Saturday, April 3, 2010

One way!


Assalamualaikum...

Hidup ini ibarat jalan 'one way'. Hanya bergerak sehala, tiada U-turn. Kita mulakan perjalanan ini dari alam roh lalu dengan rahmat-Nya kita singgah di alam dunia. Ada yang kata kita singgah sebentar di R&R untuk melepaskan lelah. Ada yang kata kita singgah untuk menyediakan bekal untuk destinasi seterusnya iaitu alam barzakh. Berbahagialah mereka yang baik kesudahannya dan celakalah mereka yang buruk kesudahannya.

Dan apabila seorang yang beriman itu dicabut nyawanya, malaikat akan membawa rohnya untuk bertemu dengan Allah SWT. Para malaikat bergembira meraikan kedatangannya ke langit untuk bertemu dengan Allah SWT sambil berkata; "datanglah wahai roh yang baik, sesungguhnya engkaulah yang kami rindu-rindukan selama ini". Setelah bertemu dengan Tuhannya, malaikat diperintahkan untuk membawa roh tersebut kembali ke dalam kuburnya untuk menerima segala nikmat yang tidak terhitung nilainya. Pintu syurga dibuka untuknya dan kelihatan lah keindahan syurga itu sehinggakan roh itu tadi sentiasa berdoa agar dipercepatkan kiamat supaya dia dapat menikmati syurga yang dijanjikan untuknya.

Manakala apabila seorang yang tidak beriman dicabut nyawanya,maka murunglah seisi langit dengan kehadiran roh yang celaka itu. Malaikat tiada yang gembira apabila roh itu tadi dibawa menghadap Tuhannya. Allah SWT juga murka kepadanya lalu diperintahkan kepada malaikat untuk membawa roh itu kembali ke kuburnya untuk menerima sedahsyat-dahsyat siksaan yang tidak pernah terfikir oleh manusia. Pintu neraka juga diperlihatkan kepadanya sehingga dia berdoa agar kiamat itu dilambatkan kerana takutnya akan siksaan yang bakal menanti di alam akhirat.

Terfikir kah kita jalan mana yang kita sedang lalui kini? Kesudahan yang manakah yang kita impikan? Atau mungkinkah juga kita tidak pernah memikirkan perkara ini?

Bayi hanya sekali, remaja hanya sekali, tua hanya sekali, mati juga hanya sekali. Benar, mati itu hanya sekali. Di titik manakah dalam hidup ini kita akan ditemukan dengan kematian? Adakah saat ini? atau sesaat akan datang? Bersediakah kita untuk suatu kesudahan yang baik? Renungkanlah perkara ini. Rancanglah kematian kita walau kita tidak bisa menetapkan tarikhnya. Ingatlah juga bahawa kematian itu memisahkan kita dengan sebarang amalan kebaikan. Tiada amalan kebaikan yang diterima selepas alam dunia ini. Tiada. Jadi, di alam manakah kita sedang berpijak kini? Bukankah ianya alam dunia? Lalu mengapa masih bertangguh dalam beramal? Tidak takutkah kita sekiranya maut itu datang menjemput tatkala kita sedang bergelumang dengan dosa dan tidak sempat bertaubat? Nauzubillahi minzalik.

Jalan mana sedang kita tempuhi kini?

Mungkin sudah terlalu laju kita memandu kehidupan ini sehinggakan kita terlupa melihat peta dan manual (Al-Quran) untuk sampai ke destinasi yang dituju. Kembalilah kepada fitrah kejadian manusia itu sendiri iaitu mengesakan Allah SWT. Berhati-hatilah dalam meniti kehidupan ini kerana syaitan itu sentiasa berusaha menyesatkan kita. Hadapilah ianya dengan sifat "IKHLAS" beribadah kepada Allah SWT kerana syaitan tidak bisa menguasai orang-orang yang ikhlas. Hiduplah dengan kesedaran bahawa Allah SWT sentiasa memerhatikan kita. Insyaallah kita akan sentiasa berhati-hati dalam melakukan setiap perkara.

Mudah-mudahan ada pengajaran yang berguna. :)

No comments:

Post a Comment

komen anda dihargai