Sunday, April 18, 2010

Oh Malaysiaku!

"Tuhan mana-mana pun, Tuhan Kristian ke, Tuhan Hindu ke, orang Buddha, Muslim ke...bila seseorang itu sudah bertaubat dan berubah, orang lain tidak ada hak untuk menghukum mereka, Tuhan pun tidak akan menghukum mereka," katanya ketika ditemui di sini.

Saya ada terbaca kenyataan ini melalui sebuah akhbar tempatan. Kata-kata di atas telah diucapkan oleh seorang muslim yang agak berpengaruh. Saya tidak pasti samada kata-kata ini benar-benar dicucapkan oleh beliau ataupun sudah menerima penambahan dan pengubahsuaian oleh pemberita yang menulis laporan tersebut. Walau apapun yang lebih penting di sini ialah apa yang diucapkan tersebut.

Di sini, saya sekadar memberi pandangan sendiri terhadap perkara ini. Bagi saya, kata-kata ini tidak seharusnya diucapkan oleh mana-mana muslim pun. Hal ini kerana melalui ucapan sebegini kita seolah-olah mengiktiraf wujudnya poletheism dan menentang kepercayaan kepada monotheism yang seharusnya diimani oleh umat Islam. Sebagai Islam, kita perlu mengimani bahawa hanya Allah SWT sahaja yang layak disembah. Secara jujurnya, saya tidak ingin menyalahkan mana-mana pihak dalam perkara ini. Apa yang menjadi keutamaan saya ialah isu permasalahan tentang tahap kefahaman agama yang ada pada generasi kini khususnya di Malaysia.

Jika perkara ini telah terjadi dalam kalangan mereka yang tinggi pendidikannya, bagaimana pula kisahnya dengan mereka-mereka yang kurang berpeluang mendapat pendidikan yang baik ataupun mereka-mereka yang keciciran dalam pelajaran? Saya yakin bahawa banyak pihak yang menyedari akan perkara ini dan telah mengambil beberpa langkah yang positif bagi menanganinya. Justeru, kepada mereka ini saya ucapkan syabas dan terima kasih kerana sikap 'saya peduli' yang diamalkan.

Mudah-mudahan kita akan menjadi lebih peka dengan apa yang berlaku pada umat Islam kini khususnya di Malaysia. Bukanlah tujuan saya untuk menafikan hak sesama muslim itu yang tidak mengenal sempadan, namun sebagai seorang rakyat Malaysia saya melihat bahawa priority pembaikan kepada bangsa sendiri adalah sebagai satu strategi dalam membina kekuatan Islam secara keseluruhannya.

-sekadar pandangan =)

bicara hati



detik demi detik aku melihat jarum itu berputar,
perlahan tidak, bukan juga laju,sekadar biasa cuma,
tapi kenapa aku merasakan sebaliknya?
masakah yang berputar pantas?
atau aku kah yg semakin perlahan?

di pagi hari yang hening aku mengatur tapak,
mengira bilangannya hari ini,
jauh mana lagi aku ditakdirkan?
langkah suci di pagi hari penuh harapan,
agar tidak dicemari dosa di tengah hari,

seperti juga aku, langkah itu kian perlahan,
sesekali berhenti melepaskan lelah,
rehat adalah kelalaian, lalu apa seharusnya?
melihat diri dalam jasad yang sama,
aku tertanya-tanya,
siapa aku di sini dan siapa pula aku di sana?

penuh duri jalan ini harus aku redah,
kesan-kesan luka itu pengalaman,
luka yang mana harus aku ingat?
luka yang mana harus kulupa?
itulah guru siapa aku hari ini.

jalan ini juga hitam kelam,
tersadung aku jangan sampai tersungkur,
kerana aku perlu terus berjalan,
destinasi entah di mana,
barangkali masih jauh, mungkin juga hampir tiba,
sedikit cahaya amat kudahagai,

antara semalam dan hari ini,
aku menghitung waktu yang berlalu,
mengukur jauh perjalananku,
mengenal siapa yang ada dalam jasad ini,
impianku hari ini moga jadi kenyataan esok hari,

lalu sujud aku menyungkurkan wajah,
menghina diri di hadapan Yang Mulia,
menghisab diri dalam hitungan sendiri,
terselamatkah aku di sana nanti?

-aku yang semakin penat...

Thursday, April 15, 2010

sumber kekuatan

Exam tinggal lagi sebulan. Assignment pun masih ada yang belum disiapkan. Penat... memang penat nak mengharungi sebulan terakhir menjelang exam ni. Sudah semestinya saya amat memerlukan kekuatan untuk menghadapi semua ini. Perlukan ilham untuk menyiapkan semua tugasan. Ya Allah! Hanya pada Mu aku menyerahkan diri ini. Engkaulah yang lebih mengetahui segala yang terjadi pada diri diriku ini. Oleh itu Ya Allah, aku memohon segala kekuatan dari Mu kerana Engkaulah sumber kekuatanku. Mudah-mudahan dengan semakin banyak kesusahan yang aku lalui akan lebih mendekatkan diriku pada Mu ya Allah. Moga dengan ujian ini juga akan melahirkan aku yang lebih baik pada masa hadapan atau pada masa bertemu dengan Mu nanti ya Allah.

Cukuplah Allah bagiku...

Tuesday, April 13, 2010


Teman Sejati

Selama ini
Kumencari-cari
Teman yang sejati
Buat menemani
Perjuangan suci

Bersyukur kini
PadaMu Illahi
Teman yang dicari
Selama ini
Telah kutemui

Dengannya di sisi
Perjuangan ini
Senang diharungi
Bertambah murni
Kasih Illahi
KepadaMu Allah
Kupanjatkan doa
Agar berkekalan
Kasih sayang kita

Kepadamu teman
Ku pohon sokongan
Pengorbanan dan pengertian
Telah kuungkapkan
Segala-galanya...

KepadaMu Allah
Kupohon restu
Agar kita kekal bersatu
Kepadamu teman
Teruskan perjuangan
Pengorbanan dan kesetiaan
Telah kuungkapkan
Segala-galanya
Itulah tandanya
Kejujuran kita

Sunday, April 11, 2010

sudah tiba masa...

dalam hidup ini, kadang-kala kita akan sampai pada satu ketika di mana kita rasa sudah tiba masanya untuk kita berubah. Kita mahu buka lembaran baru dan simpan kemas-kemas diari yang lama. Kita benar-benar dapat merasakan yang kita perlu berubah kepada seseorang yang lebih baik. Untuk itu, kita memerlukan keberanian. Dari situ kekuatan akan hadir menemani perubahan yang kita usahakan itu.

Bagaimana menjadi berani?

Untuk menjadi berani kita perlukan keyakinan. Apabila kita benar-benar yakin dengan sesuatu yang kita ingin lakukan maka kita akan berani melakukannya.

Kita hanya akan yakin dengan sesuatu perkara itu hanya apabila kita telah memahaminya dengan baik. Kita sudah menilai kesan dan akibat daripada perkara tersebut kepada diri kita dan orang lain. Kita juga menilai kesesuaian sesuatu perkara itu dengan matlamat hidup yang kita ingin capai.

Akhirnya, setelah benar-benar faham dengan keputusan yang akan kita ambil itu barulah kita akan yakin dengannya dan berani untuk melakukannya.

Kemudian, setelah perubahan itu kita lakukan dan kita dapat melihat kesannya yang baik terhadap diri kita maka kita perlu usahakan untuk terus istiqamah dengan perubahan itu. Sememangnya sukar untuk berpindah dari satu "level" kepada "level" yang lebih tinggi kerana syaitan tidak akan pernah rela melihat kita menjadi manusia yang semakin hebat dari sebelumnya.

Pada masa itu, kita akan dapat saksikan pelbagai ujian yang datang samada dalam bentuk kesusahan mahupun kesenangan. Ujian yang keras ataupun yang lembut. Pastikan kita bersedia untuk terus kekal dengan perubahan yang berlaku dalam diri kita itu. Kita tidak rela untuk jatuh ke takuk yang lama setelah penat kita mendaki ke takuk yang lebih tinggi. Bertahanlah dengan tidak langsung berkrompromi dengan mana-mana mutaba'ah amal kita. Ingatlah bahawa syaitan akan mula mencelakakan kita dengan menghasut kita untuk bersambil lewa dengan mutaba'ah amal harian kita. Oleh itu, bersikap tegaslah terhadap diri kita. Jangan manjakan diri jika menginginkan perubahan.

Insyaallah kita akan menang sekiranya kita mampu bertahan dengan ujian-ujian yang datang itu. Semoga dengan perubahan yang kita lakukan itu akan mendekatkan kita kepada Allah SWT.

Apa yang penting ialah kita perlu rasa ingin berubah, faham dan yakin dengan perubahan yang kita lakukan, berani melakukan perubahan, dan akhir sekali berdoa agar diberi kekuatan untuk kekal dengan perubahan tersebut. Wallahu'alam...

Monday, April 5, 2010

selamat pagi cinta

ke kiriku buntu, ke hutanku hilang, ke timurku kosong,aku terus bosan dan tertekan seperti waktu yang terus saja meninggalkan aku, dalam ke dasar kerak bumi yang belum diterokai, warna kurindui, jiwaku biru menunggu cintaku umpama si buta yang melihat syurga, umpama lampu yang berbunyi hitam lalu menunggu aku terus,kini malam tiba lagi kerana tinggalkan cahaya matahari, dibebankan dengan bunyi rintisan hujan, seperti baru saja aku mengejar gunung yang besarnya tidak terdakap, seperti itu jugalah rindu aku padanya, kini harus aku terus menunggu, atau hilang saja aku di lautan yang luas...

Saturday, April 3, 2010

Jika Rasulullah SAW...

Assalamualaikum,

Mari bertanya beberapa soalan kepada diri sendiri.

Semua soalan bermula dengan "Jika Rasulullah SAW..."

1)...minta izin nak masuk tengok bilik kita, apa jawapan kita?

2)...tanya kita secara detail tentang perbuatan kita hari ni bermula dari bangun tidur sehinggalah kita tidur semula, rasanya kita boleh jawab tak?

3)...bertanya dengan kita samada kita boleh ceritakan serba sedikit tentang sejarah baginda sejak dari kelahiran sehingga kewafatan baginda, boleh kita jawab?

4)...tanya kita berapa kali kita selawat untuk baginda dalam sehari, apa jawapan kita?

5)...nak bukak laptop kita dan nak tengok semua benda yang ada dalam laptop kita, apa jawapan kita? Boleh atau tidak?

Cukuplah dengan soalan-soalan tersebut sekadar untuk renungan kita bersama. Semoga kita dapat mengambil manfaat daripada soalan-soalan ini. Lain kali bila kita nak buat something, cuba kita bertanyakan soalan yang sama; "Jika Rasululullah SAW..."

Nasihat untuk kita semua; "Lakukanlah segala perkara yang kita ingin lakukan dalam dunia ni selagi mana kita rasa kita dapat menjawab dengan baik bila ditanya nanti."

One way!


Assalamualaikum...

Hidup ini ibarat jalan 'one way'. Hanya bergerak sehala, tiada U-turn. Kita mulakan perjalanan ini dari alam roh lalu dengan rahmat-Nya kita singgah di alam dunia. Ada yang kata kita singgah sebentar di R&R untuk melepaskan lelah. Ada yang kata kita singgah untuk menyediakan bekal untuk destinasi seterusnya iaitu alam barzakh. Berbahagialah mereka yang baik kesudahannya dan celakalah mereka yang buruk kesudahannya.

Dan apabila seorang yang beriman itu dicabut nyawanya, malaikat akan membawa rohnya untuk bertemu dengan Allah SWT. Para malaikat bergembira meraikan kedatangannya ke langit untuk bertemu dengan Allah SWT sambil berkata; "datanglah wahai roh yang baik, sesungguhnya engkaulah yang kami rindu-rindukan selama ini". Setelah bertemu dengan Tuhannya, malaikat diperintahkan untuk membawa roh tersebut kembali ke dalam kuburnya untuk menerima segala nikmat yang tidak terhitung nilainya. Pintu syurga dibuka untuknya dan kelihatan lah keindahan syurga itu sehinggakan roh itu tadi sentiasa berdoa agar dipercepatkan kiamat supaya dia dapat menikmati syurga yang dijanjikan untuknya.

Manakala apabila seorang yang tidak beriman dicabut nyawanya,maka murunglah seisi langit dengan kehadiran roh yang celaka itu. Malaikat tiada yang gembira apabila roh itu tadi dibawa menghadap Tuhannya. Allah SWT juga murka kepadanya lalu diperintahkan kepada malaikat untuk membawa roh itu kembali ke kuburnya untuk menerima sedahsyat-dahsyat siksaan yang tidak pernah terfikir oleh manusia. Pintu neraka juga diperlihatkan kepadanya sehingga dia berdoa agar kiamat itu dilambatkan kerana takutnya akan siksaan yang bakal menanti di alam akhirat.

Terfikir kah kita jalan mana yang kita sedang lalui kini? Kesudahan yang manakah yang kita impikan? Atau mungkinkah juga kita tidak pernah memikirkan perkara ini?

Bayi hanya sekali, remaja hanya sekali, tua hanya sekali, mati juga hanya sekali. Benar, mati itu hanya sekali. Di titik manakah dalam hidup ini kita akan ditemukan dengan kematian? Adakah saat ini? atau sesaat akan datang? Bersediakah kita untuk suatu kesudahan yang baik? Renungkanlah perkara ini. Rancanglah kematian kita walau kita tidak bisa menetapkan tarikhnya. Ingatlah juga bahawa kematian itu memisahkan kita dengan sebarang amalan kebaikan. Tiada amalan kebaikan yang diterima selepas alam dunia ini. Tiada. Jadi, di alam manakah kita sedang berpijak kini? Bukankah ianya alam dunia? Lalu mengapa masih bertangguh dalam beramal? Tidak takutkah kita sekiranya maut itu datang menjemput tatkala kita sedang bergelumang dengan dosa dan tidak sempat bertaubat? Nauzubillahi minzalik.

Jalan mana sedang kita tempuhi kini?

Mungkin sudah terlalu laju kita memandu kehidupan ini sehinggakan kita terlupa melihat peta dan manual (Al-Quran) untuk sampai ke destinasi yang dituju. Kembalilah kepada fitrah kejadian manusia itu sendiri iaitu mengesakan Allah SWT. Berhati-hatilah dalam meniti kehidupan ini kerana syaitan itu sentiasa berusaha menyesatkan kita. Hadapilah ianya dengan sifat "IKHLAS" beribadah kepada Allah SWT kerana syaitan tidak bisa menguasai orang-orang yang ikhlas. Hiduplah dengan kesedaran bahawa Allah SWT sentiasa memerhatikan kita. Insyaallah kita akan sentiasa berhati-hati dalam melakukan setiap perkara.

Mudah-mudahan ada pengajaran yang berguna. :)

Friday, April 2, 2010

jalan kebaikan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Jalan kebaikan cukup banyak!

Hadith 20;

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: "Setiap anggota badan manusia adalah sedekah baginya pada setiap hari apabila matahari terbit; engkau berlaku adil (iaitu mendamaikan) antara dua orang (iaitu dua orang yang berbalah) adalah sedekah, engkau membantu seseorang naik kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah, perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah yang kau hayunkan kaki untuk pergi sembahyang adalah sedekah dan menghilangkan sesuatu bahaya di jalanraya adalah sedekah."

(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Semoga kita mengambil pelajaran daripada hadith yang dibaca. Kita berdoa kepada Allah SWT supaya diberi kekuatan untuk beramal dengannya. Wallahu 'alam