Saturday, January 16, 2010

Nur...


Melihat datuknya yang sedang asyik membaca Al-Quran, si cucu mampir lalu bertanya;

"Atuk, Alif nak tanya sikit boleh?". Si atuk senyum menanti soalan dari cucu kesayangannya itu.

"Alif tengok atuk baca al-Quran tu hari-hari tapi Alif tengok takde pun maknanya dalam bahasa Melayu, atuk faham ke apa yang atuk baca?"

"Atuk faham sikit cu, tak kesemuanya..." Dengan jujur si atuk membuat pengakuan. Mendengar jawapan itu, Alif pun menyoal lagi;

"Alif teringin nak baca macam atuk jugak! Seronok tengok atuk baca hari-hari tapi... kalau Alif baca dan tak tahu maksudnya, sia-sia lah kan atuk? Si cucu menggaru-garu kepala cuba mendapatkan penjelasan dari atuknya.

Dengan senyuman yang sentiasa menghiasi wajah, si datuk mengusap-usap kepala cucunya itu lalu berkata;

"Alif boleh tolong atuk tak sebelum atuk jawab soalan Alif tadi?"

"Alif ambil bakul yang atuk selalu isi arang tu dan bawak bakul tu ke sungai. Kemudian, Alif isi air ke dalam bakul tadi dan bawak pulang ke rumah. Boleh?"

Tanpa banyak menyoal si cucu pun setuju lalu mencapai bakul itu untuk ke sungai. Setibanya di sungai, dia pun mengisi sedikit air sungai ke dalam bakul itu lalu segera pulang. Sepanjang perjalanan, banyak air yang mengalir keluar memandangkan bakul itu berlubang sana-sini. Setibanya di rumah, bakul tadi menjadi kering semula. Si cucu kecewa...

Menyerah tidak sekali! Si cucu kembali ke sungai untuk mengisi bakul tadi dengan air yang lebih banyak. Dia yakin akan berjaya pada cubaan yang kedua ini. Setelah yakin dengan kuantiti air itu, Alif pun segera pulang ke rumah membawa bakul itu dengan harapan dia akan dapat menunaikan permintaan atuknya. Namun, setibanya dia di rumah perkara yang sama berulang. Bakul tadi menjadi kering semula. Alif kecewa lagi...

Namun demi tidak menghampakan atuknya, Alif segera menuju ke sungai buat kali ketiganya. Kali ini dia bertekad untuk tidak gagal lagi. Bakul tadi diisi dengan air sungai sehingga penuh sehinggakan ada sedikit yang melimpah. Dengan tekad yang kuat, Alif memilih untuk berlari. Dia sangat yakin bahawa dia akan sempat sampai ke rumah sebelum bakul itu menjadi kering semula. Namun dia kecewa lagi... bakul itu kering semula. Si atuk hanya tersenyum memerhati gelagat cucunya yang kelihatan sangat kecewa itu.

"Alif dapat tak ambil air sungai yang atuk minta tadi?" Si atuk memulakan bicara.

"Tak dapat la atuk!" Jawab Alif dengan wajah yang mencuka.

"Atuk suruh Alif ambil air guna bakul yang berlubang. Macam mana Alif nak bawak air tu datang rumah? Habis semuanya keluar ikut lubang tu. Atuk saja nak kenakan Alif ea..? Si atuk tersenyum lagi mendengar syarahan panjang dari cucunya itu...

"Cuba Alif tengok apa yang dah jadi pada bakul arang tu. Ada perubahan tak?"

"Hmmm...takde beza pun."

"Cuba tengok betul-betul. Atuk nampak bakul tu dah jadi lain dah. Alif perasan tak?"

"Owh...Ha'a! Bakul tu nampak bersih la atuk. Tadi Alif tengok bakul tu hitam dengan arang je. Sekarang dah cantik sebab dah bersih. Tapi kenapa atuk?" Si cucu tadi masih belum dapat menangkap apa yang cuba disampaikan atuknya.

"Hmm... bagus la Alif dah perasan yang tu. Baik, sekarang atuk nak jawab soalan Alif tadi. Dengar tau...

...Hati manusia ni Alif, sama la macam bakul arang itu tadi. Bila kita isi hati kita dengan benda yang boleh mengotorkannya maka kotor lah hati kita tu. Sama macam bakul yang Alif ambil tadi. Bakul tadi jadi hitam sebab atuk selalu isi arang ke dalamnya. Tak cantik kan bakul yang hitam? Alif tak suka kan? Atuk pun tak suka tengok bakul yang kotor tadi tapi Allah lagi tak suka jika hati kita yang kotor dan hitam.

Allah itu Maha Penyayang...Dia tak suka bila hati hamba-Nya kotor, jadi Allah pun turunkan kepada manusia 'ubat pembersih hati' untuk membersihkan kembali hati kita yang dah kotor tu. Kalau Alif nak tau, itu lah Al-Quran! Dengan membacanya hati kita akan sentiasa dibersihkan dari kekotoran yang kita lakukan seharian. Alif suka kan bila bakul tadi dah bersih? Cantik kan? Macam tu lah Allah pun sukakan hati hamba-hamba Nya yang bersih. Cantik...

Baca Al-Quran ni sama lah macam Alif ambil air dari sungai tadi. Makin banyak Alif baca makin bersih la hati Alif. Macam Alif ambil air tadi. Masa Alif mula-mula ambil air tadi bekas arang tu masih nampak kotor kan? Tapi bila Alif ulang dan ulang ke sungai mengambil air, bekas tu pun jadi bersih dan cantik. Betul tak?

Jadi...sebab itu lah atuk selalu baca Al-Quran kerana Al-Quran itu Nur. Kalau boleh atuk nak baca Al-Quran ni setiap hari sebab atuk harap hati atuk nanti bersih. Alif pun kena lah selalu baca Al-Quran setiap hari. Alif suka kan kalau hati Alif sentiasa bersih dan cantik? Tidak mengapa jika Alif masih belum faham maksudnya. Yang penting Alif teruskan membaca Al-Quran ini setiap hari supaya???...supaya???

"...supaya hati Alif bersih!!! Macam bakul arang tadi kan"

"betul...betul...betul!" Hehe...

p/s: Ayuh banyakkan membaca Al-Quran!

2 comments:

  1. betul...betul...betul...
    haha, comel la pok cik~
    insyaAllah sama2 banyakkan membaca al-quran~
    : )

    ReplyDelete
  2. selalu dgr pok cik cerita ttg ni.. suke cerita nih.. =)

    ReplyDelete

komen anda dihargai