maha Mengetahui" [29:60]

Aku lega. Mungkin itulah yang Allah ingin bicarakan kepadaku. Tak dapat sambung belajar ke UK bukanlah pengakhiran segalanya. Aku masih punyai kehidupan anugerah Illahi. Aku masih punya Allah tempat aku mengadu.

Aku terasa begitu lapang! Begitu luas dunia ini dan begitu banyak nikmat di dalamnya namun dunia ini tidak akan pernah mampu mengecewakan aku. Saat itulah aku merasakan keajaiban nilai sebuah tawakkal. Ia mampu menjadikan kita kuat, lebih kuat daripada sebuah gunung. Ia mampu mengubah kita daripada sedih kepada gembira yang tiada taranya.

Esoknya, aku meminta seorang teman memberikan namaku kepada Puan Ayu untuk Twinning program ke RCSI. Ketika itu, aku sedang dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang menaiki kereta kawanku, Kamal Haziq.

"Mungkin Ireland yang terbaik yang Allah tetapkan untukku"

Tiba-tiba, belum sempat kereta kami meluncur keluar dari Kuala Lumpur, aku mendapat panggilan daripada Azizi (roommate ku) semasa di kolej.

"Keputusan daripada Cardiff baru keluar tadi. Hang nak aku check kan nama hang x?"

Ada sedikit berbunga perasaan ketika itu. Aku memberikan username dan password kepada Azizi untuk menyemak keputusan yang aku terima. Lima minit kemudian aku mendapat panggilan semula daripadanya.

"Hang dapat cik (nama panggilan)! hang dapat!"

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Aku diterima ke UK!

Alhamdulillah...dalam perjalanan pulang, kami singgah di hentian Sungai Buloh. Kami ber'kenduri' sate Kajang Hj Samuri malam itu meraikan berita gembira itu.

Hari ni, genap dua tahun aku berada di bumi Cardiff. Insyaallah aku akan hargai peluang yang Allah berikan ini.

Bagi aku...itu adalah hadiah daripada sebuah tawakkal!

2 comments:

  1. Saya suka penulisan ini, sangat baik.mungkin boleh dikongsi di iluvislam untuk tatapan pembaca yang lain. Wallahu alam

    ReplyDelete
  2. terima kasih kerana sudi membaca. Jika tak silap, kakak ni senior yang saya contact sebelum fly hari tu kan? tima kasih banyak2 kerana banyak membantu.

    ReplyDelete

komen anda dihargai