Monday, May 30, 2011

dan apabila janji itu kutemui...


photo taken from; http://www.socksoff.co.uk/walls05.html

Kehidupan kita ni sebenarnya ibarat perjalanan hidup sebatang pokok. Seperti mana kita dapat melihat setiap perubahan yang berlaku pada pokok tersebut, seperti itu jugalah kita menyedari setiap perubahan yang berlaku dalam diri kita.

Kita melihat sebatang pokok itu bermula dengan menumbuhkan tunas lalu menjadi anak pokok yang begitu kecil. Kemudian, kita melihat pokok itu tadi menumbuhkan beberapa helai daun muda. Setelah beberapa lama, maka membesarlah pokok itu dengan memiliki dahan dan ranting yang kuat serta dedaunan yang lebat. Masa kemudian akan terus berlalu dan kini kita melihat sekiranya pokok itu sudahpun tua dan beberapa helaian daun mula keguguran. Semakin hari semakin banyak daun-daun yang jatuh menyembah bumi dan akhirnya tibalah masanya untuk pokok itu menepati janji Tuhannya iaitu setiap yang hidup pasti akan merasai mati.

Begitu kerap kita melihat Allah swt menggunakan perumpaan tukang kebun dan hasil tanamannya sebagai pelajaran untuk kita di dalam Al-Quran. Sebagai contoh, Allah swt berfirman yang bermaksud;

"Maka ketika mereka melihat kebun itu, mereka berkata, "Sungguh, kita ini benar-benar orang yang sesat, Bahkan kita tidak memperoleh apa pun" (Al-Qalam:26-27)

Wahai kawan...mengaku atau tidak, kita sebenarnya menyedari setiap perubahan yang telah terjadi kepada diri kita. Kita sedar sekiranya kita saban hari semakin meningkat usia dan semakin jauh meninggalkan zaman kanak-kanak kita. Jika suatu ketika dahulu, ketika kita masih kecil, pernah kita tertanya-tanya bilakah saatnya kita akan merasai kehidupan seorang remaja, maka ketahuilah bahawa kita sedang melaluinya hari ini.

Kita menyedari semua itu! Mengaku atau tidak, itulah hakikat kehidupan kita. Kita mulakan kehidupan di dunia ini semenjak hari pertama kita dilahirkan dari perut ibu kita. Kemudian, kita melalui kehidupan ini sebagai seorang kanak-kanak dengan penuh keceriaan dan hati yang tidak dicemari dengan dosa.

Masa terus berlalu dan kita semakin meningkat dewasa. Banyak perkara baru yang telah kita lalui dan semuanya itu telah menjadi warna-warna yang melukiskan kehidupan kita di atas kanvas putih yang kita miliki. Saat-saat berharga sebagai remaja kini semakin tiba ke penghujungnya apabila usia kita kian meningkat.

Lalu, akan tibalah masanya kita melalui hari-hari tua dengan penuh kesabaran. Menunggu tibanya janji Tuhan untuk kembali bertemu denganNya. Dan akhirnya tibalah ketentuan yang paling pasti itu dan kita pun akan meninggalkan dunia ini dan segala yang ada padanya buat selama-lamanya.

Wahai kawan...setujukah kalian jika aku katakan kita semua sedang melalui kitaran ini? Setujukan kalian jika aku katakan yang kita sedar akan perubahan yang kita alami seban hari?

Lalu apa lagi yang engkau tungguh wahai kawan? Kerana hidup ini hanya menuju ke satu arah. Kita tidak akan dapat menemukan jalan untuk berpatah balik ke belakang untuk mengubah apa yang telah kita lakukan dahulu.

Kita hanya punya hari ini dan insyaallah esok untuk kita betulkan kembali semua kesilapan kita yang lalu.

Jika bukan hari ini, bila lagi kawan?
Jika bukan kita sendiri, siapa lagi kawan?

"Maka bersabarlah kamu, sesungguhnya janji Allah itu benar, dan mohonlah ampun untuk dosamu dan beertasbihlah seraya memuji Tuhanmu pada waktu petang dan pagi." (Ghafir: 55)

Alam ini Allah jadikan untuk kita, jadi pelajarilah sebanyak yang engkau mampu darinya.

No comments:

Post a Comment

komen anda dihargai