Monday, February 21, 2011

pesanan dari seorang imam

Assalamualaykum wbt,

Sudah begitu lama saya biarkan blog wardatuliman33 ni kosong tanpa pengisian. Mungkin disebabkan sikap saya sendiri yang kadang-kala tidak konsisten dengan penulisan. Seringkali saya terhenti separuh jalan dalam penulisan dek kerana tiada "mood" untuk menulis. Benarlah kata-kata seorang murobbi bahawa penulisan ini bukan hanya perlu kepada idea tetapi "mood" itu juga penting supaya penulisan akan lebih sampai ke dalam hati pembaca.

Jadi,pada ketika "mood" menulis ini menjengah ke dalam diri ini, saya teringin untuk menyampaikan pesanan seorang imam besar yang saya dengar melalui suatu khutbah Jumaat beberapa minggu lalu. Ia adalah pesanan daripada Imam Ghazali rahimahullah.

Syaitan akan menyesatkan manusia melalui enam tingkatan dengan tujuan melaksanakan sumpahnya kepada Allah swt iaitu akan menyesatkan anak-cucu Adam alaihissalam sehingga tibanya Kiamat. Berikut adalah tingkatan-tingkatan tersebut;

1: Syaitan akan berusaha agar setiap manusia itu kufur kepada Allah swt. Dengan ini, sudah pastilah mereka akan bersama-sama dengannya di dalam neraka nanti buat selama-lamanya. Namun, tidak semua yang dapat dikafirkannya,lalu wujudlah tingkatan yang kedua.

2: Syaitan akan menjerumuskan manusia kepada perkara-perkara syirik iaitu menyekutukan Allah swt dengan sesuatu yang lain. Mereka ini walaupun telah terlepas dari menjadi kufur tetapi telah terpedaya untuk mensyirikkan Allah swt dan kita sedar bahawa dosa syirik adalah dosa yang tidak diampunkan. Namun, tingkatan kedua ini juga dapat dilepasi oleh ramai manusia lalu wujudlah tingkatan yang ketiga.

3: Syaitan akan pastikan manusia itu bersungguh-sungguh melakukan dosa-dosa besar seperti membunuh, berzina, minum arak, mencuri dan pelbagai lagi. Ini semua dilakukan dengan tujuan mengheret mereka-mereka ini untuk menemaninya di dalam neraka nanti. Oleh itu, lahirlah mereka-mereka yang bergelar Islam tetapi masih bergelumang dengan dosa-dosa besar ini. Ramai juga umat Islam yang melepasi tingkatan godaan ini lalu syaitan akan mengatur tingkatan yang seterusnya pula.

4:Manusia yang terlepas dari melakukan dosa-dosa besar ini akan digoda oleh syaitan laknatullah untuk melakukan dosa-dosa kecil secara berterusan. Dosa-dosa kecil inilah yang akan dihimpunkan sehingga menjadilah ia dosa yang besar dan kelamlah hati manusia-manusia ini dari menerima hidayah Allah swt. Namun begitu, kita bersyukur kerana masih ada yang melepasi tingkatan ke-4 ini. Syaitan mengalah? Demi Allah tidak! lalu terciptalah tingkatan yang kelima.

5: Manusia yang terselamat dari melakukan walaupun dosa-dosa kecil ini merupakan mereka yang sejahtera imannya. Namun, syaitan tidak akan membiarkan mereka ini selamat dari godaannya. Untuk mereka ini, syaitan akan memastikan mereka berlebih-lebihan dalam perkara-perkara yang dihalalkan dalam Islam. Sebagai contoh, jika ingin berkereta mereka akan diseret oleh syaitan ini untuk mendapatkan kereta yang paling mahal yang boleh dimiliki. Jika ingin membeli hand phone, maka yang paling mahal juga menjadi pilihan. Lihatlah betapa bijaknya syaitan dalam menyesatkan kita. Tidak pernah dia membiarkan kita begitu saja. Alhamdulillah masih ada yang berjaya melepasi tingkatan ini. Syaitan mengalah? Demi Allah tidak! Maka datanglah tingkatan yang terakhir ini iaitu godaan Tingkatan keenam.

6: Syaitan akan memastikan siapa-siapa yang melepasi semua lima tingkatan godaannya akan digodanya dengan bersungguh-sungguh dalam tingkatan terakhir ini. Matlamatnya adalah satu. Untuk golongan yang insyaallah mendapat janji syurga daripada Allah swt ini, mereka tidak akan mendapat tingkatan yang tinggi dalam syurga nanti. Lihatlah betapa dengkinya syaitan laknatullah ini kepada kita! Dia akan memastikan amalan-amalan yang kita lakukan itu adalah yang paling minimum supaya tidak diberikan tingkatan syurga yang tinggi. Sebagai contoh, jika ingin solat, maka dipujuknya kita supaya tidak bersolat di masjid secara berjemaah di awal waktu. Jika ingin bersedekah, akan dipujuknya agar mengurangi jumlah sedekah itu. Lihatlah betapa liciknya godaan syaitan.

Semoga sedikit perkongsian ini akan menjadikan kita sentiasa bermuhasabah dan berjaga-jaga dengan taktik godaan syaitan yang bertingkat-tingkat ini. Semoga Allah memberikan kita Taufik dan HidayahNya untuk terus mentaati perintahNya dan meninggalkan laranganNya dan mengekalkan kita dengan hidayah tersebut. Ameen...