Monday, May 23, 2011

yang ditunggu tak kunjung tiba?

Ini hari pertama untuk clinical placement di Llandough Hospital. Ditakdirkan Allah, aku diletakkan di wad penjagaan orang tua di mana kebanyakan pesakit berumur lebih dari 65 tahun. Melihat keadaan mereka, hanya Allah swt saja yang tahu betapa aku tiba-tiba menjadi sedih dan takut.

Setiap kali aku menghampiri pesakit-pesakit di wad tersebut, aku menjadi sedar kiranya usia tua itu bukanlah waktu yang terbaik untuk melakukan ibadah. Terlalu banyak keuzuran yang terpaksa dilalui dan aku yakin pada masa tu, kita hanya akan disibukkan dengan pelbagai jenis rawatan untuk penyakit yang dialami.

Salah seorang daripada pesakit tersebut mempunyai koleksi gambar keluarganya di dinding wad tersebut. Bila aku perhatikan betul-betul, gambar tersebut menunjukkan perubahan yang jelas pada wanita tersebut kerana ia disusun mengikut perubahan usianya. Semua senyuman yang pernah diukirnya seperti yang ada pada gambar-gambar tersebut kini telah lama terkubur. Yang ada hanyalah sekujur tubuh yang tidak berdaya.

Semoga sedikit kesedaran ini akan menjadi penguat untuk aku berubah sesuai dengan kata Allah swt dalam Al-Quran;

"Maka barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya." (99:7-8)

Janganlah tunggu tua baru nak bertaubat, kerana takut yang ditunggu itu tak kunjung tiba...

No comments:

Post a Comment

komen anda dihargai