Sunday, April 11, 2010

sudah tiba masa...

dalam hidup ini, kadang-kala kita akan sampai pada satu ketika di mana kita rasa sudah tiba masanya untuk kita berubah. Kita mahu buka lembaran baru dan simpan kemas-kemas diari yang lama. Kita benar-benar dapat merasakan yang kita perlu berubah kepada seseorang yang lebih baik. Untuk itu, kita memerlukan keberanian. Dari situ kekuatan akan hadir menemani perubahan yang kita usahakan itu.

Bagaimana menjadi berani?

Untuk menjadi berani kita perlukan keyakinan. Apabila kita benar-benar yakin dengan sesuatu yang kita ingin lakukan maka kita akan berani melakukannya.

Kita hanya akan yakin dengan sesuatu perkara itu hanya apabila kita telah memahaminya dengan baik. Kita sudah menilai kesan dan akibat daripada perkara tersebut kepada diri kita dan orang lain. Kita juga menilai kesesuaian sesuatu perkara itu dengan matlamat hidup yang kita ingin capai.

Akhirnya, setelah benar-benar faham dengan keputusan yang akan kita ambil itu barulah kita akan yakin dengannya dan berani untuk melakukannya.

Kemudian, setelah perubahan itu kita lakukan dan kita dapat melihat kesannya yang baik terhadap diri kita maka kita perlu usahakan untuk terus istiqamah dengan perubahan itu. Sememangnya sukar untuk berpindah dari satu "level" kepada "level" yang lebih tinggi kerana syaitan tidak akan pernah rela melihat kita menjadi manusia yang semakin hebat dari sebelumnya.

Pada masa itu, kita akan dapat saksikan pelbagai ujian yang datang samada dalam bentuk kesusahan mahupun kesenangan. Ujian yang keras ataupun yang lembut. Pastikan kita bersedia untuk terus kekal dengan perubahan yang berlaku dalam diri kita itu. Kita tidak rela untuk jatuh ke takuk yang lama setelah penat kita mendaki ke takuk yang lebih tinggi. Bertahanlah dengan tidak langsung berkrompromi dengan mana-mana mutaba'ah amal kita. Ingatlah bahawa syaitan akan mula mencelakakan kita dengan menghasut kita untuk bersambil lewa dengan mutaba'ah amal harian kita. Oleh itu, bersikap tegaslah terhadap diri kita. Jangan manjakan diri jika menginginkan perubahan.

Insyaallah kita akan menang sekiranya kita mampu bertahan dengan ujian-ujian yang datang itu. Semoga dengan perubahan yang kita lakukan itu akan mendekatkan kita kepada Allah SWT.

Apa yang penting ialah kita perlu rasa ingin berubah, faham dan yakin dengan perubahan yang kita lakukan, berani melakukan perubahan, dan akhir sekali berdoa agar diberi kekuatan untuk kekal dengan perubahan tersebut. Wallahu'alam...

1 comment:

  1. then,nak berubah ni kite kena ikhlas kerana ALLAH..
    bukan disebabkan bende lain..
    ALLAH sentiasa bersama hamba2nya yg ikhlas...

    ReplyDelete

komen anda dihargai