Tuesday, May 3, 2011

kerana dia tuli, dia menang! Anda?

Ratusan tahun yang lalu telah berlangsungnya sebuah perlumbaan yang maha hebatnya di hutan belantara itu. Hari itu, seluruh warga rimba akan menyaksikan jaguh-jaguh dari setiap spesies berlumba untuk meraih gelaran juara rimba. Antara yang hadir ialah Arnab, kura-kura, cicak, katak, musang, tenggiling, badak dan banyak lagi.

Syarat pertandingan tersebut ialah untuk merebut sebuah bendera yang terletak nun jauh di puncak pokok pinang. Pagi itu angin bertiup dengan begitu kencangnya sehingga ada beberapa batang pokok jatuh menyembah bumi. Masing-masing tahu bahawa perlumbaan hari itu akan menjadi begitu sulit tambahan pula dengan keadaan batang pinang yang basah akibat hujan semalamnya.

Setelah semuanya bersedia, maka dimulakanlah perlumbaan tersebut oleh Sang Gajah, pengadil yang dipercayakan sejak turun-temurun di rimba itu. Banyaklah yang gugur seawal bermulanya perlumbaan tersebut. Sang Arnab, kura-kura, tenggiling dan banyak lagi haiwan lain menyerah kalah dek kerana tidak pandai memanjat pokok. Yang tinggal hanyalah cicak, tupai dan musang meneruskan perlumbaan memanjat batang pinang yang maha tinggi itu.

Riuh-rendah suasana pagi itu dengan sorakan seluruh warga rimba yang hadir menyaksikan perlumbaan itu. Masing-masing mempunyai taruhan sendiri. Ada yang menyokong Tupai. Ada juga yang lebih percayakan Cicak dan tak kurang juga mereka yang yakin dengan kebolehan Musang.

Hampir separuh perjalanan, ada yang bersorak: "Woi Musang! Badan kau tu besar sangat lah. Nanti tak sempat sampai atas dah jatuh." Berderai tawa oleh warga rimba yang lain. Benar katanya, beberapa ketika kemudian, Si musang jatuh terjelepuk tidak berdaya. Mujurlah dia terjatuh ke dalam sumur yang dipenuhi air. Jika tidak, mungkin patah riuk juga tulang temulangnya.

Yang tinggal kini hanyalah cicak dan tupai. Maka banyak lah yang menyokong tupai kerana kebolehan memanjatnya yang luar biasa. Tupai tersenyum kegirangan mendengar sokongan dan pujian yang diberikan oleh warga rimba kepadanya. Namun, ada juga di kalangan mereka yang memberi sorakan sokongan kepada cicak walaupun lebih banyak yang tidak menaruh kepercayaan kepada kemampuannya.

Diteruskanlah perlumbaan mereka itu dengan iringan sorakan warga rimba. Tupai melambai-lambai kegirangan apabila dia mendahului di saat-saat akhir. Hanya tinggal beberapa meter sahaja lagi untuk sampai ke puncak. Namun apakan daya, tupai yang handal itu juga tidak mampu sampai ke puncak sebagai pemenang. Dia terjatuh di saat-saat akhir perlumbaan itu kerana kedua kakinya tidak cukup kuat menampung pukulan angin yang sangat kencang. Dia menyumpah kebodohannya melambai-lambai sebentar tadi. Jika dia menggunakan keempat-empat kakinya, pasti dia mampu sampai ke puncak.

Tinggal lah cicak menghabiskan perlumbaan itu dengan tenangnya. Maka tertanya-tanyalah seluruh warga rimba akan rahsia cicak yang mampu menghabiskan perlumbaan itu. Bila ditanya, tiada sepatah pun yang dijawab. Akhirnya datanglah Sang kancil memberitahu bahawa cicak tersebut tuli dan itulah rahsianya dia memenangi perlumbaan tersebut.

Terkejut semua yang hadir! Kini, masing-masing memberi tumpuan kepada Sang Kancil untuk mendengar penjelasannya. Mereka benar-benar ingin tahu rahsia yang digunakan oleh cicak untuk memenangi perlumbaan itu.

"Wahai warga rimba yang budiman sekalian! Kerana tuli itulah cicak mampu memenangi perlumbaan tadi. Adapun Musang kalah adalah kerana dia tidak tahan mendengar suara-suara sumbang yang tidak yakin dengan kebolehannya. Akibat terlalu mendengar kutukan dan kritikan sebahagian daripada kamu, maka dia menyerah kalah. Berlainan pula ceritanya dengan Tupai. Adapun kekalahannya bukanlah kerana kutukan kamu tetapi dia terlalu senang mendengar pujian-pujian yang kamu berikan kepadanya. Akibat terlalu asyik disanjung dengan kata-kata manis kalian, dia telah leka dengan perlumbaan sebenarnya lalu itulah yang menyebabkan kekalahannya. Akhirnya dimenangilah perlumbaan ini oleh cicak kerana sejak dari awal perlumbaan ini lagi dia tidak pernah mendengar segala pujian dan kejian kalian terhadapnya. Dia tidak sedikitpun terganggu dengan suara-suara kalian maka itulah yang membuatnya tetap fokus dengan perlumbaan tadi. Oleh itu, ingatlah wahai warga rimba sekalian, aku mengingatkan kalian agar jangan sekali-kali mengggadaikan perjuangan kalian hanya kerana termakan dengan kata-kata mereka yang ada di keliling kalian. Sesungguhnya pujian ataupun kejian sedikitpun tidak mendatangkan hasil kepada apa yang kalian usahakan."

Bersurailah warga rimba hari itu mendapatkan suatu azimat yang sangat bernilai daripada Sang Kancil. Masing-masing menceritakan peristiwa itu kepada suku keturunan mereka sehingga menjadilah cerita itu sebagai pelajaran yang berguna bukan sahaja kepada warga rimba bahkan kepada manusia juga.

No comments:

Post a Comment

komen anda dihargai