Wednesday, May 26, 2010

Berat dan memang berat!


Membaca post juniorku tentang 10 kenangan terpahit di KMB benar-benar mengingatkan aku tentang UJIAN yang berat yang menimpa aku semasa di KMB. Berat dan memang berat!

Sebenarnya kalau ingin diceritakan memang banyak lah kenangan pahit yang aku alami di KMB (banyak juga yang manisnya) tetapi ada dua peristiwa yang benar-benar memberi kesan kepada siapa aku sekarang. Peristiwa ni berlaku semasa aku berada di semester ketiga dan kedua-duanya berlaku secara berturut-turut. Kedua-dua ujian itu maha berat dan sungguh menekan seolah-olah memberi isyarat bahawa ada suatu benda besar juga akan hadir dalam hidupku.

Peristiwa yang pertama berlaku pada jam 9.40 pagi, hari Rabu berhadapan pintu kelas M07A tahun 2008. Waktu tu aku baru selesai minum pagi di dewan selera dan bersedia untuk kelas berikutnya. Tiga langkah lagi untuk masuk ke kelas, aku mendapat panggilan telefon dari Kak Ani (kakak nombor 3). Dia menangis teresak-esak sebelum memberitahu yang ayahku sedang bertarung dengan maut. "Innalillahi wainna ilaihirajiun...ujian apakah ini? Ya Allah, kuatkan aku! Kuatkan aku!" menggeletar badanku. Dalam hati serba keliru. ada sedih, ada rasa bersalah, ada rasa tidak percaya kerana baru semalam aku berbual dengan ayah melalui telefon. Aku ingat lagi suara ayah yang gembira memberitahu dia baru saja makan bihun sup yang sudah lama diidamnya. Ada rakan sekelas yang menyedari reaksiku cuba menghampiri pantas aku mengelak dan terus beredar. Aku cuma minta dia sampaikan pesan kepada teacher English ku yang aku tak dapat hadir kelasnya.

Aku mendapatkan ustazah Johainah (ketua warden) untuk mendapat pelepasan cuti kecemasan. Sementara menguruskan pelepasan cuti untukku, aku diminta berkemas-kemas apa yang perlu untuk pulang ke kampung. Sedang aku berkemas di bilik, satu mesej bertandang ke inbox. dari Ustazah Mardhiah, guru Pendidikan Islam ku. Juga tempat aku meminta pelbagai nasihat dan ilmu agama Islam. Dia meminta aku berjumpa dengannya sebentar sebelum aku berangkat. Rupanya hampir semua guru sudah menyedari berita itu. Terima kasih ustazah atas sumbangan kewangan yang benar-benar diperlukan ketika itu. (duit dalam dompet hanya berbaki RM 50 sahaja ketika itu). Terima kasih juga kepada Puan Hanirus (HEA) yang turut memberi sumbangan kewangan serta membantu pembelian tiket flight untuk aku segera sampai ke Pulau Pinang.

Tiba di rumah tepat jam 4.10 petang hari yang sama dengan menaiki teksi. Semua yang ada kelihatan suram sambil mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran dan surah Yassin kepada ayah. Aku lihat ayah yang sudah tidak dapat berkata-kata. Matanya pejam. Badannya terdampar lesu atas katil bujangku.

Air mata mula derderaian, aku menangis tersesak-esak cuba mendapatkan sebarang reaksi dari ayahku. Emak yang setia di sisi ayah cuba membisikkan ke telinganya memberitahu anaknya yang bongsu sudah pulang. Aku yang terakhir tiba daripada 9 orang anaknya. Hanya tangan lesu ayah yang cuba menggenggam lemah tanganku. Matanya hampir tidak upaya dibuka namun digagahi juga. Mungkin rindu kerana lama benar dia tak tatap wajah anak bongsunya. Sebaknya bagai menikam-nikam hatiku. "Ayah, adik mintak ampun atas semua salah silap adik selama ni." Ayah hanya mampu mengalirkan air mata tanda pemberian maafnya kepada anak yang selalu tidak ada di sampingnya selama ini...

Esoknya, usai Subuh aku membacakan surah yassin ditemankan bapa saudaraku. Ahli keluarga lain cuba untuk tidur semula kerana semalaman berjaga. Ada juga yang sibuk di dapur menyediakan sarapan seringkas mungkin kepada anak-anak kecil yang kesemuanya masih lagi tidur. Tiba-tiba ayah kelihatan semakin nazak, aku berselang-seli antara mengajarkan kalimah syahadah dan diam menanti reaksi ayah. Aku terus ulangi mengajar kalimah syahadah kepada ayahku sehinggalah tepat jam 7.06 pagi itu ayah pergi buat selamanya. Kak Yam (Siti Meryam), yang merupakan seorang doktor mengesahkan kematian ayahku. Hari itu tarikhnya: 14/08/2008...

Aku kehilangan air mata. Tidak mampu menitiskan walau setitis air mata bermula dari proses memandikan jenazah sehinggalah melihatnya buat kali terakhir di liang lahad. Usai talkin, semua yang hadir bersurai, ahli keluarga juga semuanya pulang ke rumah kerana masih banyak lagi perkara yang perlu diuruskan. Tinggal aku sendirian. Aku tidak terus pulang ke rumah sebaliknya aku memilih untuk singgah sebentar di masjid. Jam menunjukkan waktu 3.30 petang. Tiada sesiapa di masjid ketika itu kerana Asar masih lambat. Usai solat sunat aku beriktikaf seorang diri. Cuba memikirkan hikmah apa yang cuba Allah berikan melalui peristiwa ini? Seruan apa yang ingin disampaikan kepadaku? Tiba-tiba yang muncul dalam kotak fikiranku hanyalah kebodohan-kebodohan yang aku lakukan akibat dari mentahnya aku. Satu demi satu air mataku menitis membasahi baju yang masih berbau tanah. Setiap titis seolah-olah mewakili setiap kebodohan ku selama ini. "Ya Allah! Kepada Engkau aku menangis. Ya Allah! Sesungguhnya Engkau mengetahui bertapa cintanya aku kepada kedua ibu bapaku. Oleh itu ya Allah, engkau selamatkan lah keduanya daripada siksaan kubur dan api neraka." Aku terus hilang dalam tangisanku sehinggalah tibanya waktu Asar...

Esoknya, bila bangun dari tidur segalanya serba berbeza. Aku sudah tidak punya ayah...

Sudah hampir 2 tahun kusimpan semuanya seorang diri, biarlah hari ini kukongsikan dengan mereka yang sudi membaca. Ramai juga kenalan lama yang masih tidak mengetahui berita pemergian ayahku kerana kehilangan contact. Kenalan-kenalan baru yang bertanya "Ayah pokcik sihat?" untuk mereka aku menjawab dalam hati "semoga ayahku sihat-sihat sahaja di alam sana"...

Kepada yang masih beribu dan berayah, pintaku supaya: Jaga lah mereka, sayangi lah mereka, sedarlah dengan lebih awal akan berharganya kasih sayang mereka, peluk lah mereka, cium lah mereka kerana semua ini tak kan dapat kita lakukan bila datangnya Izrail menjalankan perintah Tuhannya...

Ujian kedua datang selang beberapa bulan kemudian dan ia juga ujian yang maha berat dan memang berat! Tapi aku tidak berhajat menceritakannya untuk post kali ini. Biar lah aku simpan untuk post yang akan datang.

p/s: Dah berapa lama tak telefon mak dan ayah? (pesanan khidmat masyarakat)...

2 comments:

  1. Trime kasih kerana berkongsi pengalaman pokcik.. kite yg maseh belum alami nyer ni tak tahu la mcm mane nnt bile mase dah sampai.. smoge Allah bg kekuatan kat kite semua.. salam..

    ReplyDelete
  2. Salam...
    first time buka blog Wardatul Iman....sedap bunyinya
    terima kasih berkongi pengalaman
    Semoga roh arwah damai disana
    dan semoga semua umat isalm dalam lindungan ALLAH S.W.T
    aamiin

    ReplyDelete

komen anda dihargai