Friday, April 8, 2011

Aku mencintai kamu kerana Allah...

Baru-baru ini saya berkesempatan mendengar sebuah ceramah tentang "love for the sake of Allah"...Subhanallah, begitu indah bait-bait ilmu yang diungkapkan oleh si penceramah sehinggakan tidak ada kata-kata yang diucapkan melainkan ia menyerbu ke dalam hati ini.

Ideanya sangat menakjubkan! Bagaimana dengan cinta sesama manusia yang disandarkan kerana Allah mampu membeli syurga Allah swt. Si penceramah memulakan perbincangan dengan mengambil contoh dari potongan surah Al-Kahfi. Di dalamnya diceritakan tentang kisah "men in cave" (ashabul kahfi). Sudah banyak kali saya mentadabbur ayat ini tapi inilah kali pertama saya dibentangkan dengan mesej ataupun pengajaran dari dimensi yang berbeza. Allah swt memberitahu kita bahawa bersama-sama lelaki-lelaki beriman itu ada seekor anjing yang turut dijanjikan syurga kepadanya.

Soalannya, apakah simbolik daripada peristiwa ini? Alasannya jelas, anjing itu suka kepada kebaikan dan dia suka bersama dengan mereka yang berbuat kebaikan. Dia setia bersama dan melindungi mereka sehinggalah dia sendiri terkorban. Anjing itu cinta kepada lelaki-lelaki beriman itu dan kerana cintanya itulah Allah telah menghadiahkan syurga kepadanya. Lihatlah, betapa Allah swt telah mengangkat martabat seekor anjing sehinggakan namanya disebut-sebut di dalam Al-Quran hanya kerana nilai sebuah CINTA!

Suatu hari, seorang sahabat datang kepada Rasulullah saw lalu berkata, "Ya Rasululullah, sesungguhnya aku mencintai sahabatku itu." lalu baginda berkata, "Sudahkah kamu katakan itu kepadanya? Jika kamu mencintainya kerana Allah, maka sampaikanlah kata-kata itu kepadanya" Sahabat itu lalu kemudiannya mengejar sahabatnya tadi lalu memberitahu rasa cintanya itu. Allah! Allah! Indahnya jika dapat bercinta kerana Allah swt. (tersenyum sendiri mendengar cerita ini. Rupa-rupanya para sahabat dihiasi dengan sifat romantik yang cukup indah)

Rasulullah saw juga pernah bersabda bahawa setiap orang itu akan dibangkitkan di hari akhirat nanti bersama-sama orang yang dicintainya. Mendengar itu, seorang sahabat lalu menadah tangan berdoa, "Ya Allah, sesungguhnya aku sungguh-sungguh mencintai Rasulullah, Abu Bakar, Umar, ....Maka bangkitkanlah aku bersama mereka. Itulah contoh di mana sahabat benar-benar faham akan makna cinta itu.

Terdapat pengajaran yang sangat berguna kepada kita melalui kisah-kisah di atas. Dengan mencintai seseorang yang baik kerana Allah, maka kita juga akan dihimpunkan bersama-sama mereka dalam meraih nikmat Allah swt. Jika Allah cinta kepada seseorang itu, dan kita juga cinta kepadanya maka pastilah kita juga akan mendapat tempiasnya. Lihatlah bagaimana seekor anjing juga mampu mendapat syurga Allah hanya kerana mencintai pemuda-pemuda yang beriman.

Marilah kita sama-sama menilai kembali nilai cinta kita selama ini. Adakah benar-benar kerana Allah atau sekadar untuk meraih manfaat duniawi daripada sahabat itu. Adakah kerana dia orang kaya, atau ramai pengaruh, atau ada adik perempuan yang cantik yang ingin kita kahwini? Kita sendirilah yang perlu bertanya kepada diri kita tentang nilai cinta yang kita berikan selama ini.

Mudah-mudahan kita akan mulakan hari yang baru dengan cinta yang diberi nafas baru. Marilah kita mulakan dengan mencari-cari mereka yang baik hubungannya dengan Allah untuk kita cintai mereka itu. Ingatlah akan dua perkara! cinta kerana Allah itu hanya wujud bila adanya IMAN kepada Allah dan KASIH SAYANG terhadap saudara kita.

Tidak teringinkah kita sekiranya kerana cinta kita ini, suatu hari nanti Allah swt akan berkata kepada kita "Aku juga cinta kepada kamu wahai hambaku.."