Thursday, February 11, 2010

surat seorang ibu



Assalamualaikum...

"Buat anak-anak yang ibu kasihi, maafkan ibu seandainya pernah melukai hati kamu semua. Warkah ini ibu tujukan sebagai lambang kasih sayang seorang ibu terhadap anak-anaknya. Ketahuilah bahawa ibu bangga memiliki anak-anak seperti kamu semua. Masing-masing telah berjaya dengan cita-cita sendiri. Ya! cita-cita yang selalu ibu tanyakan dulu. Lama dulu...

Dalam waktu yang semakin tidak mengizinkan ini, ibu seringkali terkenangkan zaman-zaman kecil kamu semua. Ibu gembira mengenangkan kembali kenakalan anak-anak ibu pada waktu itu. Sekurang-kurangnya memori itu masih mengizinkan ibu untuk tersenyum di kala kesunyian begini. Ya, ibu gembira mengenangkan anak-anak ibu yang dahulu sering mengadu dan meminta itu dan ini. Walaupun ayah kadang-kala bertegas untuk mendidik, ibu tetap membela anak-anak ibu. Kamu semua sangat manja dengan ibu sehinggakan ayah kadang-kala cemburu. Meriahnya waktu itu. Semua anak-anak dalam pelukan ibu...

Masa berlalu...kamu semua semakin dewasa, kemas dalam pakaian seragam sekolah. Ibu gembira menyediakan bekal makanan untuk kamu bawa ke kelas. Ibu terhibur membasuh pakaian sekolah kamu. Namun entah mengapa, ibu kadang-kadang cemburu apabila kamu semua sudah mempunyai kawan-kawan sekolah. Banyak masa dihabiskan bersama kawan-kawan. Ibu tahu anak-anak ibu sibuk tapi entah kenapa ibu tidak berdaya memujuk hati ini yang sering saja cemburu apabila kasih sayang kamu kini dibahagi-bahagikan antara ibu dan kawan-kawan.

Masa terus berlalu, seorang demi seorang anak ibu melangkah ke sekolah berasrama. Ibu bangga! Ya...Ibu bangga! Cuma kadang-kala hati ibu sayu apabila semua anak-anak ibu kini jauh meninggalkan ibu. Ibu sunyi bila tidak lagi mendengar suara anak-anak ibu di rumah. Begitu pantas masa berlalu sehinggakan ibu tidak sedar bahawa anak-anak ibu kini sudah dewasa. Sudah boleh membuat keputusan sendiri. Sudah bijak memilih haluan masing-masing dan boleh berdikari.

Maafkan ibu jika kamu rasakan ibu terlalu mendesak. Ibu rindu...tapi ibu tahu anak-anak ibu sangat sibuk. Masing-masing sibuk dengan kerjaya dan pelajaran. Kerana itulah acapkali ibu mendail separuh jalan walaupun rindu di hati sudah tidak tertahan. Ibu takut sekiranya ibu mengganggu anak-anak ibu. Maafkan ibu jika kamu terpaksa menjawab panggilan telefon dari ibu ketika kamu sedang sibuk. Ibu cuma harap kamu tahu bahawa ada waktunya ibu tidak dapat menanggung kesunyian ini, jadi kepada anak-anak ibu lah tempat ibu mengadu. Cukuplah sekadar mendengar suara walaupun; "Along ada kerja sikit la sekarang ni, nanti Along call balik." Cukup lah bagi ibu dengan janji dari anak-anak ibu untuk menelefon semula walaupun semuanya masih belum ditunaikan...

Anak-anak yang ibu sayangi,

Sekali lagi ibu memohon maaf sekiranya pada pandangan anak-anak ibu, perempuan tua ini hanya menambah beban kepada kamu semua. Ibu terlupa bahawa anak-anak ibu kini sudah punya hidup sendiri. Punya tanggungjawab sendiri yang perlu difikirkan. Ibu tidak mengharapkan lebih dari kamu, cukup lah sekadar telefon bertanyakan khabar. Jika kamu tidak sibuk jenguk lah ibu di teratak buruk ini. Tidak ada yang istimewa menanti kamu di desa ini, hanya sejuk air perigi dan nyanyian nyamuk di malam hari.

Akhir sekali ibu mendoakan segala kebaikan untuk anak-anak ibu. Semoga kebahagiaan menemani kehidupan kamu yang masih panjang. Ibu bahagia melihat anak-anak ibu gembira. Ibu merasakan waktu ibu sudah hampir. Di kesempatan ini ibu sekali lagi ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf.

Sekian...

2 comments:

  1. haha, macam penah denga ja dialog ni dalam iklan, sedih gak la...
    ^_^

    ReplyDelete
  2. muw: memang selalu tengok iklan tu...hehe. sedih sangat. tajuk iklan tu 'surat seorang ibu'

    ReplyDelete

komen anda dihargai